Cita-Cita Yang Tak Pernah Menjadi

Cita-Cita Yang Tak Pernah Menjadi


Bertanyalah pada mereka yang berusia lebih 20 tahun : apakah bidang yang mereka terokai itu, adalah apa yang mereka impikan? Saya percaya 5 daripada 10 orang daripada mereka yang ditanya itu akan mengiyakan dengan yakin dan bangga. Mereka ini akan berkata, ‘ya’ inilah bidang yang mereka ingin ceburi.


Bertanyalah pula pada mereka yang berusia lebih 30 tahun : apakah bidang yang mereka ceburi itu adalah apa yang mereka impikan? Saya percaya, daripada 10 orang yang ditanya, tidak seorang pun daripada mereka sedang menikmati bidang yang mereka cita-citakan.


Tanyalah mereka yang lebih 30 tahun di sekeliling anda; jiran, kenalan, sahabat, rakan sepejabat, malah sesiapa sahaja. Anda akan dapati bidang yang mereka terokai itu sama sekali bukan bidang yang dicita-citakan. Malah, tanyalah diri kita sendiri. Apakah bidang yang menjadi kerjaya kita kini adalah sebenar-benarnya bidang yang kita impi-impikan? Jawapan yang jujur tentulah ‘tidak!’


Okeylah, mana mungkin tiada sesiapa pun yang tidak mencapai dan menikmati apa yang dicita-citakan? Kenyataan di atas mungkin sekali andaian. Namun, jika kita temui orang yang benar-benar mempunyai cita-cita sejak kecil untuk menjadi arkitek dan dapat melanjutkan pelajaran dari peringkat diploma, degree, master dan peringkat kedoktoran di dalam bidang itu, dan kini adalah seorang arkitek ~ tanyalah kepada mereka apa yang mereka mahu? Jawapan mereka ialah mereka mahu meninggalkan bidang itu dan menceburi bidang lain!


Mengapa terjadi begini? Mengapa cita-cita yang diingini beralih arah, seiring waktu beranjak? Mengapa pula cita-cita yang digapai hendak dilepaskan pula? Bukankah ini menandakan hanya Dia berkuasa terhadap apa sahaja?


Merancanglah dengan teliti dan rapi. Kemudian berusahalah dan gapailah apa yang diimpikan itu. Sebaik sahaja kita berasa berjaya memperoleh sesuatu dengan usaha kita sendiri, tanpa kita sedari, apa yang dicita-citakan, apa yang tergapai semuanya akan melorot dari genggaman.


Kerana apa? Kerana Allah tidak mahu kita berasa, kitalah yang berjaya di atas usaha sendiri. Lantas berdasarkan kejayaan itu, kita terus berusaha dan berusaha hingga mempunyai kepercayaan yang kita berkuasa terhadap kehendak itu. Lantas perasan kitalah master of our destiny, lalu melupakan kesemuanya adalah di dalam genggaman-Nya.


“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya). Samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa)


di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

~ Al- Hadid: 20


Justeru itu, janganlah terlalu berbangga bila memperoleh apa yang diimpikan.

Jangan pula meraung sakan andainya apa yang dicita-citakan tidak dapat digapai.

Segala-galanya adalah hak Pencipta seluruh alam ini.


Penulis : Norden Mohamed

Penguat Semangat Untuk Bekerja

Penguat Semangat Untuk Bekerja


Lalalala.. Hari-hari kerja! Bosan dengan kerja…

Memang mengena lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan Meet Uncle Hussein ini. Kadang-kala kita berasa penat dan bosan dengan pekerjaan yang sedang kita lakukan.

Mahu saja rasanya letak jawatan dan duduk di rumah ‘goyang kaki’. Namun, apabila terbayangkan wang ringgit yang amat diperlukan dalam kehidupan, pantas saja digerakkan kaki yang terasa malas dan berat, melangkah ke tempat kerja. Mulut pula mula mengomel, “kalau tak kerja, macam mana la nak hidup..”.  Inikah makna sebenar kerja pada kita?

Sejak dari kecil lagi, kita diajar membina impian kerjaya oleh ibu dan ayah. Malah, di sekolah juga para guru selalu meniupkan semangat kepada kita agar menjadi seorang yang mempunyai cita-cita. Pertanyaan yang wajib kita dengar saat semakin membesar, “dah besar nanti anak mama nak jadi apa?”.

Lalu, dari situ kita mula mencipta imaginasi tentang hebatnya untuk menjadi seperti apa apabila dewasa nanti. Tanpa diketahui maksud sebenarnya, lantang saja kita menjawab, “nak jadi cikgu!”. Kini, tak disangka-sangka cita-cita itu tidak kesampaian walau kita telah melepasi puncak menara gading. Apakan daya, ini rezeki yang Allah tentukan.

Niat Kerana Allah Pencetus Semangat

Tidak berjaya menjadi seperti apa yang kita impikan sememangnya amat mengecewakan. Namun, mestilah diingat bahawa di mana jua kita diletakkan, di situlah rezeki kita dan tempat kita berusaha. Justeru, walau pekerjaan itu bukanlah bertepatan dengan minat kita sendiri, kita seharusnya mempunyai azam untuk bekerja dengan ikhlas, jujur dan memegang amanah tersebut dengan niat kerana Allah. Bukan sekadar bekerja kerana gaji atau lebih tepat lagi seperti yang selalu disebut, “nak hidup punya pasal..”.

Setiap apa yang kita lakukan semuanya bermula dengan niat. Niat itulah yang menjadi titik mula bagaimana kita akan memikul tugas yang digalas. Niat bekerja kerana Allah akan memandu setiap perbuatan kita dalam menghasilkan mutu kerja yang cemerlang dan berkualiti. Seperti mana kita menyebut berulang kali Surah al-An’am ayat 162 di dalam solat,

“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku untuk Allah, Tuhan sekalian Alam”.

Kalimah yang kita ucapkan pada Allah dengan bersungguh-sungguh itu perlulah kita ingati ketika menjalankan pekerjaan duniawi. Kerja harus dianggap sebagai ibadah yang dimulakan dengan niat yang baik berserta istiqamah. Sabda Rasul SAW,
“Bahawa Allah mencintai seseorang yang apabila ia mengerjakan sesuatu kerja, ia laksanakan dengan cemerlang.” (Hadis riwayat Abu Ya’la)
Dari kita merungut kemalasan dan mengenang nasib di pagi hari saat bangun tidur, adalah lebih baik jika kita berniat untuk bangun bekerja kerana Allah. Sudah pasti badan terasa lebih kuat, minda terasa lapang dan hati terisi dengan semangat yang positif. Simptom seperti makan ‘gaji buta’ dan ‘curi tulang’ pasti dapat dielakkan. Ada yang berkata, masalah di tempat kerja yang membuatkan semangat untuk menjalankan tugas terasa lemah dan minat yang sememangnya ada seakan hilang.

Dugaan Semasa Bekerja

Kadang-kala timbul masalah tidak ‘sekepala’ dengan rakan-rakan sekerja. Majikan pula selalu merungut ada saja perkara yang tidak kena. Inilah ujian dan dugaan di alam pekerjaan. Tidak mungkin kita boleh ‘ngam’ dengan semua orang disekeliling kita.

Apa yang membuatkan kita mampu bertahan dan terus bekerja dengan gembira adalah dengan menjadi seorang yang bijak mengawal keadaan. Berfikiran positif dan selalu memperbaiki diri adalah faktor utama menangani situasi ini. Jangan dek sedikit saja onak duri yang mendatang, mulalah merangka surat perletakkan jawatan!

Perkara yang paling menguji diri kita sebagai seorang pekerja juga adalah elemen kejujuran. Sukar untuk menjadi jujur walau tidak ‘mengulat’ selama satu minit sahaja. Menyalahgunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh syarikat untuk kepentingan sendiri. Kita anggapkan tiada siapa yang tahu dan melihat, jadi tidak apalah. Kebetulan pula bos tidak datang, kita pun bersuka-suka dan tidak serius dalam bekerja. Ada juga yang buat kerja alai-balai kerana tidak suka pada majikan.

Kerja Sebagai Ibadah

Jadikanlah Allah sebagai ‘majikan’ tertinggi, maka kita akan jujur dalam menjalankan tugas. Apabila niat bekerja kerana Allah, disulami dengan keikhlasan, kesungguhan dan istiqamah, mudah-mudahan setiap pergerakan kita bermula dari kita keluar rumah, semasa di tempat kerja sehinggalah perjalanan pulang ke rumah dikira sebagai ibadah di sisi Allah.

Ganjaran di dunia dan kemuliaan di akhirat itulah yang harus kita genggam sebagai matlamat dalam kerjaya. Firman Allah SWT,
“Maka apabila telah ditunaikan solat, bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia (rezeki) Allah dan ingatlah akan Allah sebanyak-banyaknya, mudah-mudahan kamu berjaya.” (al-Jumu’ah: 10)
Apabila niat bekerja kerana Allah, disulami dengan keikhlasan, kesungguhan dan istiqamah, mudah-mudahan setiap pergerakan kita bermula dari kita keluar rumah, semasa di tempat kerja sehinggalah perjalanan pulang ke rumah dikira sebagai ibadah di sisi Allah.

Penulis : Mohd Kasim


10 Nasihat Daripada Bryan Loo, Pengasas Chatime Malaysia

10 Nasihat Daripada Bryan Loo, Pengasas Chatime Malaysia

Syarikat Loob Holding Sdn Bhd merupakan syarikat yang bertanggungjawab membawa Chatime ke Malaysia. Selain Chatime, syarikat ini juga turut mengasaskan sebuah restoran Jepun iaitu Hacha Mecha yang terletak di Kuala Lumpur, bar wisky Ikki, Spanish yogurt Llao Llao, dan terakhir sekali adalah wafel Grid & Go. Bryan Loo merupakan pengasas dan juga pengarah, telah memenangi beberapa anugerah iaitu, Best Master Franchisor pada tahun 2012 dan ‘Emerging Entrepreneur of the Year’ di Ernst & Young Entrepreneur pada tahun 2013.
Sebelum melangkah ke dunia usahawan, beliau merupakan seorang pelajar dari Monash University berkelulusan dalam bidang Bioteknologi, dan seterusnya bekerja dalam syarikat sel stem. Selepas 2 tahun bekerja dalam bidang tersebut, beliau telah bertukar angin dan ingin  memulakan perniagaan dalam F & B franchais bersama-sama dengan bapanya. Akhirnya, Loo berjaya mencipta produk minumannya sendiri iaitu Chatime, dan yang paling membanggakan produk tersebut berjaya menambat hati pelanggan yang membelinya. Kini, Chatime telah mempunyai 150 cawangan di seluruh negara.
Berasal dari Negeri Perlis, anak muda ini tidak kekok untuk berkongsi ilmu. Pada Forum Belia Sarawak 2016, yang berlangung di Borneo Convention Centre Kuching pada 9 April yang lalu, Loo telah berkongsi pandangan dan pengalaman beliau sepanjang bergelar seorang usahawan muda.
Di sini, terdapat beberapa hasil perkongsian beliau dan juga nasihat yang boleh kita semua ikuti.
#1 – Bijak Mencari Peluang
Bapa muda kepada dua orang anak perempuan ini berkata, “Jika anda ingin menjadi seorang usahawan yang berjaya, anda perlu bijak untuk mencari dan merebut peluang yang ada” . Ini kerana, jika anda sentiasa melengah-lengahkan usaha, peluang tersebut tidak akan datang kembali.
#2 – Mendapatkan Sokongan
Untuk menjadi seorang usawahan yang berjaya, tidak semestinya anda mempunyai idea-idea yang hebat. Apa yang paling penting adalah, mempunyai individu yang sering bersama-sama dengan kita sewaktu susah ataupun senang. Keluarga dan rakan-rakan antara orang yang paling dekat dengan kita, merekalah yang sentiasa memberi dorongan dan galakan untuk terus berjaya. Bagi Loo, tanpa mereka beliau tidak mungkin akan dapat berjaya sehingga ke tahap sekarang.
Kini, beliau mempunyai 15 orang rakan-rakan yang dikenalinya sejak zaman kanak-kanak, dan telah bekerja dengannya dalam perniagaan ini serta memegang jawatan yang penting dalam syarikat.
#3 – Membina Jiwa
Pasaran global pada masa kini sentiasa berubah-rubah, pengguna lebih bijak untuk menilai tentang produk yang mereka gunakan. Maka, anda perlu membina jiwa dalam sesuatu produk supaya lebih ramai pengguna yang membelinya. Visi dan misi dalam syarikat juga penting untuk anda tahu supaya matlamat yang dituju lebih jelas.
#4 – Mewujudkan Kegagalan
Loo sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa, perasaan takut untuk mengadapi kegagalan tidak sepatutnya wujud dalam kamus hidup seorang usahawan. Menurut beliau lagi, sebelum ini pasukannya telah banyak kali gagal dan dari kegagalan itulah yang menjadikan pengajaran kepada mereka supaya berusaha dengan lebih gigih sehingga ke peringkat yang seterusnya.
Sebelum beliau menubuhkan Chatime, beliau mempunyai idea untuk menceburi perniagaan teh. Kemudian, Loo telah terbang ke Taiwan dengan harapan dapat membawa balik mana-mana jenama utama francais teh ke Malaysia. Namun, nasib tidak menyebelahi beliau kerana mereka telah memberi tumpuan kepada pasaran Cina. Kerana, mereka tidak berminat dengan pasaran yang ada di Malaysia.
Akhirnya, Loo pulang ke Malaysia dengan tangan yang kosong. Kemudian, sepupu beliau telah memberi idea supaya membuka bisnes minuman iatu Chatime. Oleh kerana itulah, Loo telah didorong untuk memulakan perniagaan yang baru.
#5 – Membina Perniagaan
Menurut Loo, membina perniagaan sendiri membolehkan anda untuk mencipta jenama dalam tempoh yang singkat. Beliau menjelaskan bahawa, apabila seseorang membuka perniagaan, pasti ia menggunakan sistem dan prosedur yang sama. Justeru, lebih banyak anda akan mewujudkan jenama yang lebih berbeza daripada jenama lain.
#6 – Mempunyai Mentor
Walaupun Loo telah berjaya dalam perniagannya, namun dia juga menggunakan mentor untuk membimbing beliau dalam perniagaan. Mentor tersebut tidak lain dan tidak bukan, adalah bapanya sendiri. Bapanya merupakan individu yang sering memberi galakkan untuk beliau meneruskan impian, dan percaya bahawa anaknya pasti akan berjaya.
#7 – Berani Mengambil Risiko
Usahawan yang berjaya, mereka tidak takut akan kegagalan dan berani untuk mengambil risiko. Begitu juga dengan Loo, beliau telah mencuba pelbagai risiko dalam peniagaan tetapi, orang ramai menganggap perbuatannya merupakan satu perkara yang tidak masuk akal sama sekali. Namun, kata-kata itu tidak sedikit pun mematahkan semangat beliau. Kerana, tiada apa yang mustahil jika kita ingin berjaya.
#8 – Mengembangkan Bakat
Jika anda mempunyai bakat dalam sesuatu bidang, apa kata anda menggunakan bakat tersebut. Belum cuba, belum tahu. Seperti Loo, walaupun beliau lahir dalam jurusan yang berbeza namun beliau mempunyai bakat yang sangat hebat dalam dunia perniagaan. Kerana itulah, wujudnya produk minuman Chatime.
#9 – Usaha Yang Berterusan
Menurut Loo, beliau sentiasa berusaha untuk memastikan usahanya sentiasa berterusan. Tetapi, bukan sahaja dalam perniagaan malah sentiasa konsisten untuk menjaga kualiti produk supaya dapat menarik ramai pelanggan.
#10 – Memberi Penghargaan
Usahawan muda yang berusia 29 tahun ini berkata, beliau sentiasa memberikan penghargaan kepada bapanya yakni seorang individu yang sentiasa menjadi tulang belakang kejayaannya. Bapanya juga telah banyak mengajaranya erti kehidupan yang sebenar supaya menjadi usahawan yang berjaya. Rahsia kejayaan seorang usahawan, bukan terletak kepada berapa banyak nilai keuntungan, dan jualan yang anda perolehi. Tetapi apa yang paling penting adalah, individu yang sentiasa memberi inspirasi dan motivasi kepada orang ramai.
Pegawai Tadbir dan Diplomatik M41 (SPA Malaysia) – September

Pegawai Tadbir dan Diplomatik M41 (SPA Malaysia) – September

Syarikat: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)
Tarikh Tutup Permohonan: 26 SEPTEMBER 2016
Lokasi: Seluruh Malaysia (Terbuka)
Kerja Kosong Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mempelawa pemohon warganegara Malaysia yang berkelayakan dan berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup iklan, yang berkelayakan dan memenuhi syarat-syarat pelantikan bagi mengisi kekosongan untuk jawatan-jawatan seperti berikut:-
1. Pegawai Tadbir dan Diplomatik M41 (300 Kekosongan)
Gred Gaji: RM2,422.00 – RM9,631.00
Kenaikan Tahunan: RM225.00
TUGAS KERJA :-
Merancang, menggubal dan melaksanakan dasar-dasar awam mengenai pengurusan sumber tenaga manusia dan organisasi, sumber kewangan, ekonomi, pentadbiran dan pembangunan wilayah/daerah/tempatan/tanah, perancangan dan pentadbiran sosial, hubungan antarabangsa dan hal ehwal luar negeri (termasuk perkhidmatan luar negeri) keselamatan/ketahanan negara serta pengurusan teknologi maklumat.
SYARAT KELAYAKAN:-
  1. Calon bagi lantikan hendaklah memiliki kelayakan seperti berikut:
(a) warganegara Malaysia;
(b) berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup iklan jawatan;
(c) (i) ijazah sarjana muda kepujian yang diiktiraf oleh Kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
(ii) ijazah sarjana yang diiktiraf oleh Kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
(iii) ijazah doktor falsafah (PhD) yang diiktiraf oleh Kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
(d) lulus peperiksaan memasuki perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik yang ditetapkan;
(e) hadir dan lulus dengan jayanya Diploma Pasca Siswazah Pengurusan Awam anjuran Institut tadbiran Awam Negara.
  1. Calon bagi lantikan hendaklah memiliki Kepujian (sekurang-kurangnya Gred C) dalam subjek Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia/ Sijil Vokasional Malaysia atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan.
Bekerja Tanpa Meninggalkan Tuntutan Agama

Bekerja Tanpa Meninggalkan Tuntutan Agama

Setiap hari kita bertungkus lumus mencari rezeki bagi memenuhi keperluan hidup seharian. Ada yang bekerja bagi memenuhi keperluan asas. Ada yang bertungkus lumus bekerja untuk menikmati kesenangan dan kemewahan hidup.
Anda merupakan golongan yang mana? Sudah tentu anda tahu jawapannya. Dalam kesibukan mencari rezeki dan mengejar kemewahan, jangan kita alpa dan lalai dari mengingati-Nya, jangan kita lupa tuntutan yang lebih utama iaitu mengerjakan perintah agama dan mengejar kemewahan di akhirat kelak. Inilah tujuan utama manusia dihidupkan di muka bumi Allah SWT.  Berikut adalah beberapa tips untuk bekerja tanpa meninggalkan tuntutan agama:
1) Memasang niat yang baik
• Keluar mencari rezeki untuk menyara diri dan keluarga kerana Allah SWT. Hati akan menjadi tenang sepanjang waktu bekerja jika dimulai dengan niat yang baik dan semata-mata kerana-Nya. Firman Allah SWT dalam Surah Al-An’am ayat 162 yang bermaksud:
“Katakanlah Muhammad, “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan seluruh alam.”
• Sesungguhnya adalah menjadi rugi sekiranya kita keluar bekerja setiap hari mencari nafkah untuk isteri, anak-anak, dan keluarga  jika tidak berniat bekerja sebagai ibadah. Alangkah baiknya jia kita berniat keluar bekerja kerana Allah, kita pasti mendapat pahala sepanjang bekerja dan mendapat rezeki yang berkat.
2) Jujur dan amanah semasa bekerja
• Ini juga merangkumi penggunaan waktu bekerja. Kita hendaklah memaksimumkan waktu bekerja dengan sebaik-baiknya seperti mengelakkan diri kita keluar menikmati sarapan pagi dan makan tengahari yang terlalu lama. Bekerjalah dengan bersungguh-sungguh, jujur dan amanah agar kerja yang dilaksanakan selesai dan rezeki yang diterima diberkati.
• Bekerja dengan bersungguh-sungguh bermaksud melakukan kerja di tempat kerja sehabis baik. Orang yang gagal dalam melakukan kerja tidak akan berputus asa sekiranya ada kesungguhan semasa bekerja. Bekerjalah bersungguh-sungguh supaya kerja yang kita lakukan seharian akan memberi manfaat kepada orang lain. Orang yang baik adalah orang yang sentiasa memberi manfaat kepada orang lain.
3) Membasahkan lidah dengan zikir dan doa semasa bekerja
• Ketika kita sibuk bekerja, pastikan dalam masa yang sama hati dan lidah juga turut seiring berzikir kepada Allah SWT. Perkara tidaklah susah untuk dilakukan, cuma ia perlu sentiasa diamalkan dan dibiasakan agar ia menjadi sebati dalam tindakan kita. Di samping itu, kita juga dituntut mengamalkan Solat Sunat Dhuha untuk memohon keberkatan dari-Nya dan mohon dimurahkan rezeki yang halal lagi baik.
4) Tidak melengahkan solat fardhu
• Solat fardhu merupakan salah satu daripada Rukun Islam dan merupakan tiang agama. Jika kita amati, terdapat sebilangan manusia yang terlalu sibuk bekerja sehingga tidak sedar waktu solat berlalu begitu sahaja bahkan yang lebih teruk lagi langsung tidak menunaikan solat fardhu. Mudah-mudahan kita tidak termasuk dalam golongan ini. Sesungguhnya, kita tidak boleh menunggu waktu lapang tetapi kita yang perlu melapangkan waktu untuk menunaikan tuntutan solat fardhu. Ingatlah, dalam kesibukan kita menjalankan tanggungjawab terhadap kerja dan memenuhi kehendak majikan, jangan sesekali ingkar dan lalai akan perintah-Nya. Sesungguhnya, Allah SWT adalah majikan kepada seluruh manusia.
5) Menggunakan gaji atau upah ke jalan yang baik
• Kita hendaklah membelanjakan gaji atau upah yang diterima dengan sebaik mungkin. Manfaatkanlah gaji atau upah yang diterima dengan bijak untuk menyara diri dan keluarga, membantu ibu bapa, membayar zakat dan simpanan di masa memerlukan. Di samping pastikan diri kita tidak lupa peruntukkan sebahagiannya untuk bersedekah kepada orang yang memerlukan dan ke jalan-jalan kebaikan. Sesungguhnya rezeki yang kita terima itu adalah milik Allah SWT dan Allah pasti akan memberikan ganjaran kepada setiap kebaikan yang kita lakukan, Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’ ayat 132 yang bermaksud :
“Dan kepunyaan Allah-lah apa yang di langit dan apa yang di bumi. Cukuplah Allah sebagai pemelihara.”
Mudah-mudahan rezeki yang diterima akan menjadi halal lagi baik berkat usaha kita yang sentiasa bekerja tanpa meninggalkan tuntutan agama. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa yang melihat kemungkaran di depannya, maka ubahlah dengan tangannya, dan jika tiada kemampuan ubahlah dengan lidahnya, dan jika tiada kemampuan, ubahlah dengan hati, dan inilah selemah-lemah iman.”
Semoga artikel ini dapat mengingatkan diri penulis dan semua pembaca untuk memperbaiki diri kita semasa melakukan kerja tanpa meninggalkan tuntutan agama.
Penulis : Nur Azlina Binti Jalaluddin (Merupakan Pensyarah di salah sebuah Kolej Komuniti di Wilayah Selangor dan Lulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Malaya.)
Amanah Dalam Kerjaya

Amanah Dalam Kerjaya


Dalam Islam, amanah adalah salah satu sikap terpuji yang jelas dan terang telah dinyatakan bahawa amanah itu sangat penting dalam menjalani kehidupan seharian.
Kepentingan sikap amanah ini dalam kehidupan kita untuk menjadi orang mukmin yang baik amat jelas terbukti di antara 4 sikap terpuji para nabi dan rasul iaitu Siddiq (Benar), Amanah, Tabliq (Menyampaikan) dan Fatanah (Bijak). Amanah menuntut kita sebagai Umatnya untuk melakukan apa saja dengan amanah, tidak kira amanah dalam memenuhi tuntutan sebagai Hambanya, sebagai umatnya, terhadap keluarga, masyarakat, diri sendiri dan pekerjaan dilakukannya.
Dalam konteks memenuhi amanah di dalam pekerjaan, pekerja yang bekerja dibayar gaji oleh majikannya perlu sedar ke atas akad (perjanjian) menerima tawaran kerja sebelum ini agar amanah dilakukan dalam pekerjaan tidak terkeluar daripada landasan sebenar mengapa kita menerima pekerjaan yang ditawarkan sebelum ini. Jika niat kita baik menerima pekerjaan keranaNya, ianya akan melahirkan sikap amanah yang bertapak dihati sampai bila-bila. Tetapi jika niat selain daripada Kerana-Nya, maka sikap amanah yang sepatutnya hadir di dalam hati hamba-Nya akan terhakis dengan kelalian diri kita sendiri, akibat mengkhianati amanah yang diberikan.
Dalam Surah Al-Anfal ayat 27, Allah SWT telah berfirman yang membawa maksud;
“Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui salahnya”
Amanah tidak sekali-kali boleh dikhianati, kalau dikhianati juga akan membawa kesalahan yang sanggat tidak baik untuk diri kita. Pekerja yang tidak amanah misalnya akan melakukan pekerjaan tanpa panduan dan tatatertib yang betul. Setiap perbuatannya di pejabat sedikitpun tidak takut akan menerima balasan daripada Allah SWT. Melakukan kerja tanpa memikirkan kesan jangka panjang dan jika berlakunya pecah amanah atau amanah dikhianati maka ketengan hatinya akan hilang kerana takut akan bayang-bayang sendiri, tidur tidak lena dan pelbagai lagi masalah akan terjadi.
Cabaran maha hebat bagi pekerja di zaman moden yang penuh cabaran kini. kekuatan iman benteng kepada amalan salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya jika beramanah dan berintegriti. Sesungguhnya niat dan minat yang mendalam terhadap pekerjaan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh dengan diiringi usaha yang berterusan akan melahirkan sikap amanah dengan sendirinya dalam diri kita tanpa paksaan daripada faktor luaran seperti persekitaran dan desakan ketua jabatan.
Pekerja yang minat dan bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja yang diamanahkan jelas kita lihat memiliki sifat-sifat seperti rajin, menyiapkan kerja sehingga siap, sentiasa mencari idea dan jalan penyelesaian yang terbaik, tidak berkira masa, tenaga dan wang ringgit, akan berasa bersalah jika kumpulan sasarnya teraniaya, dan dialah orang pertama ke depan membantu jabatan serta sentiasa menepati kehendak peraturan dan prosedur ditetapkan organisasi, akan berjaya di dunia dan diakhirat.
Alangkah indahnya dalam menyelusuri pentadbiran dan pengurusan pekerjaan dalam sesebuah jabatan disulami hati-hati setiap pekerjanya dengan sifat amanah setiap kali melangkah kaki kanan ke pintu pejabat. Bukan sahaja pekerjaan dilakukan mencapai sasaran, memenuhi kehendak pelanggan dan jabatan malahan akan diberikan ganjaran oleh Allah SWT. Rahmat Allah SWT Pastinya bersama-sama jabatan kita jika semua pekerja memiliki sifat amanah. InsyaAllah.
“Ya Allah yang Maha penyayang, tanamkanlah sifat amanah dalam hati setiap pekerja kami, bukakanlah mata hati kami agar bersikap amanah. Berkatilah setiap pekerjaan yang kami lakukan agar mencapai sasarannya dan memberikan manfaat kepada golongan sasar kami”. Amin.
Penulis : M Hailas
Sarjana Muda Ekonomi Universiti Malaysia Sabah (UMS)
Petani Kerjaya Terbaik Dalam Islam ?

Petani Kerjaya Terbaik Dalam Islam ?

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-A’raf ayat 58, yang bermaksud: 
”Dan tanah yang baik, tanamannya tumbuh subur dengan izin Allah; dan tanah yang tidak subur, tanamannya hanya tumbuh merana. Demikianlah kami mengulangi tanda-tanda kebesaran (kami) bagi orang-orang yang bersyukur.”
Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 266, yang bermaksud: 
“Apakah ada salah seorang di antaramu yang ingin mempunyai kebun kurma dan anggur yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dia mempunyai dalam kebun itu segala macam buah-buahan, kemudian datanglah masa tua pada orang itu sedang dia mempunyai keturunan yang masih kecil-kecil. Maka kebun itu ditiup angin keras yang mengandungi api, lalu terbakarlah. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu supaya kamu memikirkannya.”
Di zaman serba moden ini, sektor pertanian semakin terpinggir kerana kemajuan kerjaya lain yang telah berkembang maju dan mendapat pulangan yang lumayan. Namun sektor pertanian adalah antara yang tertua dan paling kurang berisiko. Di sana ada tiga profesion yang popular dilakukan oleh manusia kini iaitu pertanian, perdagangan dan sektor pembuatan perindustrian. Demikian menurut pendapat Imam Al-Mawardi.
Para ulama’ berselisih pendapat tentang manakah yang paling baik dari ketiga-tiga profesion ini. Mazhab As-Syafei berpendapat bahawa pertanian adalah yang paling baik. Sedangkan Imam Al-Mawardi dan Imam An-Nawawi berpendapat bahawa bercucuk tanam yang paling baik kerana alasan berikut:
PERTAMA
Bercucuk tanam adalah merupakan hasil usaha tangan sendiri. Dalam Kitab Sahih Al-Bukhari disebutkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: ” Tidaklah seseorang memakan makanan yang lebih baik dari orang yang memakan dari hasil tangannya sendiri dan adalah Nabi Daud a.s memakan dari hasil tangannya sendiri. ” Dan yang benar adalah apa yang dinaskan oleh Rasulullah s.a.w iaitu hasil tangannya sendiri. Maka bercucuk tanam adalah profesion terbaik dan paling utama kerana merupakan dari hasil tanaman sendiri.
KEDUA
Bercucuk tanam memberikan manfaat yang umum kepada ummah, khususnya kaum muslimin bahkan juga bidang ternakan. Kerana menurut hukum, manusia bergantung sumber kehidupan kepada pertanian dan penternakan. Makanan tersebut tidaklah diperolehi melainkan dari hasil tanaman, tumbuhan dan ternakan. Dalam hadis riwayat Muslim diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: ” Tidaklah seseorang muslim menanam tanaman melainkan apa yang dimakan dari tanaman tersebut bagi penanamnya menjadi sedekah, apa yang dicuri dari tanamannya tersebut bagi penanamnya menjadi sedekah, tidaklah seseorang merampas tanamannya melainkan bagi penamamnya menjadi sedekah.”
Dalam hadis riwayat Muslim yang lain menyebut, ertinya: ” Tidaklah seseorang muslim menanam tanaman kemudian memakan tanaman itu oleh manusia, binatang dan burung melainkan bagi penanamnya menjadi sedekah hingga hari kiamat.” Dalam riwayat lain disebutkan: ” Tidaklah seseorang muslim menanam tanaman dan pohon kemudia dimakan oleh manusia, haiwan atau sesuatu melainkan penanamnya menjadi sedekah.”
KETIGA
Bercucuk tanam lebih dekat dengan tawakal. Ketika seseorang menanam tanaman maka sesungguhnya dia tidaklah berkuasa atas sebiji benih yang dia semaikan untuk tumbuh, dia juga tidak berkuasa untuk menumbuhkan dan mengembangkan tanaman itu menjadi tanaman. Tidaklah dia berkuasa membungakan serta membuahkan hasil tanaman tersebut. Kesemua urusan ini terletak di dalam kekuasaan Allah. Disini nampaklah nilai tawakal manusia kepada Allah Azza Wajalla.
As-Syeikh Zakaria Al-Ansari berkata: Mata pencarian yang paling utama ialah bercucuk tanam kerana lebih dekat dengan nilai tawakal dan ianya juga memberikan manfaat yang umum bagi semua makhluk dan secara umumnya manusia amat memerlukan kepada hasil pertanian. Al-Zarkasyi mengatakan bahawa semua manusia memerlukan kepada makanan dan tidak ada kehidupan tanpa makanan.
Sumber: Petikan dari buku Bertani Satu Ibadah