Jual Mahal Atau Bercouple

Jual Mahal Atau Bercouple

 


Masa kecil saya pernah memikirkan, memang perlukah seorang yang dewasa ber’dating’ sebelum melangkah ke alam perkahwinan?


Kenapa saya bingung akan hal ini? Kecil-kecil lagi sudah gatal?


Bukan begitu. Naluri kanak-kanak saya pada waktu itu merasakan tidak selesa dengan apa yang ditayangkan dikaca televisyen. Jikalau ceritanya tentang pasangan kekasih, sudah pasti ada adegan keluar makan berdua-duaan sebelum punya ikatan yang sah.


Cerita tempatan apatah lagi luar negara, babak kekasih dilamun cinta sebelum berkahwin disusun dengan penuh teliti.Tetapi saya memang bingung. Memang perlukah begitu? Perlukah bercouple sebelum berkahwin? Nyata saya tidak selesa di awal usia kanak-kanak.


Cinta Monyet


Alhamdulillah, semasa di sekolah rendah mahupun sekolah menengah saya jauh dari memahami erti ataupun mengalami cinta monyet. Istilah yang biasa tetapi sekadar mendengar. Ada sahaja rakan-rakan yang ber’cinta’ seawal darjah lima. Saya bingung. Memang terlalu muda untuk memahami tentang perkara ini. Maka tidak hairanlah mengapa saya bingung ketika itu.


Pelik dan mencari-cari sebab mengapa ada yang bercinta seawal usia di darjah lima. Di sekolah menengah, lain pula ceritanya. Kisah bercinta menjadi lebih hebat. Mungkin merasakan diri lebih matang sedangkan baru menginjak remaja. Kisah cinta disekeliling saya bermacam-macam. Kenyataan-kenyataan seperti; batch kami bercinta seperti tukar baju (pelajar batch tersebut sering bertukar-tukar pasangan ibarat menukar baju setiap hari), ada senior mengaku dia bercinta untuk mencari pengalaman.


Aduh! Saya menjadi semakin bingung.


Benarkah ini semua?


Erti couple, cinta dan perkahwinan. Kini setelah saya berusia dua puluh dua tahun, saya semakin mengerti. Kisah pasangan berdua-duaan yang saya fikirkan semasa kecil, bukanlah sesuatu yang dianjurkan oleh Islam. Bahkan, Islam sebagai cara hidup menggariskan cara yang cukup indah dan sempurna untuk mengikat pertalian antara adam dan hawa. Kisah cinta monyet yang membingungkan semasa di zaman sekolah juga dapat saya cari jawapannya.


Buku Tentang Cinta karangan Ustaz Pahrol banyak membantu saya untuk memahami isu ini. Tambahan pula, semasa saya di Kolej Yayasan UEM Lembah Beringin, forum Tentang Cinta telah diadakan. Panel-panel terdiri daripada Ustaz Pahrol sendiri, Ustaz Hashim (trainer Fitrah Perkasa) dan Ustaz Hasrizal. Panel yang hadir cukup berpengalaman kerana mereka jauh lebih dewasa dan sudah berkeluarga.


Islam dan Cinta


Islam menganjurkan lelaki dan wanita bertaaruf iaitu berkenal-kenalan sebelum mengikat pertunangan. Cara bertaaruf menjaga adab dan syariat. Pasangan tidak berdua-duaan tetapi ditemani oleh orang tengah mahupun ibu bapa sendiri.


Bercinta pula perlu punya tujuan. Apa tujuan cinta monyet? Sekadar suka-suka atau untuk mencari pengalaman? Jika benar, bukankah itu alasan-alasan yang menyedihkan?


Bercinta adalah berkasih sayang.


Mampukah untuk kita berkasih sayang dengan seseorang yang asing jika kita belum mampu menyayangi ahli keluarga sendiri? Maka jika benar, kita berkasih sayang dengan orang luar perlu sama seperti berkasih sayang dengan ahli keluarga sendiri.


Tetapi adakah perkara ini benar-benar berlaku di antara pasangan yang menyatakan diri mereka bercinta? Bagi saya, untuk memahami istilah cinta, saya perlu memahami erti mencintai diri sendiri, mencintai ahli keluarga, mencintai rakan-rakan dan yang lebih utama mencintai Allah dan RasulNya.


Saya perlu menguasai erti cinta ini sebelum mencintai seseorang yang asing – lelaki dalam hidup seorang wanita. Terlalu teoritikal? Pandai-pandailah mencari cara untuk amalinya. Semakin dewasa saya semakin memahami dan lihat sendiri teori-teori cinta secara praktikalnya (bukan saya yang bercinta, tetapi melihat realiti disekeliling). Cinta itu perlukan kepercayaan dan tanggungjawab. Cinta itu memberi tanpa mengharap balasan.


Teori ini memang benar untuk menyelesaikan masalah-masalah perkahwinan yang saya ketahui(bukan menjaga tepi kain orang, tetapi mungkin diri sudah cukup dewasa memahami permasalahan ini). Perkahwinan yang memang bergelora. Sesekali terasa takut pula memikirkannya. Tetapi seperti kata emak; Jalan ini mudah sahaja jika manusia ambil jalan yang lurus. Tetapi hakikatnya, ada yang memilih yang bengkang-bengkok.


Jual mahal?


Setelah berusia dua puluhan dan masih tidak berpunya atau tidak pernah ber’boyfriend’, maka masyarakat amnya masih mempunyai stigma bahawa tuan punya badan mungkin jual mahal. Nasihat seperti , jangan jual mahal nanti tidak laku dan sebagainya dilontarkan.


Persoalannya, setelah beberapa perkara seperti di atas dibangkitkan, adakah benar bahawa seseorang yang tidak ber’boyfriend’ itu wajar dikategorikan sebagai jual mahal atau memilih? Atau mungkin tuan punya badan sekadar menongkah norma masyarakat kerana tidak bersetuju dengan gejala couple yang dipandang sebagai satu kemestian dan kebiasaan? Atau mungkin tuan punya badan benar-benar memikirkan erti sebenar cinta dan berkasih sayang?


Isu yang berat untuk difikirkan bersama. Masakan tidak, di dalam hadis daripada Nabi s.a.w. yang menegaskan dengan maksud bahawa :


“Sesiapa yang telah berkahwin dikalangan kamu maka dia telah sempurnakan separuh dari urusan agamanya dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada setengah atau separuh urusan agama yang selebihnya”.


Masakan cinta dan perkahwinan perkara yang main-main sekiranya sebesar ini ganjaran yang dijanjikan Allah. Tulisan ini sekadar perkongsian yang sudah mula saya fikirkan sejak kecil lagi. Mencari-cari apakah formulanya sedangkan Islam memang ada jawapannya.


Penulis : Nuur Zaffan Khalid

Diri Terjebak Dengan Zina Kerana Rakan

Diri Terjebak Dengan Zina Kerana Rakan


Kisah di bawah merupakan kisah benar yang kami peroleh hasil temuramah bersama penghuni salah sebuah rumah perlindungan wanita Raudhatus Sakinah. Siti (bukan nama sebenar) sudah pun bekerja di sebuah syarikat dalam bahagian pemasaran. Beliau memiliki diploma dari sebuah universiti tempatan.

Siti hanya pergi kerja pada waktu pagi dan pulang pada waktu tengah malam. Itulah sahaja aktiviti beliau seharian tanpa memikirkan pasal orang lain sehingga beliau mengetahui salah seorang kawan telah mempunyai teman lelaki. Beliau rasa amat iri hati dengan kawannya. Faktor kawan menyebabkan Siti terpedaya dengan fitnah dunia.

Peristiwa malang bermula apabila dia bertemu dengan seorang pelanggan lelaki iaitu Ali (bukan nama sebenar). Setelah pertemuan itu, Ali sentiasa bertanya khabar, menelefon dan berSMS dengan Siti. Hal ini menyebabkan Siti jatuh hati kepadanya.

Hidup Siti berubah selepas itu. Siti berkerja pada waktu siang, tetapi malamnya dihabiskan dengan keluar malam bersama Ali sehingga ditakdirkan beliau mengandung. Pada ketika itu beliau berasa tidak tahu ingin membuat apa-apa. Ali berjanji untuk bertanggungjawab dengan perkara tersebut, namun hanya manis dengan kata-kata tetapi tidak indah dari tindakannya.

Akhirnya Siti ditinggalkan bersendirian dengan kandungannya sehinggalah dia dikenalkan dengan rumah perlindungan Raudhatus Sakinah. Apabila ditanya tentang masa depannya, Siti berazam untuk menjadi seorang isteri solehah dan seorang ahli perniagaan yang berjaya.

**********

Perkongsian pengalaman Siti menunjukkan bahawa pengaruh rakan amat penting. Andai kita berkawan rapat dengan orang-orang yang baik dan soleh, insyaAllah ia akan membantu kita untuk menjadi seorang yang baik.

Jika kita berkawan rapat dengan orang-orang berjaya, insyaAllah suatu hari nanti kita juga akan berjaya. Selain itu, kita tidak boleh membiarkan masa lapang kita dihabiskan dengan perkara-perkara yang tidak bermanfaat.

“Jika kita tidak disibukkan dengan urusan kebaikkan, nescaya kita akan disibukkan dengan urusan kebatilan.” – Hassan Al-Basri


Untukmu Bidadari Syurga

Untukmu Bidadari Syurga

Kehadapan awak-Bidadari Dari Syurga.
Saudari,
Saya berharap dengan hasil penulisan saya ini diberkati dan dipelihara oleh Allah S.W.T. Tujuan saya menulis surat ini kerana saya tidak tahu bagaimana lagi untuk menyampaikan isi hati ini terhadap awak.
Sedia maklum, awak bukan seperti wanita yang pernah saya temui. Awak ada hak mutlak keperibadian yang tinggi yang susah untuk di ganggu gugat oleh para lelaki di luar sana. Sebab itu saya seolah-olah tidak berani untuk mendekati awak. Saya tahu juga, awak bukan perempuan yang senang untuk diajak ber”couple“. Saya tahu juga, kasih sayang awak hanya untuk Allah S.W.T dan kedua ibu bapa awak.
Saya lelaki kerdil, awak. Saya jauh beza jika dibandingkan dengan ilmu, amalan awak dan tahap keimanan awak terhadapNya. Saya malu untuk mengatakan apa yang terbuku kerna ia ibarat ada satu tembok penghalang yang memisahkan kita. Saya hargai tembok itu yang juga memisahkan kita untuk melakukan perkara-perkara yang tiada faedah, dan akhirnya kita berdua terleka dengan godaan syaitan dan pujuk rayu nafsu. Saya tahu semua itu. Dan saya tahu awak lebih tahu akan semua itu. Saya tahu juga yang awak berusaha untuk melarikan diri dari semua itu –takut ada yang murka dengan perbuatan awak termasuk diri saya sendiri. Iaitu Allah S.W.T.
Saya dari dulu sebelum mengenali awak lagi, saya sudah percaya akan bercinta selepas nikah itu adalah yang paling bahagia. Saya tak mahu kasih sayang saya ini, perhatian saya ini diberikan kepada orang yang tidak layak disisi agama dengan cara ber”couple” tapi akhirnya tiada apa-apa ikatan. Saya ada asas-asas agama tapi saya perlu masa lagi untuk perbaiki mana-mana kelemahan saya.
Saya tahu apa yang awak pegang selama ini. Awak pegang bahawa, ” Wanita solehah itu aurat dijaga, pergaulan dipagari, sifat malu pengikat diri, seindah hiasan di dunia ini. Keayuan wanita solehah itu tidak terletak pada kecantikan wajahnya. Kemanisan wanita solehah itu tidak terletak pada kemanjaanya. Daya penarik wanita solehah itu bukan pada kemanisan bicaranya yang mengoncang iman para muslimin dan bukan pula terletak pada kebijaksanaannya bermain lidah, memujuk rayu dan bukan dan tidak sama sekali.
Tapi ada satu perkara yang pasti, saya belum cukup bersedia untuk semua ini kerana saya takut saya tidak mampu memberikan bimbingan dan layanan yang baik untuk seorang yang saya boleh katakan hampir sempurna di mata saya. walaupun awak tak pernah senyum pada saya, saya pasti awak baik orangnya. Awak garang orang nya. Awak sombong bertempat. Awak garang bertempat.
Saya harap awak sudi tunggu saya. InsyaAllah, saya akan pastikan semua perkara stabil dari segi zahirnya dan batin. Saya nak awak hidup sempurna di samping saya. Saya nak jadikan awak orang yang paling bahgia berada dengan saya.
Seperti awak, saya juga tidak mahu untuk bercinta sebelum nikah. Kita bercinta selepas nikah. Saat segalanya telah sedia, izinkan saya untuk meneruskan langkah untuk bertemu wali awak.  Namun, jika awak belum bersedia, saya akan tunggu awak.
Surat ini ikhlas saya tulis untuk wanita yang pertama ada dalam hati saya.
Yang benar,
Hamba Allah
Setia menanti awak.
Penulis : Hamba Allah
Sekali Air Bah, Sekali Tanah Berubah

Sekali Air Bah, Sekali Tanah Berubah

Air? Setiap hari kita pasti meneguknya. Cuma yang berbeza adalah perisa dan warnanya. Bila tekak sudah kembali sejuk, dan dahaga sudah hilang kita sering lupa asal usul air yang diminum itu. Air yang kita teguk itu sebenarnya diturunkan daripada langit sebagai hujan oleh Allah S.W.T kemudian ia melalui pelbagai proses kitaran alam semulajadi untuk kepentingan alam ciptaan-Nya.
Begitulah ciptaan Allah yang serba unik. Sama juga seperti api, air boleh menjadi kawan dan boleh juga membawa kemudaratan pada masa-masa tertentu. Air yang bersih dijadikan minuman oleh manusia. Air yang kelihatan ringkas tersebut sebenarnya merupakan satu ciptaan yang sangat istimewa buat seluruh alam termasuk manusia. Ia mampu membekalkan oksigen kepada tubuh badan manusia dan menghilangkan rasa haus tekak kita.
Selain itu air juga berfungsi menghidratkan semula tubuh anda setelah bergerak aktif. Air juga berfungsi sebagai laluan untuk pergerakan zat-zat makanan dan ia turut membantu untuk mengangkut sisa-sisa proses kehidupan sel di dalam badan. Air yang diturunkan oleh Allah S.W.T sebagai hujan pula berfungsi menyuburkan tanam-tanaman dan menjadi minuman untuk haiwan-haiwan. Air yang sedia ada di muka bumi melalui proses penyejatan, lalu ia diturunkan kembali sebagai hujan dan mengalir daripada tempat yang tinggi dan kemudian membentuk sungai yang panjang dan lebar.
Disebabkan air, hidupan laut mempunyai habitat yang sempurna dan boleh bergerak bebas. Di hujung sungai terdapat muara, terbentuk di sebelah pantai yang menjadi kawan kepada lautan. Dengan air juga, wujudnya pulau-pulau yang indah di kelilingi keindahan kebiruan. Kata orang, indah pantai kerana airnya. Tidak akan wujud istilah pantai sekiranya tidak dilengkapi air laut.
Lautan yang luas ini pula menghubungkan satu benua dengan benua yang lain dan menjadi laluan penting untuk manusia berhubung sesama manusia di kawasan lain. Begitulah hikmahnya Allah menjadikan lautan sebagai penghubung, manakala manusia itu berbeza sama sekali paras rupanya.
Air juga boleh berubah sifatnya menjadi ais yang pejal. Allah itu Maha Bijaksana. Dia menjadikan udara yang sejuk agar dapat membekukan air menjadi ais. Dengan adanya ais, air yang panas boleh bertukar menjadi sejuk dan menyegarkan. Ais juga turun dalam bentuk salji di sesetengah kawasan yang ditakdirkan Allah. Salji yang turun menjadikan pemandangan lebih indah dan menarik. Iklim yang sejuk ini juga menjadi habitat kepada penguin dan beruang kutub untuk hidup dan mencari makanan.
Namun, air yang banyak memberikan manfaat ini juga mampu berubah sifat menjadi ganas. Pepatah mengatakan, ”Sekali air bah, sekali tanah berubah”.
Contohnya, hujan yang terlalu lebat, akan mengakibatkan banjir kilat dan banjir yang berpanjangan. Air banjir inilah yang telah mampu menenggelamkan seluruh kaum Nabi Nuh A.S yang ingkar pada perintah Allah S.W.T termasuk anak dan isteri baginda pada ketika zaman kenabian baginda dahulu. Pada masa yang sama juga air itu telah menjadi penyelamat kepada orang-orang yang beriman dan Nabi Nuh A.S kerana ia telah melayarkan bahtera Nabi Nuh A.S.
Hari ini, kita telah menyaksikan pelbagai musibah yang Allah S.W.T turunkan melalui air. Musibah-musibah ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita agar usah lalai dan leka dengan dunia sehingga lupa pada Allah Yang Esa. Marilah kita sama-sama berusaha menjadi hamba Allah yang bertaqwa kerana kita telah menyaksikan bagaimana air yang begitu kuat berupa Tsunami mampu menghayutkan dan menenggelamkan Kota Acheh, Kota Muda, Sri Lanka, Fukushima, Miyagi dan lain-lain tempat didunia. Mahukah kita sekiranya Allah menurunkan bala yang sedemikian rupa ke atas negara kita?
Selain itu, salji yang turun dari langit juga mampu mengakibatkan kemudaratan. Salji yang turun tanpa henti dengan lebat boleh menyebabkan cuaca sejuk yang melampau dan ini boleh mengakibatkan kematian dan kemusnahan alam. Salji yang membeku dan terapung di atas permukaan lautan juga boleh menjadi penyebab kepada karamnya sesebuah kapal dan lain-lain lagi.
Lihat, betapa sesuatu yang dianggap kecil mampu memberi impak yang sangat besar kepada seluruh alam baik impak positif mahupun impak negatif. Sungguh, Allah menjadikan sesuatu itu dengan penuh hikmah agar kita berfikir tentang kekuasaan-Nya.
Lihatlah dengan mata hati. Fikirlah dengan Iman dan taqwa. Dengan itu, insya-Allah kita akan beroleh teladan.
“Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?”- (Surah al-Anbiya ayat 30)
“Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya dan sebahagian di antaranya berjalan dengan dua kaki dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja yang Dia kehendaki (selain dari yang tersebut), kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” – (Surah an-Nur ayat 45)
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kebesaran-Nya dan kekuasaan-Nya, Dia memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya hujan) dan Dia menurunkan hujan dari langit, lalu Dia hidupkan bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya.” - (Surah ar-Rum ayat 24)
Penulis : Fira Fahmi 
Kesan Tamadun Islam Terhadap Dunia Matematik

Kesan Tamadun Islam Terhadap Dunia Matematik

Pada awal kurun ke-7, satu tamadun baru muncul di tanah Arab. Dibawah pimpinan Muhammad s.a.w, dakwah yang bawa Rasulullah tersebar pesat dan luas menambat hati dan iman penduduk Semenanjung Arab. Kurang satu abad selepas kota Mekah dibuka semula pada tahun 630, kerajaan Islam telah berjaya menyebar luaskan agama Islam sehingga ke India dan hingga ke tengah benua Asia bagi bahagian timur.
Di bahagian barat, penyebaran agama Islam lebih cepat berlaku terutamanya dibahagian utara benua Afrika. Pada Tahun 711, Islam berjaya sampai ke Sepanyol. Hasil daripada penyebaran agama Islam hingga hampir dua per tiga dunia memberi perkembangan dan kemajuan kepada kerajaan Islam. Budaya Islam menjadi cara hidup manusia pada ketika itu.
Inilah titik permulaan kepada perkembangan ilmu pengetahuan. Agama Islam telah membawa satu budaya yakni budaya cintakan ilmu yang sangat besar peranannya kepada dunia ilmu pengetahuan. Itulah cantiknya Islam, tidak pernah menolak bulat-bulat ilmu pengetahuan di dalam kehidupan.
Sejarah Matematik Islam
Ahli sejarah dan Ahli Matematik barat lebih suka merujuk perkembangan sejarah Matematik ditanah Arab sebagai Matematik Islam kerana ia adalah kesinambungan daripada ajaran Islam yang bawa Rasulullah yang mementingkan soal ilmu pengetahuan. Perkembangan Ilmu pengetahuan banyak berlaku di zaman pemerintahan Abbasiyyah yang dalam masa yang sama Eropah masih di Zaman Gelap.
Oleh itu ilmu lebih banyak terbudaya dikalangan orang Islam manakala orang Eropah disekat hak untuk berfikir. Jadi, Matematik Islam lebih sesuai dengan daripada Matematik Arab.
Pada tahun 766, Khalifah Al-Mansur membuka kota Baghdad yang selepas itu menjadi tempat perkembangan Ilmu termasyhur didunia. Cendiakawan dan cerdik pandai dialu-alukan kedatangan mereka ke Kota Baghdad. Khalifah Harun al-Rashid yang memerintah dari tahun 786 hingga 809 telah menubuhkan perpustakaan di Baghdad.
Manuskrip-manuskrip dikumpulkan dari pelbagai bidang dan akademi-akademi di timur barat terutamanya dari tamadun Yunani termasuk manuskrip Matematik Yunani Klasik dan teks-teks saintifik. Kemudian ia diterjemahkan ke bahasa Arab. Penganti Harun al-Rashid, Khalifah Al-Ma’mun meneruskan usaha ini pada skala yang lebih besar dan sehingga tertubuhnya Baitul Hikmah yang bertahan selama 200 tahun.
Ilmuan-ilmuan dari seluruh bahagian dalam pemerintahan dijemput untuk menterjemahkan bahasa Greek dan India dan juga menjalankan penyelidikan. Pada akhir kurun ke-9, pelbagai kertas-kertas kerja cendiakawan seperti Euclid, Archimedes, Apollionius, Diophantus, Plotemy dan ramai lagi ahli matematik Yunani diterjemahkan kebahasa arab untuk kegunaan ilmuan-ilmuan disana.
Ilmuan-ilmuan islam bukan hanya mengumpul kajian-kajian lama, bahkan mereka telah mengembangkan ilmu-ilmu kepada satu perspektit baru yang lebih releven. Ini kerana ahli matematik sebelum mereka mengunakan matematik untuk perkara-perkara yang tidak penting kepada manusia seperti menghitung cinta dan sebagainya.
Di dalam Matematik Islam, ia lebih banyak digunakan untuk perkara-perkara yang praktikal dan berguna untuk manusia, dan juga disebut sebagai Sunnatullah. Para Ilmuan Islam mengkaji dan berakhir dengan bertemu dengan Kebesaran Allah. Inilah beza antara saintis Islam dan saintis. Tujuan mereka adalah Allah. Ilmuan Islam sentiasa memulakan kerja dengan lafaz “Basmalah”.
The mathematicians responded by always invoking the name of God at the beginning and end of their works and even occasionally referring to Divine assistance throughout the texts” -(Victor J. Katz)
Terpegun membaca ayat ini. Subhanallah, begitulah akhlak ilmuan Islam dahulu yang sentiasa mengingati Allah dalam setiap perkerjaan yang mereka lakukan. Sentiasa memulakan dan mengakhiri dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang, serta segala apa yang mereka berjaya hasilkan, mereka dikembalikan pujian hanya kepada Allah. Tidak seperti ahli matematik Yunani, Ilmuan Islam tidak hanya berdasarkan teori, bahkan juga secara praktikal untuk memudahkan kehidupan seharian manusia, atau hari ini dikenali sebagai Applied Math atau matematik gunaan.
Hari ini, satu sejarah lengkap tentang Matematik Islam masih belum ditulis, kerana masih banyak tinggalan manuskrip Ilmuan Islam yang masih belum dikaji di perpustakaan seluruh dunia. Oleh kerana kepentingan politik yang memeningkan, akses kepada hasil kajian mereka yang penting disekat dan dilarang. Namun, fakta asas tentang dunia Matematik Islam masih diketahui. Antara sebab penyekatan ini adalah untuk mengelak umat Islam sedar yang tamadun Islam sangat banyak menyumbang kepada percambahan ilmu pengetahuan pada masa ini.
Ia juga antara rancangan musuh Islam untuk melenyapkan kehebatan Islam dari pengetahuan umat Islam di Zaman ini. Ahli matematik Islam banyak menyumbang untuk secara khususnya dalam penggunaan titik perpuluhan, dan juga mengembangkan topik Algebra secara tersusun dan juga dalam topik Geometri. Beberapa penambahbaikan dalam topik Trigonometri. Apabila Eropah keluar dari Zaman Gelap, mereka tidak memerlukan masa yang banyak untuk mengejar apa yang mereka terkebelakang kerana semuanya hampir lengkap. Hanya perlukan penjenamaan semula dan kembangkan ilmu itu.
(Olahan semula dari buku A History Of Mathematics: An Introduction; Victor J. Katz: Chapter The Mathematics of Islam)
Sejarah ditulis oleh pemenang
Hari ini, banyak formula-formula dan tajuk-tajuk matematik terabadi nama ilmuan barat didalamnya. Walaupun hakikatnya mereka hanya menjenamakan semula apa yang telah ada dalam dunia matematik Islam. Nama-nama ilmuan Islam tidak terabadi dalam sebarang teori-teori dan formula-formula matematik. Hanya nama-nama seperti Euclid, Newton, Einstein, Diophantus, Sarrus, Fibonacci dan sebagainya lebih banyak diabadikan.
Mungkin nama-nama ilmuan Islam tidak diabadikan bertujuan untuk menjauhkan Islam daripada disebut dalam lecture dan supaya Islam dilihat tidak significant dengan Ilmu. Sekadar pandangan. Ayuh budayakan semula budaya cintakan Ilmu supaya kita turut maju kehadapan dan kita hapuskan salah tanggapan dunia kepada Islam. Kembalilah kepada Islam.
Hujung Akal, pangkal Agama. Ilmu ditimba diakhirnya bertemu dengan Kebesaran Allah, Tuhan Yang Mengetahui.
Penulis : UmmiHani 
Dunia Umpama Ladang Tanaman Untuk Dituai Di Hari Pembalasan

Dunia Umpama Ladang Tanaman Untuk Dituai Di Hari Pembalasan

Betapa enaknya menikmati sepinggan nasi yang berlaukkan pelbagai pilihan mengikut citarasa dan kesukaan masing-masing…
Sebutir nasi umpama setitik peluh petani? Pernah anda dengar iklan tv untuk produk “Beras Jadi Cap Kapal Layar” Beras pilihan anda? Ia diumpamakan betapa susah dan besarnya pengorbanan petani yang bertungkus lumus menanam, menjaga dan menuai beras sehingga menjadi nasi yang dimakan oleh seluruh lapisan masyarakat. Betapa berharganya nilaian usaha petani yang besar itu diertikan dengan perbandingan sebutir nasi itu cukup berharga dan tidak setanding pengorbanan petani… Hanya dengan sebutir nasi itu menggambarkan betapa besarnya usaha petani… Penat dan berpanas terik, berpeluh dan berselut. Bagaimana jika berbillion-billion nasi yang mereka hasilkan??? Mari kita sama-sama renungkan…
Syukur dipanjatkan atas nikmat rahmatNYA saya mendapat ilham untuk terus menulis tanpa penat!… Alhamdulillah…. Hari ini saya mendapat semangat baru untuk terus menulis tanpa jemu!.. Semoga kita semua dapat memperolehi sedikit inspirasi dan motivasi dalam perkongsian penulisan saya yang masih baru dan tidak seberapa ini jika dibandingkan dengan penulis lain yang hebat-hebat belaka…
Tujuan saya sememangnya inginkan kesedaran dan keinsafan semua dalam memahami erti kehidupan dan membuka minda kita untuk mensyukuri nikmatNYA… Sebenarnya, terlalu banyak nikmat yang ALLAH S.W.T telah berikan kepada kita… Semuanya merupakan hadiah Allah buat hambanya, termasuk nikmat kesihatan, kekayaan, kebahagiaan, pelajaran, kegembiraan dan segala-galanya. Namun, kita masih tamak dan tidak mensyukuri segala nikmat yang diberikan itu… Tidakkah kita terfikir? Baiklah…. Cuba kita pejamkan mata….. cuba kita renung-renungkan Firman ALLAH dalam surah-surah dibawah yang bermaksud:
Auzubillahiminassyaitonnirrajim…
“Ya ALLAH Ya TUHAN kami, turunkanlah kepada kami makanan dari langit untuk menjadi perayaan bagi kami, bagi orang-orang yang bersama kami dan yang datang sesudah kami dan menjadi kekuasaanMU dan berilah rezki kepada kami kerana ALLAH sebaik-baik yang memberi rezeki.” Al-Maidah, ayat 114.
“Bumi ditetapkanNYA untuk makluk sekalian. Di atasnya ada buah-buahan dan pohon kurma yang mempunyai kelopak (mayang). Dan biji-biji yang mempunyai daun tangkainya (seperti padi dan sebagainya) dan haruman-haruman. Maka nikmat TUHAN manakah yang kamu dustakan?” Ar-Rahman, ayat 10-13..
“Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku, sebab itu ampunilah aku… Lalu ALLAH mengampuninya. Sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Al-Qasas, ayat 16..
Lihatlah….. ALLAH Maha BAIK kepada sesiapa sahaja!.. Betapa manusia itu tidak pernah bersyukur dan cukup atas nikmat pemberianNYA… Baru sahaja diuji dengan dugaan yang sedikit, hati sudah mengeluh, perasaan sudah tidak keruan yang akhirnya menghasilkan pelbagai persepsi negatif terhadap Allah S.W.T seperti tidak sayangkannya lagi dan sebagainya. Berlainan bagi orang yang tahu bersyukur, walau apa dugaan yang datang, dia tabah melaluinya dengan redha atas dasar ujian tahap keimanannya…
Dunia adalah diumpamakan sebagai ladang tanaman yang mana di atas ladang dunia inilah kita mencari rezeki, menabur bakti dan menambahkan amal ibadah serta mengurangkan dosa. Perlu diingatkan di sini, mengurangkan dosa… kerana apa? kerana kita adalah manusia biasa yang tidak maksum, sememangnya tidak lepas dari melakukan kesilapan. Namun, kita boleh berusaha untuk memperbaiki diri dari tidak melakukan dosa yang dilarang serta tidak membuat kerosakan atau perkara yang ditentang oleh Pencipta kita…
Firman Allah dalam surah at-Taubah 105 bermaksud: “Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya beserta orang mukmin akan menyaksikan apa yang kamu kerjakan.”.
Hadis yang sering diperdengarkan, antaranya: “Bekerjalah kamu untuk kepentingan dunia kamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan bekerjalah kamu untuk akhirat kamu seolah-olah kamu akan mati esok.” Sesetengah ulama menganggap hadis itu sebagai athar Umar bin al-Khattab.
Di atas bumi ini jugalah kita dipertanggungjawabkan mematuhi beberapa syarat perundangan wajib Islam iaitu termasuklah rukun Islam, rukun Iman, dan melakukan amal makruf nahi mungkar… Saling tegur menegur dan menasihati ke arah kebaikan… Sememangnya fitrah manusia sukakan kebaikan, bersih dan bebas dari pertelingkahan. Mari kita semua kembali kepada fitrah… Mencintai majlis ilmu dan saling menasihati agar kita kembali ke jalan yang diredhaiNYA… Amin…
Renung-renungkanlah, kita hidup bukanlah lama. Andai esok menyambut kita di alam kekal sana, apakah bekalan yang kita sediakan dan bawa… Adakah mencukupi? dan di dunia inilah tempat kita menanam amal dan menyebarkan kebaikan… 
Wallahu alam…
Emosi Dikendur, Kasih Sayang Disalur

Emosi Dikendur, Kasih Sayang Disalur

Para anbiya’, mereka adalah golongan manusia yang paling berat ujiannya melalui jalan dakwah. Jika hendak dibandingkan ujian yang dihadapi kita dengan tokoh-tokoh pasca khilafah pun tidak mampu untuk kita menanggungnya, apatah lagi dengan ujian ke atas para anbiya’. Sesungguhnya ujian di jalan dakwah memang panjang dan amat berat. Justeru, senjata paling ampuh untuk menghadapi tekanan ujian ini tidak lain tidak bukan hanyalah sabar.
Namun sabar yang bagaimana yang kita maksudkan? Itulah sabar yang membuatkan emosi dikendur, kasih sayang disalur, Allah menjadi matlamat yang luhur. Itulah sabar yang dipraktik Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.
Bagaimana caranya? Di sini kita akan teroka..
Mengenali manusia.
Manusia merupakan makhluk yang bersifat egosentrik dan sering tidak kalah untuk menjustifikasikan perbuatan mereka sendiri. Sepertimana kita lihat zaman sekarang, begitu ramai manusia berbalah mempertahankan pendapat dan hujah masing-masing. Tidak kira dalam isu politik, agama, feqah dan sosial sehingga menyukarkan untuk kita mencapai kata sepakat dalam menyelesaikan sesuatu hal. Inilah realiti manusia. Kesinambungan daripada sifat ego yang mengakibatkan perpecahan umat ini adalah sifat lupa diri. Pernah kah kita mendengar ada sebahagian daripada rakan-rakan kita mengadu,
“Mengapa manusia suka mencari salah orang lain tetapi tidak nampak salah sendiri?”
Ada juga daie yang berkata kepada mad’unya,
“Mengapa kau ini tidak mahu dengar nasihat, aku cakap perkara yang betul!”
Sebenarnya kedua-kedua persoalan itu, jawapannya terdapat pada diri mereka. Sifirnya, apabila kita berbicara tentang orang lain, secara tidak langsung kita berbicara tentang manusia. Apabila kita berbicara tentang manusia, kita harus sedar dan tidak lupa diri bahawa hakikatnya kita sedang berbicara tentang diri kita sendiri kerana diri kita adalah manusia.
Di sini, method empati dapat dipraktikkan. Apa yang orang lain inginkan, kita juga inginkan perkara yang sama. Setiap keperluan dan kehendak orang lain, kita juga pernah merasakan hal yang sama. Cuma perlu selami dan kenali dengan lebih mendalam dan sabar.
Bagaimana pula dengan emosi, kasih sayang dan Allah. Apa kaitannya?
Mengendur emosi
Emosi lahir daripada rasa tidak puas hati. Tidak puas hati lahir daripada sifat ego (sombong) yang berada dalam hati manusia. Apabila manusia dilanda emosi, perilaku mereka menjadi tidak keruan, akal mereka berubah tidak waras. Kita akan hilang pertimbangan dan rasional. Ketika itu syaitan mengambil peluang mendendangkan falsafah yang mampu mengisi kehendak emosi. Pastinya falsafah yang merosak diri.
Perhatikan,  saat anda melihat manusia sedang marah dan dipenuhi kebencian, emosi memainkan peranannya. Ya, itulah emosi. Begitu juga manusia yang dirundung kesedihan dan kecewa, itu emosi. Tatkala emosi merasuk diri, sindrom ‘tidak kisah’ dan ‘tidak peduli’ mula timbul. Dosa atau pahala, baik atau buruk tidak diambil kira dalam mengambil keputusan membuat sesuatu tindakan. Tidak hairan, kita melihat ada manusia yang tidak takut menabur fitnah terhadap orang yang dibenci. Tidak kurang juga terdapat manusia sedih yang mempersoalkan ketentuan Allah terhadap dirinya. Kerana mereka sedang beremosi.
Seorang daie tidak boleh terlalu beremosi. Dengan emosi, semua peluang kejayaan dakwah akan diragut. Anda bayangkan terdapat perintah Allah supaya membalas kejahatan dengan kebaikan hingga suatu ketika mereka yang membenci kita akan menjadi teman. Adakah orang beremosi mampu melakukan semua itu. Tidak. Sebagai daie Allah memerintahkan kita menyeru dengan cara yang hikmah dan berdebat dengan cara yang baik. Adakah orang beremosi mampu melakukan semua itu. Pastinya tidak.
Justeru emosi harus dikendur dan sabar harus dipupuk terlebih dahulu. Jangan bersikap terburu. Kemampuan mencegah kemungkaran yang terletak pada hati adalah dengan membenci dosa bukan membenci pelaku dosa. Kemampuan mencegah kemungkaran yang terletak pada lisan adalah dengan nasihat dan kata-kata yang baik bukan cemuhan dan cacian. Kemampuan mencegah kemungkaran yang terletak pada tangan adalah dengan bimbingan dan memberi pengajaran bukan hanya sekadar hukum menghukum. Semua ini hanya dapat dilakukan apabila emosi dikendur.
Kasih sayang disalur
Emosi yang dikendur dengan emosi yang ditahan (diempang) mempunyai jurang perbezaan yang ketara. Pengenduran emosi selalunya disusuli dengan saluran kasih sayang. Emosi yang ditahan(diempang) pula hanyalah suatu proses melambat-lambatkan kemarahan. Bahkan sekiranya ia terlalu lama diempang maka akan mengakibat pukulan emosi yang deras dan kuat terhadap iman apabila dilepaskan. Saya pasti anda pernah dengar kata-kata ini,
“Aku sudah puas menahan sabar dengan kau.”
Itulah kata-kata emosi seseorang sedang meletus ibarat gunung berapi setelah diempang begitu lama. Emosi yang dikendur akan disusuli saluran kasih sayang. Itulah sabar yang sebenar. Setiap perilaku kita ibarat belaian ibu terhadap anaknya. Dan yang pasti kasih sayang itu haruslah selari dengan tuntutan syarak. Lagipun manusia memang inginkan perhatian dan kasih sayang seseorang apabila dilanda kesusahan dan musibah.
Adakala manusia yang sering melakukan dosa bukan kerana tidak mahu berubah tetapi menanti seseorang untuk membimbingnya. Tetapi seringkali dia hanya dapat orang yang menghukumnya. Betapa tepat sekali pepatah ini,
Mungkin kisah sahabat nabi, Abu Darda RA ini mampu menerangkan lebih lagi;
Abu Darda RA telah menjadi hakim di Damaskus. Beliau telah menangani pelbagai jenayah. Satu hari beliau mengumumkan hukuman yang dijatuhkan terhadap seorang penjenayah dan kes itu dikira selesai. Bagaimanapun beliau terdengar seseorang yang mencerca orang yang bersalah itu. Kerana mendengar cercaan itu, beliau bertanya kepada orang yang mencerca itu:
“Apakah yang engkau akan buat apabila melihat seseorang jatuh ke dalam lubang yang dalam?”
“Aku akan hulurkan tali untuk selamatkan dia”
“Oleh itu mengapa engkau tidak berusaha untuk menyelamatkan lelaki ini yang jatuh ke dalam lubang kemaksiatan?”
“Apakah engkau tidak membenci pelaku dosa ini?”
Abu Darda menjawab dengan sungguh berakhlak, “Aku bukan musuh dirinya tetapi dosanya
Allah,  menjadi matlamat yang luhur
Matlamat dakwah adalah menyeru manusia mentauhidkan Allah. Itulah perkara utama yang harus ditekankan iaitu tauhid. Ramai orang hanya berpegang Islam tanpa tauhid hakiki. Sedangkan orang yang benar-benar memegang tauhid telah memasuki Islam secara menyeluruh. Dan disebabkan Allah menjadi matlamat yang luhur, suka saya berkongsikan kata-kata yang saya dapat daripada saudara saya yang mengikuti Jemaah Tabligh.
Kita sering menyangka dakwah adalah menyeru manusia lain kepada Allah dan membetulkan diri mereka. Sedangkan dakwah adalah seruan kepada diri kita sendiri agar menuju Tauhid kepada Allah kerana apabila kita berusaha menyeru orang lain, secara tidak langsung kita akan bersungguh memperbaiki diri agar usaha ini diredhai Allah dan diterima orang ramai. Usaha kita bukan usaha memperbaiki masyarakat, tetapi usaha mengembalikan tauhid ke atas dunia ini. Usaha atas iman dan usaha ini tidak dapat dilakukan tanpa kebenaran hati dan niat.
Cukup menyedarkan hati dan sanubari. Apabila kita hendak menasihati orang lain kita harus menasihati diri kita sendiri. Bagaimana kita mampu memberi manfaat terhadap orang lain sedang diri kita tidak mendapat manfaat. Takutlah peringatan Allah tentang kebencianNya terhadap orang yang menasihat orang lain tetapi melupakan dirinya. Bersabarlah dalam berdakwah dan jangan bersikap gopoh.
Kesimpulan
Erti hidup pada memberi. Jangan sedih apabila tidak disayangi, sedihlah apabila diri tidak mampu menyayangi. Jangan sedih apabila tidak dihargai, sedihlah apabila diri tidak berharga dan tidak menghargai orang lain. Apa yang paling utama, bersabarlah setiap kali ujian menimpa. Bersikap positif lah setiap kali teruji dan fikirkanlah ”
“Lebih baik siapa kita di depan Allah daripada siapa kita di depan manusia.”

Cinta Ditolak Atau Putus Cinta ?

Cinta Ditolak Atau Putus Cinta ?

Istilah ini sering kita dengar bukan? 
Ianya ibarat satu perkara norma dalam kehidupan ini. Setiap individu pasti punya cara tersendiri untuk melalui saat-saat ketika mana cinta ditolak dan juga putus cinta. Adakalanya, kita merasakan terlalu sakit, down, sedih dan banyak lagi perasaan yang negatif ini muncul disanubari. Memang ianya tidak dapat dinafikan. Saya juga seperti anda, pernah melalui saat-saat yang menyakitkan ini. Kadang-kadang, saya merasa seperti “mayat hidup”. Mencari-mencari bilakah waktu kesedihan ini akan sampai ke akhirnya? 
Adakalanya seperti sudah tiada jalan penyelesaiannya. Ramai individu, rakan-rakan di sekeliling yang memberi nasihat, namun kadang-kadang nasihat mereka mungkin menambahkah kesakitan luka di hati yang mana di ibaratkan mencurahkan lagi cuka di atas tempat yang luka itu. Sakit dan perit itu kian terasa. Betul kan? Ya, saya juga seperti anda. Pernah melalui semua ini. Jika hari ini anda merasakan semua itu, saya di sini ingin mengajak anda bangun bersama saya, berdiri dan melangkah meneruskan kehidupan ini. PUTUS CINTA? CINTA DITOLAK? itu bukan pengakhiran hidup kita. Inilah yang Allah hadiahkan untuk kita iaitu ujian. Mengapa Dia anugerahkan semua ini buat kita? Hanya satu jawapannya.
KERANA DIA SAYANG PADA KITA, DIA INGIN KITA KEMBALI PADA-NYA, MENGADU KEPADA-NYA.
Cinta itu satu fitrah. Tidak ada siapa pun yang dapat menghalang hati kita ini untuk mencintai dan di cintai. Setiap individu pasti inginkan semua ini. Namun, dunia kini, ramai yang mewarnai cinta dengan perkara-perkara ilusi dan fantasi. Kebanyakan daripada kita, apabila bercinta pasti ingin ber dating, bermesej, bergayut sehingga lewat malam di telefon. Dan adakalanya terpaksa berhabis duit untuk mereka yang kita cintai ini. Untuk memberi hadiah kepada orang yang dicintai ini tidak salah, tetapi yang dimaksudkan berhabis duit ini adalah apabila kerap kali keluar dating, SMS dan juga bercakap di telefon sepanjang hari. Bukan kah ini satu pembaziran? Inilah fenomena cinta masa kini.
Saat ini, detik ini, mari kita singkap kembali apa itu cinta pada kita? Apakah maksud ‘cinta’ yang kita terapkan dalam jiwa kita ini? Adakah cinta itu apabila saling ambil berat, berduaan dan bermesra sebelum akad di lafazkan? Saya juga muhasabah diri tentang definisi cinta yang saya bawa sejak dulu. Namun kini saya sedar, sekiranya CINTA, pasti saya ingin orang yang saya cinta itu bersama saya berada di syurga, menuju ke syurga Ilahi. Mustahil jika kita menyatakan kita menyayangi dan mencintai insan tersebut, tetapi pada dasarnya kita membawa dia atau menolak dia ke dalam api di mana api itu terlalu panas berbanding di dunia ini yakni neraka jahanam. Jadi di sinilah, kita harus perbetulkan istilah cinta yang kita bawa kerana cinta itu adalah sesuatu yang cukup suci. Jangan kotorkan cinta itu dengan sesuatu yang tidak baik.
Kemudian, apa perlu buat jika cinta di tolak atau putus cinta? Ambil alkohol? Merokok? Bunuh Diri? Dan ada juga yang sanggup merubah keadaan jantina masing-masing. Untuk apa kita lakukan semua itu? Kita punya agama dan kita hidup bertuhan.
Ya, putus cinta atau cinta ditolak itu sangat perit dan sakit. Saya sendiri merasakan semua itu. Apabila terbangun dari tidur, tidak lain dan tidak bukan hanya satu impian saya agar menjadikan kesakitan itu hanyalah mimpi. Namun, jika berbalik kepada definisi cinta yang baru sahaja kita cipta sebentar tadi, wajarkah seseorang perempuan atau lelaki yang ingin ke syurga itu perlu bersikap lemah? Sedangkan dalam ayat 2 surah al-ankabut, Allah menyatakan;
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedangkan mereka tidak di uji? “
Jadi daripada apa yang ada dalam ayat itu, jelas lah kita akan di uji. Namun bagaimana untuk kita melalui ujian ini lah yang harus kita fikirkan. Saya juga insan yang lemah. Tetapi saat ini, kita harus sama-sama membina diri kita. Mungkin dengan putus cinta atau cinta ditolak ini, Allah ingin kita mendekatkan diri kepada-Nya dan meningkatkan iman kita. Dulu sebelum terjadi kesedihan ini mungkin kita jarang sekali baca Al-Quran, Solat Sunat Malam dan berjemaah di Surau. Oleh itu, ambil lah peluang ini untuk kita kembali kepada-Nya secara istiqomah. Walaupun tidak mampu melakukan ibadah itu dengan kadar yang lebih, lakukanlah yang termampu dan istiqomah. Kerana Allah swt lebih suka jika kita istiqomoh melakukan ibadah daripada melakukan secara berlebihan tetapi tiada istiqomah. Jadi, ini lah jalan utama untuk kita bina diri kita yang baru.
Seterusnya, carilah bahan bacaan yang dapat membina diri kita. Bukan hanya bahan bacaan mengenai cinta atau tips memperbetulkan hubungan cinta yang telah retak itu. Namun carilah sesuatu bahan yang boleh membuka minda kita tentang kasih sayang Allah kepada kita. Apabila sesuatu bahan bacaan itu membuatkan kita bermotivasi dan bersemangat, maka bacalah ianya berulang kali kerana adakalanya diri kita ini kembali rebah dan bersedih. Justeru, jadikan bahan bacaan itu sebagai satu inspirasi untuk kita bangun dan berjuang untuk kehidupan ini.
Kemudian apabila kita kecewa seperti ini, kita pasti akan merasa untuk menangis, meratapi dan bersedih. Ya, kerana saya juga pernah melalui semua ini. Persilakan untuk anda menangis dan bersedih itu. Tapi, jangan pula berlarutan. Sibukkanlah diri kita dengan sesuatu yang bermanfaat seperti study, beriadah dan buatlah sesuatu yang mampu menenangkan hati. Jangan terus berada dalam lingkungan kesedihan dan kekecewaan. Sedih dan kecewa itu perkara biasa untuk kita sebagai manusia. Namun, apabila saya sedih, saya selalu ingat yang Allah bersama saya. Ya, Dia tidak hanya bersama saya, tapi juga bersama kita semua. Ingat, senjata utama seorang mukmin itu adalah doa. Justeru, perbanyakkan doa.
Dan yang terpenting apabila kita kecewa atau sedih dengan keadaan putus cinta atau cinta di tolak ini, lepaskanlah semuanya. Jangan di fikir lagi tentang semua ini, teruskan kehidupan. Semua ini tak mudah. Kadang kala kita terfikir, siapa lagi yang nak kawin dengan kita? Tapi, kita harus mencuba untuk kuatkan diri. Bagaimana? seperti yang saya katakan tadi, lepaskan semuanya, jangan difikir lagi dan teruskanlah kehidupan kita. Dan pada ketika ini, ada sesuatu yang harus kita pelajari iaitu “KEIKHLASAN”. Ya, ikhlas lah. Apabila kita ikhlas, kita pasti melakukan semua itu hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah. Tanamkan ini dalam hati kita, sematkan niat untuk ikhlas ini. Pasti, saya dan anda semua akan merasakan satu ketenangan. 
Jangan di fikir lagi, siapa yang salah dan siapa yang betul dalam hal ini. Jangan di fikir kenapa dia melakukan semua ini pada kita. Jangan difikir dengan siapa kita nak kawin dan adakah dia akan kembali lagi pada kita? Dia ini jodoh kita ke tak sebenarnya? Satu yang boleh saya katakan tentang setiap persoalan ini iaitu “sejauh mana pun kita fikir tentang semua ini, kita tidak akan menemui jawapannya”. Jika anda bertanya, Mengapa? Jawabnya pemikiran manusia ini terbatas, kita tidak tahu sesuatu yang ghaib melainkan Allah Maha mengetahui. Kemudian, ikhlas lah dan yakinlah setiap apa yang kita lakukan sama ada baik atau buruk, Allah pasti akan membalasnya. Sematkan ini juga di hati kita. Kita tak boleh lemah.
Jagalah hubungan kita dengan Allah, Banyakkan zikir. Singkapkan kembali definisi cinta yang kita terapkan di minda dan jiwa kita. Jika benar mencintai, bukan dengan cara ber dua-duaan. Couple atau coupling bukan syarat untuk mengatakan dia adalah jodoh kita. Ramai yang ber couple tetapi selepas nikah setahun dua, dah bercerai. Adakah itu di namakan jodoh? Wallahua’llam. Ya, putus cinta atau cinta di tolak ini memberi impak yang amat besar untuk saya dan saya tahu, untuk anda juga.Jadisama-samalah kita muhasabah diri. ingat, setiap kesulitan pasti akan di sertakan dengan kemudahan. peganglah pada janji-janji Allah. Dia sentiasa dekat dengan kita. Sebagai penutup kita renungkan maksud ayat di bawah ini;
“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” [Surah At-Talaq ayat 2-3].
Cinta Khaliq VS Cinta ‘Abdun
image https://i.imgur.com/oBgRZwn.png
”Bila CINTAMU kenal ILAHI, jadilah CINTAMU BERSTATUS TINGGI.”- Ustazah Fatimah Syarha.
”Apa-apa yang membawa ke SYURGA, itulah CINTA.”- Hilal Asyraf.
Bila manusia terlalu asyik dibuai dengan keindahan cinta dunia, cinta manusia, hukum DIA dicampak entah ke mana-mana. Bila ‘cinta’ yang selama ini dipertahankan bertahun-tahun lamanya, terputus di tengah jalan, mulalah hati rasa kecewa, merana, putus asa. Kadangkala, tidur tak lena. Makan tak rasa apa-apa. Segalanya hambar, kosong, tidak terdaya. Ibaratnya, hidup sudah tiada makna.
KAMU. Iya, kamu. Kamu yang sedang patah hati kerana ‘cinta manusia’.
Aku mahu tanya. Adakah ini ‘cinta’ yang kita agung-agungkan?
Cinta yang membuat kita futur dari Tuhan?
Cinta yang membuat kita berputus asa dari AL-RAHMAN?
TIDAK SAMA SEKALI. Ini bukan cinta. Ini malapetaka.
KAMU. Iya, kamu.
Kamu yang sedang MENZALIMI HATI YANG ALLAH AMANAHKAN UNTUKMU.
Sedarkah bahawa kita sedang menzalimi hati kita dengan cinta manusia?
Aku mengerti. Aku mengerti akan tuntutan fitrah yang satu itu.
Aku juga manusia. Manusia biasa yang punya hati dan perasaan, sama seperti kalian.
Aku bukan robot, yang hatinya tidak pernah wujud.
Kita sama-sama punya ‘rasa cinta’,tapi cara kita MENGURUSKAN CINTA itu berbeda.
Aku tidak kata, aku arif menguruskan fitrah cinta. TIDAK.
Tapi, InsyaAllah. Mari, aku khabarkan apa yang aku tahu tentang CINTA.
Buat sahabatku yang sedang patah hati dan kecewa kerana cinta manusia.
Subhanallah, MashaAllah. Sedarkah kalian sebenarnya Allah mencintai kalian?
Iya. Mungkin kau fikir Allah itu kejam kerna DIA ambil orang yang kau sayang.
Tapi, ayuhlah. Buka mata hatimu, lihat hikmah yang terbentang luas di hadapanmu.
Sedarkah bahawa Allah ingin mengisi hatimu dengan cinta yang tiada belah bahagi pada-NYA?
Subhanallah. MashaAllah. Tabarakallah.
Aku tahu. Perit rasanya ‘cinta’ yang selama ini kau pertahankan, akhirnya putus di tengah jalan.
Setiap apa yang kalian janjikan, kini hanya tinggal angan-angan.
Bertabahlah. Allah itu tidak pernah kejam.
Malah, DIA sebenarnya ingin nyatakan DIA SAYANG AKU, MEREKA DAN KALIAN.
Kamu tahu? Seharusnya yang bertakhta di hati manusia itu cuma DIA dan Rasul-NYA.
Kalau benar dia cintakan kamu, dia tidak akan sesekali mengajakmu
MENDEKATI JALAN NERAKA.
Iya. MENDEKATI JALAN NERAKA.
Sahabat. CINTA itu tidak salah. Tapi, cinta yang bagaimana?
CINTA itu untuk siapa? Milik siapa? Untuk apa? Bagaimana? Kapan tiba?
- CINTA itu milik DIA. Untuk DIA. Untuk dapatkan redha-NYA bukan murka-NYA. Dengan mengikuti segala apa yang telah ditetapkan-NYA. Bila-bila masa dan di mana saja kita berada.
Seperti yang aku katakan tadi. Cinta itu tidak salah. Kau mahu bercinta? Silakan. Tiada yang menghalang kalian. Tapi, cinta yang bagaimana? Cinta yang berpaksikan Allah semata. Cinta yang mengharapkan redha-NYA. Cinta yang makin mendekatkan kamu pada-NYA. Yang membuat kamu semakin bersemangat untuk bercinta dan mengenal DIA dan Rasul-NYA. Cinta yang membuat kamu menjadi manusia yang hebat di mata Allah dan seluruh penduduk langit khususnya. Lalu bagaimana untuk mendapatkan cinta sebegitu? Dengan mengisi nama-NYA semata-mata. Kamu tahu?
Ada bedanya
‘KERANA ALLAH, AKU MENCINTAIMU’ dengan ‘KERANAMU AKU MENCINTAI ALLAH.’
Apa bedanya? Bedanya pada siapa yang kau aulakan cintanya.
CINTA ALLAH, atau cinta manusia?
MAAF. Aku memang tidak arif bersastera, berbicara soal cinta. Tapi, aku mahu kalian dan aku sendiri membuka mata hati yang selama ini sengaja buta menilai cinta-NYA dan Rasul-NYA. Aku tidak kata menyimpan nama orang lain dalam hatimu itu satu dosa. TIDAK. Allahu’alam. Aku tidak tahu. Sungguh, yang namanya DOSA dan PAHALA itu hanya ALLAH yang berhak menilainya.Tapi, nasihatku untukmu juga untukku, simpan saja ‘dia’ dalam DOA kita, bukan dalam hati kita. Kerana apa? Kerana hati itu bolak-balik sifatnya. Kalau DOA itu, InsyaAllah, sampai kepada-NYA.
Kamu tahu? Bercinta dalam diam itu sungguh indah rasanya.
Kerana apa? Kerana cinta itu tidak disandarkan pada manusia.
Hanya disandarkan pada Allah semata. Bagaimana?
Katanya cendekiawan,
”Kalau mahu lihat apa manusia itu penting dalam hidupnya berbanding yang lainnya, lihatlah berapa kerap dia menyebut namanya dan menyimpan namanya dalam doa dan sujudmu pada-NYA.”
Benar sekali katanya, tiada dusta!
Kata Nabi, orang yang ‘jatuh cinta’, cenderung untuk selalu mengingati dan menyebut orang yang dicintainya (man ahabba syai’an katsura dzikruhu). Kata Nabi, manusia juga bisa ‘diperbudak’ kerana cintanya (man ahabba syai’an fa huwa ‘abduhu).
Persoalannya; APA PANTAS MANUSIA ITU LEBIH DIINGATI BERBANDING PENCIPTA?
Persoalannya; APA PANTAS MANUSIA ITU LEBIH DISEBUT BERBANDING ASMA’-NYA?
Cinta yang mana yang kita sedang dustakan? Cinta yang mana yang kita sudah agungkan?
Tanya; CINTAKAH KITA PADA TUHAN?
Tanya; CINTAKAH KITA KEPADA NABI MUHAMMAD SAW?
Jadi, cinta yang mana harus kita utamakan? Apa pernah kita berdoa khusus meminta cinta Tuhan?
Apa pernah kita berdoa khusus agar kita lebih mencintai Muhammad solla llahu ‘alaihi wasallam berbanding manusia yang lainnya? Apa pernah kita berdoa khusus untuk ibu dan ayah kita? Atau kita hanya berdoa khusus agar DIA menjaga ‘dia’ sebaik-baik jagaan-NYA?
Cinta yang mana yang kita dambakan? Cinta yang sementara atau cinta berpaksi DIA semata? Cinta yang mana yang kita utamakan? Cinta kepada si ‘dia’ atau cinta kepada-NYA?
Ayuh, muhasabah diri.
Selama ini, kita tidak ‘bercinta.’
Tapi, kita hanya berpura-pura.
Yang namanya ‘cinta’ itu sangat suci.
Usahlah kita nodai dengan racun-racun yang membuat kita jauh dan futur dari RABBI.
KAMU. Iya, kamu.
Tidak apa jika tiada manusia di hati. 
Asal ada RABBI.
Aku mahu cintamu berstatus tinggi.
Aku mahu cintamu kenal ILAHI.
Kerana pada hakikatnya, cinta itu punya sebabnya sendiri.
‘Cinta akan lenyap bersama lenyapnya sebab.’
ALLAH itu tidak akan pernah lenyap.
Jadi, niatkan kerana-NYA.
Aku mahu kau mencintai-NYA dan Rasul-NYA lebih daripada segala-galanya.
Aku mahu kau ke syurga, bukan neraka.
Aku mahu kau usaha untuk mujahadah seperti mana aku sedang cuba.
Aku mahu kita sama-sama jadi yang terbaik pada pandangan-NYA.
Aku mahu kita cari DIA. Hanya DIA semata.
Yuk! ISTIGHFAR.
Yuk! BERCINTA DENGAN-NYA!
Yuk! BERCINTA DENGAN RASUL-NYA!
Yuk! BERCINTA DENGAN ILMU-NYA!
Yuk! SALING MENCINTAI KERANA-NYA HINGGA KE SYURGA!
P/S: Tuhan; ALLAH telah membentangkan jalan penuh hikmah; nikah. Kenapa perlu memilih jalan mudarat, jalan penuh maksiat? Kalau masih tidak mampu untuk menikah, maka mujahadahlah. InsyaAllah, ada ganjaran di sisi-NYA. Hidup ini bukanlah untuk diisi dengan kecintaan terhadap manusia semata.
Fitrah, usah nafi. Tapi jangan makan diri. Doa tanpa henti. Biar fitrah direstui Ilahi.
Semoga saudaraku yang berada di Gaza, Syria, Mesir dan lainnya baik-baik saja. Semoga ‘cintaku’ sampai kepada mereka. Malunya aku pada adik-adikku di sana yang masih kecil. Tiada masa untuk fikir soal cinta manusia. Yang mereka tahu adalah;
HIDUP DAN MATIKU HANYA KERANA-NYA.
Kau dengan cinta ‘dia’. Aku dengan cinta DIA. Cinta kita berbeda.
Maka, siapa lebih bahagia?
Penulis : El Husnayan
Bukan Kerana Dunia
image https://i.imgur.com/akMFXQe.jpg
Matanya memandang ke langit. Hujan masih tali-bertemali turun dari langit yang sudah tiada awan menghiasinya. Senyum, sambil matanya dipejam. Subhanallah, sejuknya. Angin sejuk, bau hujan dan bunyi titis air yang turun ke bumi membuatkan dia rasa suatu perasaan yang sungguh dekat pada Yang Maha Mencipta. Tenang. Ya, dia rasa tenang. Tenang kerana ingatan dan hatinya kembali ada pada Allah.
Surah Ar-Ra’d ayat 28,
“ (iaitu)orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang tenteram.”
‘Tenang,bila hati ada pada Allah,’ Iman tersenyum lagi.
Sudah lama dia tak merasa hujan bumi Terengganu ini. Hampir tiga bulan dia tidak pulang, Jihad mencari ilmu di tanah asing.
Perasaan gementar tu memang ada bila tercampak kat Kuala Lumpur seorang diri dulu. Lepas SPM, kawan-kawannya berterabur merata di bumi Allah ini. Dan dia seorang saja yang mendapat tawaran ke Universiti Malaya di Pusat Asasi Sains di bawah tajaan JPA.
Ketika dia belajar, dia ada dapat tawaran medik ke Rusia tapi dia yang menolak, sebab cita-cita asal dia memang nak jadi jurutera dalam bidang kimia. Semoga Allah mengabulkan cita-citanya. Dia dah melangkah dua langkah dalam mengejar cita-citanya itu. Sekarang dia tengah bercuti tiga bulan,buka semester baru nanti, dia akan masuk ke tahun akhir dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia.
Memang universiti tempat dia belajar itu tak ada perkataan ‘ISLAM’ pada namanya. Tapi Subhanallah,rahmat Allah ada di mana-mana, seluas langit dan bumi. Dia tak sangka, dia bertemu dengan cinta di sini. Cinta Allah yang tak pernah meninggalkan dia sendiri. Dulu, hatinya tenang tapi tak setenang kini. Sebab kat sini dia belajar menjadi dewasa. Mengenali cita-cita sebenar seorang mujahid sejati. Syahid di jalan Allah swt.
============================================================================================
“Dan barangsiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka akan mendapatkan di bumi ini tempat hijrah yang luas dan (rezeki) yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kerana Allah dan RasulNya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh,pahalanya telah ditetapkan di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun,Maha Penyayang.”
Ayat ke 100 daripada Surah An-Nisa’ itu selalu menjadi penawar hatinya bila kadang-kadang dia terasa lelah dengan perjuangan di rantau orang padahal dia ni belajar dalam negara,belum duduk luar negara lagi.
Hidup sebagai seorang Islam yang masuk keseluruhannya ke dalam Islam itu sememangnya manis. Kalau kita rasa lemah,kita ada ayat-ayat cinta daripada Dia untuk memujuk. Kalau kita rasa gembira pun,kita tetap ada. Dia tempat kita sandarkan rasa syukur yang tak terhingga. Alhamdulillah. Iman bersyukur dengan hidup yang dia ada.
Kalau dulu di sekolah menengah, dia rasa dia dah cukup baik. Dia percaya dia baik sebab semua orang kata dia baik. Berasal dari keluarga yang berlatar belakangkan agama yang boleh dikatakan utuh, buat dia menjadi rujukan kalau ada antara kawan-kawannya ada masalah di sekolah dulu. Astaghfirullah. Insaf bila teringatkan diri yang pernah bangga dengan diri sendiri, padahal ilmu agama yang dia ada tak sehebat sahabat-sahabat dia di sini.
Dan bumi Kuala Lumpur menyaksikan air mata seorang Muhammad Iman tumpah; bukan lagi kerana dunia tapi kerana merasa kecil dan lemahnya dia seorang hamba. Tegar saja dulu berasa dirinya hebat sedangkan ilmu agamanya sikit sangat-sangat.
Ya. Dia pernah pudar kerana dunia. Dia pernah tenggelam dalam cinta dunia. Dia malu dengan Allah. Dia pernah suka melebih-lebih pada seorang bukan muhrimnya. Dia tahu seorang muslim itu mesti menundukkan pandangan seperti dalam firmanNya dalam Surah An-Nur ayat ke 30,
“katakanlah kepada lelaki yang beriman,agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kehormatannya,yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.”
Tapi rupa-rupanya iman seorang yang bernama Iman ini masih lemah diuji perhiasan dunia. Dia tahu apa yang dia buat itu salah, tapi waktu itu perasaan berdebar dalam hatinya tiap kali bertentang mata dengan Hanim terasa indah, mengaburkan dia tentang indahnya lagi mentaati perintah Allah dalam Surah An-Nur itu. Astaghfirullah. Hanim itu kawan satu sekolahnya, tapi dia tak pernah pun berbual; hanya memandang dari jauh.
Tapi diamnya dia bukan diam yang tiada gunanya. Diamnya dia selama ini daripada berbicara soal hati bukan diam yang sia-sia. Lima tahun. Hampir lima tahun dia simpan hatinya kejap-kejap dari diketuk mana-mana wanita. Mama asyik tanya betul ke dia tak ada kawan dengan siapa-siapa? Mama risau dekat dia macamlah dia anak perempuan,takut lambat jodoh. Iman tersenyum. Mama,mama. Kalaulah mencari calon isteri itu semudah memetik suis lampu, dah lama angah buat,ma. Tapi mamanya memang selalu pandai mematahkan hujahnya.
Hampir lima tahun dia tak bertemu gadis itu. Tapi namanya tetap ada dalam fikiran,dalam hati. Hanim Najwa.Lima tahun ini bukan lima tahun yang sia-sia baginya. Dia sudah berusaha sungguh-sungguh agar hatinya tidak tunduk dengan dunia.
Tak apa Iman, kalau betul jodohnya dengan Hanim, pasti Allah datangkan kembali Hanim pada dia. Kalau tak ada, insyaAllah pasti ada yang lebih baik menanti untuk menjadi suri hatinya nanti. Iman tak mahu risau lagi, sebab dia yakin Allah telah sediakan yang terbaik untuknya. Apa yang dia ingin lakukan, berjuang sungguh-sungguh di jalan Allah sebab dia sayangkan warisan tinggalan Rasulullah SAW ini. Syahid di jalanNya. Amin.
Bibirnya melafaz tasbih cinta.
Subhanallah. Alhamdulillah. Laa ilahaillah. Allahuakbar...
Penulis : Nur Iman