Polis Trafik Patah Paha Dihempap Motor Sendiri


Seorang anggota polis trafik yang sedang menjalankan pemantauan lalu lintas di sekitar bandar raya ini patah tulang paha kiri apabila terjatuh dan dihempap motosikal ditungganginya di Persimpangan Jalan Bendahara, di sini, kelmarin.

Difahamkan, kejadian jam 7 malam itu berpunca apabila mangsa, Koperal Abdul Halim Haron, 49, yang bersendirian gagal mengawal motosikal berkuasa tinggi jenis Honda CBX750 berkenaan. Menurut Abdul Halim, ketika kejadian dia sedang bertugas memantau pergerakan trafik di bandar raya ini.

“Sejurus tiba di tempat kejadian ketika mahu mengelak kesesakan di persimpangan itu, saya tiba-tiba gagal mengawal motosikal ditunggang sebelum terjatuh.

“Pada masa sama, saya turut dihempap motosikal itu sebelum dibantu orang awam,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka, di sini, semalam.

Nasib menimpa beliau turut mendapat perhatian Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman yang menziarahnya selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu.

0 Comments

Catat Ulasan