Ilmu Ma’anil Hadis Tentang Hukum Melukis

Ilmu Ma’anil Hadis Tentang Hukum Melukis


Hadith adalah hukum perundangan Islam setelah al-Qur’an. Maka, hadith ini sangat penting sehingga diperlukan penelitian dan kajian yang mendalam untuk mengetahui status hadith yang telah diriwayat oleh para periwayat, seperti contoh, sanad dan juga matannya. Hal ini penting untuk mengetahui autentisitas sebuah hadis. Setelah meneliti dan mengetahui tentang status hadith melalui sanad dan matannya, baru bisa mencuba untuk memahami isi-isi hadith. Akan tetapi, untuk memahami hadith juga memerlukan kajian yang mendalam.


Kajian tentang memahami makna hadith telah wujud sejak kehadiran Nabi Muhammad SAW. Pada ketika itu, para sahabat bisa memahami maksud yang disabdakan Rasulullah kerana kemahiran Bahasa Arab mereka. Selain itu, mereka juga dapat memahami hadis secara langsung karena para sahabat bisa bertanya langsung dengan Rasulullah SAW jika tidak dapat memahami sesuatu yang baginda sabdakan. Namun, setelah Nabi Muhammad SAW wafat, usaha untuk memahami makna-makna hadis menjadi semakin sulit karena tidak bisa lagi bertanya langsung dengan Rasulullah SAW.


Banyak usaha yang dilakukan para ulama supaya permasalahan berkaitan dengan pemahaman hadis ini, di antaranya adalah ilmu fiqh al-hadith atau dikenali sebagai syarh al-hadis dimana sekarang disebut dengan Ilmu Ma’anil Hadith. Ilmu Ma’anil Hadith ini adalah ilmu yang mengkaji tentang bagaimana cara untuk memahami hadis-hadis dengan pelbagai aspek, yang bermula dengan konteks semantis dan juga struktur linguistik dalam teks hadis, seterusnya konteks historis hadis, posisi dan juga kedudukan Nabi Muhammad SAW ketika menyampaikan sebuah hadis. Kedudukan itu bermaksud apakah Rasulullah menyampaikan sabdanya sebagai pemimpin Islam kepada rakyat yang dipimpinnya atau sebagai ayah kepada anak-anaknya dan sebagainya. Selain itu, ilmu ini juga memahami hadis dari konteks audiens yang mendengar secara langsung dari Nabi Muhammad SAW.



Ilmu Ma’anil Hadith adalah sesuatu yang tidak asing lagi dalam masyarakat Islam pada masa ini. Ia berfungsi sebagai pembantu untuk memahami pemaknaan ungkapan sebuah hadis. Ilmu Ma’anil Hadith ini adalah salah satu cara untuk memahami pemaknaan hadith dengan benar dan pemahaman yang memadai dalam sebuah hadis. Dengan ilmu ini juga kita bisa memahami dengan lebih mendalam tentang isi hadis-hadis nabi, sama ada makna hadith itu adalah tentang sesuatu hukum atau juga hal-hal yang mempunyai nilai-nilai keteladanan untuk kita contohi.


Seperti contoh, hadith tentang pelukis, yang bermaksud: 

“Dari Abdullah ra ia berkata, aku mendengar Rasulullah Saw bersabda: “Sesungguhnya orang-orang yang menerima siksaan paling dahsyat di hadirat Allah pada hari kiamat kelak adalah para pelukis”.


Jika dipahami dengan tekstual hadis ini, Nabi Muhammad SAW melarang melukis dan juga memasang lukisan yang bernyawa seperti manusia dan juga haiwan. Hadith ini menjelaskan tentang larangan melukis makhluk-makhluk yang bernyawa. Menurut Ibnu Abbas, bahwa semua pelukis akan masuk neraka, pelukis di azab karena tidak mampu memberikan ruh kepada lukisannya, ia akan di azab di neraka Jahannam. Dalam hadis lain juga disebutkan tidak masuk malaikat ke dalam rumah yang ada lukisan dan anjing. 



Disebabkan itu, para pelukis muslim pada zaman dahulu melukis hanya dalam bentuk kaligrafi, pemandangan alam dan juga bangunan. Hadis ini sebenarnya bukan hanya untuk yang melukis sahaja, bahkan juga untuk yang memasang lukisan. 


Beberapa ulama berpendapat, alasan pengharaman gambar atau lukisan adalah karena takut umat Islam terjerumus ke dalam kesyirikan. Posisi Rasulullah adalah sebagai pemimpin dalam melarang hal ini. Baginda melarang sekeras-kerasnya kerana pada zaman tersebut ada agama Watsaniyah atau dipanggil kaum Watsani yaitu kaum yang mengatakan menyembah Allah tetapi mengadakan penyembahan kepada benda lain seperti batu yang belum memiliki bentuk, patung yang diperbuat dari batu dan juga patung-patung yang terbuat dari kayu, emas, perak, logam dan semua patung yang tidak diperbuat daripada batu. Dikarenakan hal ini, Rasulullah melarang umat Islam melakukan hal ini, supaya umat Islam terlepas dari kemusyrikan ini. 


Kesimpulannya adalah, Ilmu Ma’anil Hadis sangat penting dalam upaya memahami isi-isi hadith. Jika kita hanya memahami hadis melalui teks sahaja, kita tidak akan mengetahui pemahaman yang memadai tentang hadith haramnya melukis dan kita bisa menghukum orang tanpa memahami konteks sebenar hadis tersebut.


Penulis : Wafa Amirah - Mahasiswa Ilmu Hadith dari Universitas Islam Negeri Sunan Kalijaga, Yogyakarta, Indonesia.

Cita-Cita Yang Tak Pernah Menjadi

Cita-Cita Yang Tak Pernah Menjadi


Bertanyalah pada mereka yang berusia lebih 20 tahun : apakah bidang yang mereka terokai itu, adalah apa yang mereka impikan? Saya percaya 5 daripada 10 orang daripada mereka yang ditanya itu akan mengiyakan dengan yakin dan bangga. Mereka ini akan berkata, ‘ya’ inilah bidang yang mereka ingin ceburi.


Bertanyalah pula pada mereka yang berusia lebih 30 tahun : apakah bidang yang mereka ceburi itu adalah apa yang mereka impikan? Saya percaya, daripada 10 orang yang ditanya, tidak seorang pun daripada mereka sedang menikmati bidang yang mereka cita-citakan.


Tanyalah mereka yang lebih 30 tahun di sekeliling anda; jiran, kenalan, sahabat, rakan sepejabat, malah sesiapa sahaja. Anda akan dapati bidang yang mereka terokai itu sama sekali bukan bidang yang dicita-citakan. Malah, tanyalah diri kita sendiri. Apakah bidang yang menjadi kerjaya kita kini adalah sebenar-benarnya bidang yang kita impi-impikan? Jawapan yang jujur tentulah ‘tidak!’


Okeylah, mana mungkin tiada sesiapa pun yang tidak mencapai dan menikmati apa yang dicita-citakan? Kenyataan di atas mungkin sekali andaian. Namun, jika kita temui orang yang benar-benar mempunyai cita-cita sejak kecil untuk menjadi arkitek dan dapat melanjutkan pelajaran dari peringkat diploma, degree, master dan peringkat kedoktoran di dalam bidang itu, dan kini adalah seorang arkitek ~ tanyalah kepada mereka apa yang mereka mahu? Jawapan mereka ialah mereka mahu meninggalkan bidang itu dan menceburi bidang lain!


Mengapa terjadi begini? Mengapa cita-cita yang diingini beralih arah, seiring waktu beranjak? Mengapa pula cita-cita yang digapai hendak dilepaskan pula? Bukankah ini menandakan hanya Dia berkuasa terhadap apa sahaja?


Merancanglah dengan teliti dan rapi. Kemudian berusahalah dan gapailah apa yang diimpikan itu. Sebaik sahaja kita berasa berjaya memperoleh sesuatu dengan usaha kita sendiri, tanpa kita sedari, apa yang dicita-citakan, apa yang tergapai semuanya akan melorot dari genggaman.


Kerana apa? Kerana Allah tidak mahu kita berasa, kitalah yang berjaya di atas usaha sendiri. Lantas berdasarkan kejayaan itu, kita terus berusaha dan berusaha hingga mempunyai kepercayaan yang kita berkuasa terhadap kehendak itu. Lantas perasan kitalah master of our destiny, lalu melupakan kesemuanya adalah di dalam genggaman-Nya.


“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya). Samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa)


di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

~ Al- Hadid: 20


Justeru itu, janganlah terlalu berbangga bila memperoleh apa yang diimpikan.

Jangan pula meraung sakan andainya apa yang dicita-citakan tidak dapat digapai.

Segala-galanya adalah hak Pencipta seluruh alam ini.


Penulis : Norden Mohamed

Aku Ibarat Seorang Muallaf

Aku Ibarat Seorang Muallaf

 


Satu ketika dahulu, namanya menghiasai pentas dunia seni tanah air. Ligat dan lincah geraknya, seiring kerancakan alunan muzik. Tidak perlu diperkenalkan lagi, dialah salah seorang anggota kumpulan rap yang terkenal.


Kini, semuanya hanya tinggal kenangan. Seboleh-bolehnya, dia mahu lari daripada bayangan kehidupan silam. Dunia lalu mahu ditinggalkan. Membina kebahagiaan dengan cara yang hakiki. Mengenal Rasulullah SAW, mengenal Penciptanya.


“Jujur, setelah hampir tiga tahun menyepi, saya tidak mengambil tahu langsung mengenai apa yang berlaku dalam dunia seni. Malah saya sudah tidak tahu siapakah artis yang paling popular, siapakah yang terkenal dan sebagainya.


“Saya temui damai abadi dengan kehidupan baru. Inilah yang saya cari selama ini. Tiada yang lebih manis daripada mencintai Rasulullah dan Allah”. Itulah pengakuan jujur bekas anggota kumpulan Ruffedge, Amer Munawer Yusoff.


Lima tahun bersama kumpulan berkenaan, dia berjaya mendapat pelbagai kejayaan. Malah apa yang diperlukan sememangnya mencukupi. Namun, ada getaran di hati, membuatkannya tertanya-tanya.


“Ya, saya tertanya-tanya selepas ini apa pula? Kejayaan ada, peminat ada, apa yang saya perlukan cukup. Tetapi ada sesuatu yang tidak kena di hati saya.


“Kemudian saya nekad untuk berhenti daripada dunia muzik. Begitu juga dengan keluar daripada kumpulan. Tarikh 27 September 2007 menjadi tarikh rasmi saya keluar. Ada sidang media yang diadakan bagi mengumumkan keputusan saya,” ujarnya.


Setelah itu, dia kemudian memaklumkan kepada ibunya mengenai keputusannya berkenaan. Ternyata, ibunya tidak begitu terkejut dengan keputusan itu. Malah menyatakan sokongan dengan apa sahaja yang dilakukannya. Menurutnya, ibunya berkata, dia perlu pergi mencari seorang guru untuk belajar mengenai agama. Namun, sempat juga berpesan agar mendapatkan guru yang betul agar tidak terperangkap dengan ajaran terpesong.


“Kemudian, saya menemui seorang ustaz yang menjadi guru saya. Alhamdulillah, beliau banyak membantu saya. Selepas itu, saya dapat rasakan perubahan demi perubahan yang berlaku ke dalam diri. Baru saya sedar, bahawa menuntut ilmu itu penting. Lagi satu, menuntut ilmu juga perlulah berguru,” ujarnya.


Titik Perubahan.


Menceritakan mengenai detik perubahan dalam dirinya, Amer berkata, semuanya bermula apabila dia diizinkan Allah untuk merenung ke dalam diri sendiri. Bahkan lebih daripada itu, dia cuba meletakkan dirinya dalam mengenal Rasulullah dan Allah.


“Namun saya juga tidak menafikan bahawa saya didatangi beberapa petunjuk termasuk mimpi yang seolah-olah mengajak diri ini untuk berhijrah ke kehidupan baru. Semuanya datang secara tidak dirancang dan saya mula merenungi segala-galanya.


“Kemudian, saya mula mengingati kata-kata ibu yang pernah dilontarkan ketika kanak-kanak dahulu. Ibu menyatakan bahawa kalau boleh dia mahukan saya menjadi sekurang-kurangnya seorang yang mendalami ilmu agama,” katanya.


Pengisian selama menyepi.


Amer berkata, selama menyepikan diri, dia merasakan seolah-olah tidak lagi mahu kembali ke dalam dunia muzik. Malah mengisi ruang-ruang yang ada itu untuk mengenal kembali diri sendiri di samping menuntut sebanyak ilmu.


Menceritakannya, Amer berkata, setelah mengikuti kelas-kelas pengajian, dia semakin tahu kekurangan diri. Namun, tidak disangka-sangka ilmu yang digali itu membuatkannya semakin mengenalkan dirinya kepada Rasulullah.


“Baru saya sedar bahawa Islam itu indah. Bahkan antara perkara yang membuatkan saya semakin sayangkan kehidupan baru ini adalah perasaan mencintai Rasulullah. Bayangkan, saya bagaikan tersedar bahawa selama ini fitrah kita semua telah diselamatkan oleh seorang manusia yang telah diangkat sebagai kekasih Allah. Dialah Rasulullah. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana perasaan ketika ini.


“Saya ibarat seorang muallaf. Seolah-olah saya baru mengenal Islam. Mungkin sebelum ini saya mudah mengucapkan kata-kata seperti Alhamdulillah dan pelbagai alasan lain yang diberikan untuk mengelakkan diri daripada melakukan kewajipan sebagai seorang Muslim. Sedangkan saya tahu tentangnya. Sekarang ini, kefahaman itu semakin mendalam dan keyakinan juga semakin bertambah,” ujarnya jujur.


Amer berkata, sepanjang mengikuti kelas pengajian, dia bersyukur kerana ibunya sering memberikan semangat. Namun, sokongan yang paling besar diteriman adalah apabila ibunya sendiri menemaninya ke kelas. Bersama-sama dengannya. Tindakan itu, lebih membuatkannya yakin dengan pilihan yang dilakukan.


Ujian sepanjang perubahan.


Benar. Tiada sesiapa yang terlepas daripada ujian. Apatah lagi ketika diri mahu melakukan perubahan ke arah kebaikan. Ujian sentiasa datang. Namun, keteguhan hati menghadapinya dan kepasrahan kepada Ilahi pasti membibitkan ketenangan serta ketabahan.


“Ada dua ujian yang bertandang. Itu memang saya akui kerana saya sendiri mengalaminya. Namun, berkat kesabaran dan dorongan guru saya, Alhamdulillah, saya sabar untuk menghadapinya.


“Ujian pertama adalah membina kekuatan meninggalkan perkara-perkara yang tidak elok. Yelah, dahulu saya tidak nafikan pelbagai perkara kurang baik yang dilakukan. Jadi, untuk meninggalkan kesemuanya, memang kita akan diuji.


“Ia adalah antara cabaran terbesar saya untuk dihadapi. Bukan mudah untuk seseorang meninggalkan tabiat lama. Namun, Alhamdulillah, Allah memberikan ketenangan kepada saya untuk melaluinya,” ujarnya.


Ujian kedua pula kata Amer, adalah perjuangannya untuk mengekalkan momentum melakukan kebaikan yang dipelajarinya. Malah mengakui, bahawa ia tidak begitu mudah untuk melaksanakannya kerana terlalu banyak dugaan yang hadir.


“Selepas mengenali Islam dengan lebih mendalam, baru saya tahu banyak betul tanggungjawab yang perlu saya lakukan. Bayangkan, kopiah yang saya pakai ini pun, hadir bersamanya adalah tanggungjawab. Walaupun kopiah ini asalnya adalah kain biasa sahaja. Tetapi selepas memakainya, ia menjadi satu tanggungjawab lain pula untuk saya laksanakan.


“Istiqamah dalam melakukan ketaatan dan kebaikan juga adalah ujian. Bagaimana untuk anda mengekalkannya merupakan cabaran. Jadi, saya berharap Allah akan sentiasa memudahkan laluan saya untuk berada di atas landasan yang diberikannya ini,” katanya lagi.


Reaksi orang ramai.


Penyepian dan perubahan yang dilakukannya, kata Amer sudah tentu tidak terlepas daripada menerima reaksi daripada orang ramai. Namun, katanya tiada sebarang reaksi keterlaluan yang diterimanya.


“Mungkin dalam kalangan teman-teman lama, tiada kejutan yang perlu ditakjubkan. Cuma mungkin dalam kalangan media atau pihak-pihak lain, apabila banyak yang berubah tentang diri saya ini,” katanya.


Kemunculan semula.


Kemunculan semula Amer di persada seni, kini membangkit iklim baru baginya. Namun, dia berkata, keyakinan dan percaya bahawa semua yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri.


Katanya, setelah memikirkan bahawa dirinya mahu melupakan terus dunia seni, dia menerima panggilan daripada seorang teman lama untuk melakukan kemunculan semula. Namun dalam versi yang berlainan.


“Saya percaya semuanya punya hikmah tersendiri. Mungkin dahulu Allah telah letakkan diri saya di dalam dunia seni untuk menyampaikan mempelajari sesuatu. Sekarang ini pula, saya muncul dengan mesej yang lain.


“Alhamdulillah saya berjaya mencipta dua buah lagu untuk diterbitkan dalam album single pertama yang berjudul Seluruh Mahabbah. Ia ditujukan kepada puji-pujian kepada Rasulullah dan Allah,” katanya.

Jual Mahal Atau Bercouple

Jual Mahal Atau Bercouple

 


Masa kecil saya pernah memikirkan, memang perlukah seorang yang dewasa ber’dating’ sebelum melangkah ke alam perkahwinan?


Kenapa saya bingung akan hal ini? Kecil-kecil lagi sudah gatal?


Bukan begitu. Naluri kanak-kanak saya pada waktu itu merasakan tidak selesa dengan apa yang ditayangkan dikaca televisyen. Jikalau ceritanya tentang pasangan kekasih, sudah pasti ada adegan keluar makan berdua-duaan sebelum punya ikatan yang sah.


Cerita tempatan apatah lagi luar negara, babak kekasih dilamun cinta sebelum berkahwin disusun dengan penuh teliti.Tetapi saya memang bingung. Memang perlukah begitu? Perlukah bercouple sebelum berkahwin? Nyata saya tidak selesa di awal usia kanak-kanak.


Cinta Monyet


Alhamdulillah, semasa di sekolah rendah mahupun sekolah menengah saya jauh dari memahami erti ataupun mengalami cinta monyet. Istilah yang biasa tetapi sekadar mendengar. Ada sahaja rakan-rakan yang ber’cinta’ seawal darjah lima. Saya bingung. Memang terlalu muda untuk memahami tentang perkara ini. Maka tidak hairanlah mengapa saya bingung ketika itu.


Pelik dan mencari-cari sebab mengapa ada yang bercinta seawal usia di darjah lima. Di sekolah menengah, lain pula ceritanya. Kisah bercinta menjadi lebih hebat. Mungkin merasakan diri lebih matang sedangkan baru menginjak remaja. Kisah cinta disekeliling saya bermacam-macam. Kenyataan-kenyataan seperti; batch kami bercinta seperti tukar baju (pelajar batch tersebut sering bertukar-tukar pasangan ibarat menukar baju setiap hari), ada senior mengaku dia bercinta untuk mencari pengalaman.


Aduh! Saya menjadi semakin bingung.


Benarkah ini semua?


Erti couple, cinta dan perkahwinan. Kini setelah saya berusia dua puluh dua tahun, saya semakin mengerti. Kisah pasangan berdua-duaan yang saya fikirkan semasa kecil, bukanlah sesuatu yang dianjurkan oleh Islam. Bahkan, Islam sebagai cara hidup menggariskan cara yang cukup indah dan sempurna untuk mengikat pertalian antara adam dan hawa. Kisah cinta monyet yang membingungkan semasa di zaman sekolah juga dapat saya cari jawapannya.


Buku Tentang Cinta karangan Ustaz Pahrol banyak membantu saya untuk memahami isu ini. Tambahan pula, semasa saya di Kolej Yayasan UEM Lembah Beringin, forum Tentang Cinta telah diadakan. Panel-panel terdiri daripada Ustaz Pahrol sendiri, Ustaz Hashim (trainer Fitrah Perkasa) dan Ustaz Hasrizal. Panel yang hadir cukup berpengalaman kerana mereka jauh lebih dewasa dan sudah berkeluarga.


Islam dan Cinta


Islam menganjurkan lelaki dan wanita bertaaruf iaitu berkenal-kenalan sebelum mengikat pertunangan. Cara bertaaruf menjaga adab dan syariat. Pasangan tidak berdua-duaan tetapi ditemani oleh orang tengah mahupun ibu bapa sendiri.


Bercinta pula perlu punya tujuan. Apa tujuan cinta monyet? Sekadar suka-suka atau untuk mencari pengalaman? Jika benar, bukankah itu alasan-alasan yang menyedihkan?


Bercinta adalah berkasih sayang.


Mampukah untuk kita berkasih sayang dengan seseorang yang asing jika kita belum mampu menyayangi ahli keluarga sendiri? Maka jika benar, kita berkasih sayang dengan orang luar perlu sama seperti berkasih sayang dengan ahli keluarga sendiri.


Tetapi adakah perkara ini benar-benar berlaku di antara pasangan yang menyatakan diri mereka bercinta? Bagi saya, untuk memahami istilah cinta, saya perlu memahami erti mencintai diri sendiri, mencintai ahli keluarga, mencintai rakan-rakan dan yang lebih utama mencintai Allah dan RasulNya.


Saya perlu menguasai erti cinta ini sebelum mencintai seseorang yang asing – lelaki dalam hidup seorang wanita. Terlalu teoritikal? Pandai-pandailah mencari cara untuk amalinya. Semakin dewasa saya semakin memahami dan lihat sendiri teori-teori cinta secara praktikalnya (bukan saya yang bercinta, tetapi melihat realiti disekeliling). Cinta itu perlukan kepercayaan dan tanggungjawab. Cinta itu memberi tanpa mengharap balasan.


Teori ini memang benar untuk menyelesaikan masalah-masalah perkahwinan yang saya ketahui(bukan menjaga tepi kain orang, tetapi mungkin diri sudah cukup dewasa memahami permasalahan ini). Perkahwinan yang memang bergelora. Sesekali terasa takut pula memikirkannya. Tetapi seperti kata emak; Jalan ini mudah sahaja jika manusia ambil jalan yang lurus. Tetapi hakikatnya, ada yang memilih yang bengkang-bengkok.


Jual mahal?


Setelah berusia dua puluhan dan masih tidak berpunya atau tidak pernah ber’boyfriend’, maka masyarakat amnya masih mempunyai stigma bahawa tuan punya badan mungkin jual mahal. Nasihat seperti , jangan jual mahal nanti tidak laku dan sebagainya dilontarkan.


Persoalannya, setelah beberapa perkara seperti di atas dibangkitkan, adakah benar bahawa seseorang yang tidak ber’boyfriend’ itu wajar dikategorikan sebagai jual mahal atau memilih? Atau mungkin tuan punya badan sekadar menongkah norma masyarakat kerana tidak bersetuju dengan gejala couple yang dipandang sebagai satu kemestian dan kebiasaan? Atau mungkin tuan punya badan benar-benar memikirkan erti sebenar cinta dan berkasih sayang?


Isu yang berat untuk difikirkan bersama. Masakan tidak, di dalam hadis daripada Nabi s.a.w. yang menegaskan dengan maksud bahawa :


“Sesiapa yang telah berkahwin dikalangan kamu maka dia telah sempurnakan separuh dari urusan agamanya dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada setengah atau separuh urusan agama yang selebihnya”.


Masakan cinta dan perkahwinan perkara yang main-main sekiranya sebesar ini ganjaran yang dijanjikan Allah. Tulisan ini sekadar perkongsian yang sudah mula saya fikirkan sejak kecil lagi. Mencari-cari apakah formulanya sedangkan Islam memang ada jawapannya.


Penulis : Nuur Zaffan Khalid

Pengaruh dan Kuasa : Yang Mana Lebih Utama?

Pengaruh dan Kuasa : Yang Mana Lebih Utama?

 


Assalamualaikum dan salam tautan buat seluruh warga pembaca. Semoga anda semua berada dalam lingkungan cahaya kebenaran yang berupa iman walau di mana jua anda berada. Pada hari ini penulis berasa terpanggil untuk sama-sama berkongsi beberapa perbincangan mengenai KUASA dan PENGARUH. Seusai membaca artikel Ustaz Hasrizal Jamil yang bertajuk Kepimpinan : Antara Kuasa dan Pengaruh, penulis merasakan masih ramai lagi yang mengamalkan sikap keterbalikkan dalam menilai erti kata sebenar berkenaan PENGARUH dan KUASA.


Ada yang menyatakan KUASA itu lebih penting dari PENGARUH kerana tanpa KUASA seseorang pemimpin itu tidak mampu untuk mencipta PENGARUH. Ya benar, KUASA merupakan suatu elemen penting yang perlu ada untuk bergelar pemimpin, akan tetapi PENGARUHlah merupakan elemen yang paling terpenting dalam merealisasikan sesuatu hala tuju mana-mana tampuk kempimpinan, samada di peringkat yang paling bawah mahupun di peringkat yang paling atas. Sejarah membuktikan bahawa KUASA tanpa PENGARUH hanya menyebabkan sesuatu hasil dari kepimpinan itu tidak menjadi hasil yang Produktif.


Cuba kita amati apa yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW sebelum baginda di mandatkan menjadi utusan Allah SWT. Adakah baginda memperoleh KUASA dahulu dalam menyampaikan Islam atau baginda memulakan dakwahnya dengan mencipta PENGARUH?! Sejarah Islam membuktikan bahawsanya telah tercipta PENGARUH yang luas terhadap diri Rasulullah SAW sebelum baginda di mandatkan sebagai utusan Allah SWT.


Apakah bukti kebenaran yang mengatakan Rasulullah SAW mempunyai PENGARUH yang luas sebelum di mandatkan menjadi utusan Allah?! Bagi anda yang mengetahui sejarah berkenaan Hajar al-Aswad, ketika kabilah-kabilah Arab berbalah tentang kelayakan untuk meletakkan kembali Hajar al-Aswad ke Kaabah, mereka akhirnya mencari seorang anak muda yang tidak berjawatan KETUA PEMUDA, tetapi PEMUDA yang berkualiti KETUA, iaitu Muhammad SAW. Biar pun tanpa jawatan atau KUASA dan kedudukan, pengaruh baginda sudah sedia terserlah, dek kualiti yang ada pada dirinya.


Jelas mengikut sirah baginda Muhammad SAW, dengan hanya berpaksikan PENGARUH yang datang dari gelaran baginda yang empat iaitu al-Amin, Siddiq, Amanah dan Tabligh, baginda diberikan kepercayaan kepada seluruh ketua-ketua kabilah untuk membuat keputusan bagi mereka. Dengan ini benarlah, untuk menjadi pemimpin yang berwibawa anda seharusnya mencipta PENGARUH terlebih dahulu sebelum mendapatkan KUASA bagi menghasilkan kepimpinan yang Produktif.


KUASA tanpa PENGARUH hanya membuatkan anda sebagai seorang pemimpin yang terpaksa menggunakan KUASA anda bagi menekan orang bawahan anda untuk merealisasikan impian dan hala tuju anda dalam sesuatu perlaksanaan, akan tetapi sekiranya anda mempunyai PENGARUH yang luas ketika mana anda memperolehi KUASA, tanpa paksaan dan tekanan terhadap orang bawahan, anda mampu mendapatkan hasil yang Produktif daripada perlaksanaan mereka dek kerelaan hati mereka melakukan segala arahan yang anda utarakan. Mari kita lihat beberapa persoalan berkenaan PENGARUH dan jawapannya, antaranya :


1. Adakah PENGARUH itu harus dicari?!


- PENGARUH tidak perlu dicari akan tetapi ia akan datang sendiri.


2. Dari mana datangnya PENGARUH?!


- PENGARUH akan terhasil dari pandangan manusia terhadap kualiti dan potensi diri anda.


3. Bagaimanakah anda ingin meningkatkan potensi dan kualiti diri?!


- Dengan melaksanakan segala apa sahaja yang diperintahkan oleh Allah SWT dan RasulNYA dengan semaksima mungkin dan meninggalkan segala laranganNya dengan 100% tanpa soal. Kebijaksanaan anda dalam menggabungkan tiga elemen penting di dalam diri juga turut mempengaruhi potensi dan kualiti diri anda iaitu gabungan sempurna elemen IQ, EQ dan SQ seta meletakkan hala tuju perlaksanaan anda kearah Qualiti. Kualiti lebih baik dari kuantiti.


4. Bagaimanakah elemen PENGARUH itu terhasil?!


Elemen PENGARUH akan terhasil dengan memaparkan akhlak yang tertinggi, tonjolkan potensi dan kualiti diri dan mewujudkan hubungan dengan pengikut dari segi logik akal, hubungan hati dan juga hubungan emosi.


Dengan adanya PENGARUH tampuk kepimpinan anda akan menjadi tampuk kepimpinan yang berkualiti dan mampu menghasilkan Produktiviti bagi kemaslahatan sejagat. PENGARUH yang kuat mampu menjana manusia untuk mejadi insan yang berkualiti dan pemimpin berPENGARUH yang mampu menjana manusia sudah mencapai satu tahap yang dipanggil PEOPLE DEVELOPMENT. Kita cuba hayati sejarah al-Arqam yang dipelopori oleh Ashaari Muhamad berkaitan dengan kesan PENGARUHnya terhadap pengikutnya yang mampu menghasilkan suatu hasil yang Produktif. Dalam artikel Ustaz Hasrizal Jamil beliau menceritakan :


Apabila Ashaari Muhammad berceramah, ia akan dirakam dengan video. Selepas ceramah, Ashaari Muhammad dan rakan-rakannya akan menonton video tersebut yang banyak memfokuskan kepada penonton. Mata-mata yang terbeliak, mulut yang terlopong, adalah tanda-tanda yang menunjukkan seseorang itu berpotensi untuk diajak menjadi pengikut. Individu yang sedemikian rupa akan disiasat latar belakangnya, dan dicari alamatnya.


Lalu Ashaari Muhammad dan pengikutnya akan ke rumah lelaki tersebut. Bayangkan sahaja betapa berbesar hatinya seorang yang sedang sarat dengan kekaguman diziarah oleh tokoh yang dikaguminya. Ashaari Muhammad akan bertanya khabar, dan kemudian meminta izin untuk berehat seketika dengan tidur di atas lantai beralaskan bantal sofa lelaki tersebut.


Allah, cair hati tuan rumah. Lepas tu, minta apa pun diberi Insya Allah.


Saya tidak bermaksud mahu menganalisa Ashaari Muhammad dan gerakannya di sini, namun sikap beliau sangat mempengaruhi pengikut. Jika nyamuk gigit pun, Ashaari Muhammad hanya meniup dan tidak menamparnya. Ketika makan bertalam, Ashaari Muhammad akan mengambil tulang lebihan mereka yang makan setalam dengannya, dan akan dijamahnya sisa-sisa daging yang masih terlekat sehingga habis licin. -


Dengan ini, dapatlah kita ketahui bahawa sesuatu pekerjaan itu tidak akan mendapatkan hasil yang benar-benar berkualiti jika ianya merupakan paksaan yang datang dari sumber KUASA, akan tetapi ianya akan menjadi hasil yang berkualiti sekiranya sesuatu pekerjaan itu datang dari kerelaan hati sendiri disebabkan PENGARUH yang baik yang memberi kesan terhadap perlaksanaan kita.


Wujudkanlah PENGARUH yang benar-benar efektif dalam apa jua perlaksanaan kerana PENGARUH yang baik itu adalah lebih utama berbanding dengan paksaan KUASA. Semoga entri yang tidak seberapa ini mampu untuk membantu anda dalam melaksanakan tugas sebagai seorang pemimpin masa kini ataupun yang akan datang. Segala yang cantik dan terbaik itu datang daripada Allah SWT dan segala kelompongan datangnya dari diri penulis sendiri.


Wallahua’lam…

Penulis : Huzaifah Basit


Abah, Berehatlah..

Abah, Berehatlah..

 


Al Quran ku aku tutup. Aku letakkan disisi katil, bersebelah dengan satu susuk tubuh yang paling aku sayang – abah.


Aku renung wajah abah yang sedang tidur, dengan saluran bantuan pernafasan berselirat di dada abah. Hembusan nafas abah kuat, lebih dari hari-hari biasa. Aku jadi risau, Aku cuba memandang sekeliling meraih simpati jururawat atau doktor yang lalu lalang namun mereka hanya memandang, dan berlalu. Mungkin sudah biasa bagi mereka keadaan seperti ini.


Aku menghembus nafas perlahan. Pandangan aku masih pada wajah abah. Perlahan-lahan aku letakkan tapak tangan di dahi abah. Panas. Ku capai tuala basah yang sedia ada di kepala katil lalu aku lapkan dahi dan wajahnya dengan lembut. Inilah wajah tua yang penat membesarkan aku selama 23 tahun. Meskipun sudah terlantar hampir dua minggu, wajah abah masih segar. Tiada sebarang kesan atau bekas yang menunjukkan abah sedang sakit. sepertinya abah sedang tidur, tanpa diganggu oleh sesiapa. Seperti mana abah tidur dirumah. Cumanya, sudah beberapa hari abah tak bangun-bangun.


Rindu.


Rindu dengan suara garau yang sering sahaja menjadi deringan yang mengejutkan tidurku, suara yang sering menyahut panggilan telefonku, dan suara yang sering menegurku tika aku khilaf.


Aku mengalih pandangan pada meter oksigen yang bersambung dengan alat bantuan pernafasan abah. Tidak seperti hari lain, hari ini lebih kadarnya. Aku makin risau. Mata sudah mahu berkaca. Aku tahan. Aku tak nak menangis disisi abah dalam ketika dia memerlukan kekuatan daripada anak-anaknya. Butir kaca tidak jadi berderai. ‘Ya Allah sesungguhnya kau sedang menguji abahku, dan kami sekeluarga, aku redha Ya Allah’ rintih aku dalam diam. Aku terus berada disisi abah. Sesekali aku lapkan badan abah. . Kesian abah demam. Usai itu aku kembali mencapai Quran, aku bacakan untuk kesekian kali.


Datang seorang jururawat mahu beri abah susu melalui tiub. Dia cuba pasang alat yang mengesan nadi abah, tapi tak berfungsi. Dia mula memanggil rakan yang lain, memasang mesin mengesan nadi dan degupan jantung. Langsir katil abah ditutup; beberapa doktor mula masuk beserta jururawat. Aku kian cemas tapi hanya mampu menunggu penuh sabar. Seketika itu, dua orang doktor keluar daripada sisi katil abah, menuju ke kaunter ditengah-tengah wad. Kemudian kembali kepada kami. Memanggil aku beserta ahli keluarga yang lain. Doktor maklumkan, jantung abah sudah tidak berfungsi, oksigen dalam darah juga sudah kurang. Doktor sahkan abah sudah pergi jam 3.45 petang.


Secepat itu dia pergi…


Tiada kata yang dapat gambarkan perasaan aku ketika itu. Insan yang paling aku sayang dunia akhirat, sudah pergi meninggalkan aku. “Ya Allah, aku redha dengan ujian Mu..”


Aku melangkah perlahan masuk melepasi langsir yang menutupi katil abah. Tangan aku hulur, aku capai kaki abah, aku urut perlahan-lahan. Seluruh tubuh abah aku sentuh. Aku lihat wajah abah. Tenangnya abah tidur. Ya Allah kuatkanlah aku..


Tika semua mula beredar daripada katil abah. Tinggal aku bersendirian dengan abah. Aku kucup dahi abah semahu-mahunya, aku cium badan abah, aku cium tangan abah. Seboleh-bolehnya aku mahu cium semua anggota badan abah. Inilah abah yang membesarkan aku. Inilah abah yang aku sayang dunia akhirat.


Aku tahan air mata daripada mengalir. Aku berkata dalam hati,”mesti abah ada dekat sekeliling ni kan, abah tengok la kita tak nangis, kita kuat, kita kan anak abah yang kuat” rintih aku dalam hati. Namun, hati ini terlalu rapuh. Akhirnya berkaca juga. Aku tahan dan tidak tertumpah disisi abah.


Aku turut serta dalam urusan memandikan dan mengafankan abah. Tika memandikan  abah, terasa tidak puas rasanya aku lapkan badan abah. Setiap genap aku gosok supaya abah bersih dan wangi. Dengan perlahan aku jiruskan air pada badan abah. Aku pakaikan abah dengan kain putih serta wangi-wangian. Wangi sungguh abah ku. Aku cium dahinya. Terasa tidak mahu ku lepaskan ciuman itu.


Aku mengiringi abah dalam van jenazah untuk pulang ke rumah. “Abah, sekarang kita nak balik rumah ni, nak jumpa mak dengan semua, abah mesti tak sabarkan nak balik rumah, dah sebelas hari abah tak balik rumah, semua orang rindu abah”, aku ucap perlahan disisi abah.


Sampai dirumah, ramai yang sudah menunggu. Abah dibaringkan disudut ruang rumah. Ramai orang mengelilinya. Ketika solat jenazah, aku sembahyang dihadapan sekali, sambil mata aku pandang tepat pada bahagian wajah abah. Selepas doa dibacakan aku terus cium wajah abah. Air mataku mengalir. Aku seka perlahan. Kemudian, untuk terakhir kali wajah abah dibuka, aku memandang penuh sayu. Itulah untuk terakhir kali aku melihat wajah abah. Wajah kesayangan aku dunia akhirat.


Dialah tempat aku mengisi lompangnya hidup sebagai anak. Dialah pelindung yang membesarkan aku menjadi dewasa. Dialah pemberi semangat saat jiwa aku gelora. Ya Allah, kau ampunkanlah dosa abah, kau tempatkanlah abah dalam kalangan yang beriman, dalam kalangan mereka yang kau beri rahmat, kau peliharalah abah sebagaimana abah memelihara aku sejak daripada kecil lagi. Amin Ya Rabbal Alamin..


Abah, berehatlah.. Kami menyusul abah nanti.. Aku sayang abah..


Penulis : Azam Aziz


India Mengharamkan 118 Aplikasi Termasuk PUBG Mobile

India Mengharamkan 118 Aplikasi Termasuk PUBG Mobile


Kementerian Elektronik dan IT India mengharamkan 118 lagi aplikasi dari dimuat turun pengguna peranti Android dan iOS semalam. Seperti dua arahan yang diberikan sebelum ini, kesemua aplikasi diharamkan atas sebab mengancam kedaulatan, keselamatan, sekuriti dan keamanan orag ramai di negara tersebut.

Antara aplikasi-aplikasi yang dimasukkan ke dalam senarai hitam terbaru ini ialah PUBG Mobile, Arena of Valor, Rules of Survival, Baidu dan Alipay. Hubungan yang tegang di antara India dan China sejak berlakunya pertempuran di antara tentar kedua-dua negara di Himalaya menyebabkan arahan ini dikeluarkan.

Setakat ini 224 aplikasi yang majoritinya dibangunkan di China telah diharamkan. Dalam gelombang pertama TikTok, WeChat dan Mobil Legends menjadi mangsa sebelum versi lite aplikasi yang sama pula dihalang.

Sumber : GOL_MEITY / Amanz
Merancang Hidup Setelah Bergelar Isteri

Merancang Hidup Setelah Bergelar Isteri



Pernah suatu ketika, suami saya berkata,

“Dulu abang pernah bercita-cita nak jadi doktor.”

Seketika kemudian beliau berkata lagi,

“Tapi naik darjah dua abang tukar nak jadi polis.”

Saya tersenyum sendiri.

Saya pun begitu dan saya yakin semua manusia melaluinya. Semakin menginjak umur kita menjadi semakin tamak, kalau boleh kita ingin jadi semua. Doktor, cikgu, polis, arkitek, pensyarah, peguam.

Tapi sebenarnya memilih matlamat hidup bukanlah sesuatu yang mudah. Apalagi kalau kita berhadapan dengan situasi-situasi yang memerlukan kita cari jalan atau ubah fikiran.

Wanita, isteri dan kahwin muda.

Bagi seorang wanita, perkahwinan merupakan antara sebab yang membuatkan kita perlu melakar plan kehidupan yang baru. Setelah menjadi isteri, kita harus lebih produktif. Pertimbangan yang sesuai di antara plan peribadi dan penyesuaian dengan perancangan suami harus kita lakukan secepat yang mungkin.

Mengapa saya katakan ‘secepat yang mungkin’?

Perancangan kehidupan ini harus kita rencanakan secepat mungkin bersama suami supaya kita tidak terlalu lama tenggelam tanpa matlamat.

Tidak dinafikan awal perkahwinan atau honeymoon period sangat menyeronokkan. Tetapi harus ingat, perkahwinan ada suka dukanya. Tidak selamanya bercinta itu hanya gembira. Bukan tidak boleh, ambillah masa yang secukupnya untuk ber’honeymoon‘ dan saling menyesuaikan diri. Tetapi janganlah terlalu lama.

Sebab itulah penting bagi setiap wanita menetapkan perancangan selepas berkahwin seawal yang mampu. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang kahwin di usia muda seperti saya! Dahulu ketika saya terlibat dalam kepimpinan mahasiswa, saya memasang impian untuk menjadi seorang ahli parlimen pada tahun 2020. Tetapi impian itu tidak lama, mungkin kerana berbasiskan semangat ketika itu.

Saya sangat mencintai bidang politik. Tetapi saya kemudian memasang angan untuk menjadi seorang ahli akademik di dalam bidang politik. Memandangkan penglibatan wanita di peringkat pengajian tinggi dalam bidang politik tidak ramai, maka saya mahu memposisikan diri ke arah itu.

Buat masa sekarang, saya juga banyak membaca berkenaan pendidikan awal bayi dan kanak-kanak. Mungkin ada yang merasakan pembacaan sebegini tidak perlu, tapi bagi saya ia sangat penting.

List untuk wanita awesome!

Oleh itu, saya mahu menyenaraikan beberapa perkara yang perlu dimasukkan ke dalam list anda (wanita-wanita awesome) sekalian. Terutama buat semua yang bergelar isteri dengan kahwin muda serta bagi mereka yang bercita-cita tinggi untuk berjaya walaupun setelah bergelar isteri.

1. Perancangan untuk menyambung pengajian bagi mereka yang mahu.

Di mana? Kursus apa? Tajaan atau pinjaman pengajian?

2. Kerjaya

Pemilihan kerjaya yang sesuai bagi mereka yang sudah tamat belajar.

3. Pendidikan awal bayi dan kanak-kanak

Terlalu banyak website yang mendedahkan berkenaan dengan childhood education. Saya sangat berminat dengan homeschool bagi anak-anak. Boleh tanya Prof. Google

4. Persediaan bergelar ibu, ilmu yang perlu bagi wanita hamil

Walaupun anda merancang keluarga, tapi sangat penting untuk dapatkan ilmu yang secukupnya berkenaan dengan kehamilan.

5. Plan kewangan

Bahagian ini perlukan perancangan yang teliti selepas perkahwinan. Saluran pendapatan, perbelanjaan, peluang-peluang tambahan pendapatan dan sebagainya harus dibincangkan berdua. Ia bukan tanggungjawab suami sahaja!

6. Rancang tempat tinggal yang sesuai

Mungkin ada yang memilih untuk tinggal di kampung, pinggir bandar atau di bandar. Meungkin ada yang memilih rumah banglo atau rumah kos rendah. Semuanya bergantung kepada keselesaan keluarga. Tetapi, penting untuk kita memilih persekitaran tempat tinggal yang baik kerana ia akan mempengaruhi anda dan keluarga.

Malang bagi wanita yang hidup tanpa matlamat dan tanpa arah tujuan. Jadilah wanita yang produktif dan punya matlamat hidup yang jelas. Jadilah isteri yang hebat, mampu menjadi yang terbaik di rumah dan menyumbang untuk ummah!

Sarjana Muda Syariah pengkhususan Sains Politik Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.