Pengumuman kenaikan tiga peratus harga rokok berkuat kuasa semalam oleh sebuah syarikat pengeluar rokok adalah satu cara yang dapat mengurangkan jumlah perokok di negara ini yang semakin hari menunjukkan angka membimbangkan. Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata, kenaikan harga produk tembakau itu perlu dilihat dari sudut positif yang boleh dianggap langkah menyedarkan perokok untuk berhenti daripada tabiat buruk itu.
Beliau berkata, walaupun kenaikan harga hanya tiga peratus untuk rokok jenama tertentu, ia masih dianggap rendah kerana kebanyakan negara maju menjual rokok pada harga yang tinggi bagi mengurangkan jumlah perokok di negara berkenaan.
“Kerajaan sentiasa memainkan peranan yang berterusan memastikan jumlah perokok di negara ini dapat dikurangkan tetapi ia bukan satu perkara yang mudah sekiranya tidak mendapat kesedaran dari dalam diri perokok itu sendiri.
“Orang ramai perlu sedar bahawa tabiat merokok bukan saja memberi kesan negatif kepada perokok, tetapi juga kepada orang di sekeliling. Jadi ia (jumlah perokok) perlu dikurangkan ke tahap yang paling minimum,” katanya kepada Harian Metro, semalam.
Dalam masa sama, beliau berkata, Jabatan Kesihatan Selangor juga memainkan peranan dengan mengadakan pelbagai program untuk mewujudkan kesedaran kepada orang ramai terutamanya generasi muda. Katanya, tumpuan terhadap generasi muda terutama pelajar sekolah rendah penting kerana pada peringkat itu pelajar perlu didedahkan dengan bahaya dan impak merokok kepada kesihatan.
Namun, di sebalik kenaikan harga rokok yang diumumkan, Dr Azman juga bimbang dengan lambakan rokok tiruan yang dijual dengan harga yang lebih murah menyebabkan usaha kerajaan mengurangkan perokok sedikit terbantut.
“Kewujudan rokok tiruan yang diseludup dan dijual dengan harga yang jauh lebih murah menjadikan produk tembakau itu pilihan alternatif perokok yang tidak mahu meninggalkan tabiat buruk itu.
“Jadi, kerjasama antara agensi penguat kuasa perlu ditingkatkan agar penyeludupan rokok ke negara ini dapat dikekang ke tahap lebih baik seterusnya mampu mengurangkan jumlah perokok tegar dan perokok baru,” katanya.
Semalam akhbar melaporkan British American Tobacco Malaysia (BAT Malaysia) mengumumkan kenaikan tiga peratus bagi harga semua jenama rokoknya. Kenaikan harga rokok keluaran syarikat berkenaan disebabkan tekanan inflasi, kos buruh dan kos input, yang membawa kepada peningkatan kos operasi. Kuantiti industri tembakau sah turut terjejas kerana perdagangan rokok haram terus meningkat dan menjejaskan industri tembakau yang sah.

better quit je. hehe
BalasPadamnaik la mcm mna skalipun.. org ttp merokok jugak.. hehehe
BalasPadam