Cita-Cita Yang Tak Pernah Menjadi

Cita-Cita Yang Tak Pernah Menjadi


Bertanyalah pada mereka yang berusia lebih 20 tahun : apakah bidang yang mereka terokai itu, adalah apa yang mereka impikan? Saya percaya 5 daripada 10 orang daripada mereka yang ditanya itu akan mengiyakan dengan yakin dan bangga. Mereka ini akan berkata, ‘ya’ inilah bidang yang mereka ingin ceburi.


Bertanyalah pula pada mereka yang berusia lebih 30 tahun : apakah bidang yang mereka ceburi itu adalah apa yang mereka impikan? Saya percaya, daripada 10 orang yang ditanya, tidak seorang pun daripada mereka sedang menikmati bidang yang mereka cita-citakan.


Tanyalah mereka yang lebih 30 tahun di sekeliling anda; jiran, kenalan, sahabat, rakan sepejabat, malah sesiapa sahaja. Anda akan dapati bidang yang mereka terokai itu sama sekali bukan bidang yang dicita-citakan. Malah, tanyalah diri kita sendiri. Apakah bidang yang menjadi kerjaya kita kini adalah sebenar-benarnya bidang yang kita impi-impikan? Jawapan yang jujur tentulah ‘tidak!’


Okeylah, mana mungkin tiada sesiapa pun yang tidak mencapai dan menikmati apa yang dicita-citakan? Kenyataan di atas mungkin sekali andaian. Namun, jika kita temui orang yang benar-benar mempunyai cita-cita sejak kecil untuk menjadi arkitek dan dapat melanjutkan pelajaran dari peringkat diploma, degree, master dan peringkat kedoktoran di dalam bidang itu, dan kini adalah seorang arkitek ~ tanyalah kepada mereka apa yang mereka mahu? Jawapan mereka ialah mereka mahu meninggalkan bidang itu dan menceburi bidang lain!


Mengapa terjadi begini? Mengapa cita-cita yang diingini beralih arah, seiring waktu beranjak? Mengapa pula cita-cita yang digapai hendak dilepaskan pula? Bukankah ini menandakan hanya Dia berkuasa terhadap apa sahaja?


Merancanglah dengan teliti dan rapi. Kemudian berusahalah dan gapailah apa yang diimpikan itu. Sebaik sahaja kita berasa berjaya memperoleh sesuatu dengan usaha kita sendiri, tanpa kita sedari, apa yang dicita-citakan, apa yang tergapai semuanya akan melorot dari genggaman.


Kerana apa? Kerana Allah tidak mahu kita berasa, kitalah yang berjaya di atas usaha sendiri. Lantas berdasarkan kejayaan itu, kita terus berusaha dan berusaha hingga mempunyai kepercayaan yang kita berkuasa terhadap kehendak itu. Lantas perasan kitalah master of our destiny, lalu melupakan kesemuanya adalah di dalam genggaman-Nya.


“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya). Samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa)


di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

~ Al- Hadid: 20


Justeru itu, janganlah terlalu berbangga bila memperoleh apa yang diimpikan.

Jangan pula meraung sakan andainya apa yang dicita-citakan tidak dapat digapai.

Segala-galanya adalah hak Pencipta seluruh alam ini.


Penulis : Norden Mohamed

Caranya Untuk Upgrade Kereta Dengan Hanya Melalui Cara Trade In

Caranya Untuk Upgrade Kereta Dengan Hanya Melalui Cara Trade In


Mungkin ada di antara kita yang telah menggunakan kereta dengan agak lama, dan dalam pada itu, berkeinginan untuk menukar ke kereta yang lebih baik, atas faktor bilangan ahli keluarga yang telah meningkat, juga untuk keselesaan bagi perjalanan jauh.

Namun begitu, anda masih bimbang, kerana kereta pertama masih belum habis dibayar, dan ada beberapa tahun lagi sehingga segala pembiayaan habis dibayar. Disebabkan ini, anda risau, jika anda ‘trade in’ kereta, ia akan merugikan anda, kerana tidak mendapat pulangan yang setimpal bagi digunakan untuk membayar kereta yang kedua.

Permasalahan seperti di atas sering kali terjadi buat mereka yang ingin menukar kereta, tapi, tahukah anda, terdapat kaedah yang boleh diguna pakai untuk membantu anda menukar ke kereta baru. Saudara Khairul Ezuwan kongsikan kaedah atau jalan kira yang boleh dijadikan panduan buat anda dalam membuat perkiraan menukar kereta baru. Jom kita baca perkongsiannya. -SiakapKeli


Suka Upgrade Kereta ? Cuba guna Kaedah ini
Buat pembiayaan kenderaan untuk tempoh pembiayaan 9 tahun sudah tidak relevan buat masa kini KECUALI anda nak upgrade kereta selepas 9 tahun atau memang tak nak tukar Kereta lain.

Depreciation kereta hari ini makin Tinggi & cepat. Kebanyakan orang terbantut nak upgrade kereta hari ini disebabkan bila trade in kereta kena tambah duit RM5,000- RM20,000 bergantung kepada jenis & jenama kenderaan. Puncanya adalah tempoh pembiayaan 9 tahun tidak selaras dengan penurunan harga kereta waktu ini.

Mungkin kaedah ini boleh diguna pakai.

Contoh:
Deposit : 10%
Tempoh pembiayaan : 6 tahun
Budget bayaran bulanan : RM600
Kereta : ??

KERETA PERTAMA
Deposit 10% = RM4,000
Budget Bayaran bulanan : RM600
Harga Kereta = RM40,000
Jumlah pembiayaan = RM36,000
Tempoh pembiayaan = 6 tahun @ 3.45% setahun
Beli Kereta = New Saga 1.3 CVT STD ✔️

Value Kereta Saga selepas 4 tahun = RM24,000
Baki hutang selepas 4 tahun = RM13,000

Refund cash selepas trade in = RM11,000

Katakan selepas 4 tahun gaji anda sudah meningkat , anda budget bayaran bulanan untuk kereta RM900. Kekalkan pembiayaan 6 tahun sahaja.

KERETA KEDUA
Deposit : RM11,000 (guna duit trade in Kereta saga)
Budget Baru bayaran bulanan = RM900
Harga kereta = RM68,000 - (discount RM2,000 ) = RM66,000
Jumlah pembiayaan = RM55,000
Tempoh pembiayaan = 6 tahun @ 3% setahun.
Beli Kereta : New Toyota Avanza 1.5 ✔️

Value kereta Avanza selepas 4 tahun = RM45,000
Baki pembiayaan selepas 4 tahun = RM20,000

Refund cash selepas trade in = RM25,000

Selepas 4 tahun gaji meningkat lagi, budget bulanan anda untuk kereta RM1,200

KERETA KETIGA
Deposit : RM25,000 (Guna duit trade in kereta Toyota Avanza)
Budget baru bayaran bulanan : RM1,200
Harga Kereta = RM98,000
Jumlah pembiayaan = RM73,000
Tempoh pembiayaan = 6 tahun @ 3% setahun.
Beli Kereta = Ford Ranger 2.2 XLT ✔️
Lepas tu Kereta apa? pandai-pandai la Anda pilih sendiri


* Kepada yang dah habis bayar hutang kereta tidak mahu berhutang lagi, Itu mungkin yang terbaik untuk anda.

* Kepada yang terus nak gunakan tempoh 9 tahun, itu terpulang kepada anda, mungkin di situ keupayaan & keperluan anda

* Status ini sekadar idea bagi mereka yang mahu upgrade kereta dengan cara yang lebih Baik .

1. Tidak perlu trade in kereta dengan terpaksa menambah duit bila jumlah hutang melebihi value semasa kereta.
2. Tidak perlu mengeluarkan deposit dari cash sendiri. Hanya menggunakan value trade in.
3. Deposit yang tinggi hasil dari trade in kereta sebelumnya. 

Bekerja Tanpa Meninggalkan Tuntutan Agama

Bekerja Tanpa Meninggalkan Tuntutan Agama

Setiap hari kita bertungkus lumus mencari rezeki bagi memenuhi keperluan hidup seharian. Ada yang bekerja bagi memenuhi keperluan asas. Ada yang bertungkus lumus bekerja untuk menikmati kesenangan dan kemewahan hidup.
Anda merupakan golongan yang mana? Sudah tentu anda tahu jawapannya. Dalam kesibukan mencari rezeki dan mengejar kemewahan, jangan kita alpa dan lalai dari mengingati-Nya, jangan kita lupa tuntutan yang lebih utama iaitu mengerjakan perintah agama dan mengejar kemewahan di akhirat kelak. Inilah tujuan utama manusia dihidupkan di muka bumi Allah SWT.  Berikut adalah beberapa tips untuk bekerja tanpa meninggalkan tuntutan agama:
1) Memasang niat yang baik
• Keluar mencari rezeki untuk menyara diri dan keluarga kerana Allah SWT. Hati akan menjadi tenang sepanjang waktu bekerja jika dimulai dengan niat yang baik dan semata-mata kerana-Nya. Firman Allah SWT dalam Surah Al-An’am ayat 162 yang bermaksud:
“Katakanlah Muhammad, “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan seluruh alam.”
• Sesungguhnya adalah menjadi rugi sekiranya kita keluar bekerja setiap hari mencari nafkah untuk isteri, anak-anak, dan keluarga  jika tidak berniat bekerja sebagai ibadah. Alangkah baiknya jia kita berniat keluar bekerja kerana Allah, kita pasti mendapat pahala sepanjang bekerja dan mendapat rezeki yang berkat.
2) Jujur dan amanah semasa bekerja
• Ini juga merangkumi penggunaan waktu bekerja. Kita hendaklah memaksimumkan waktu bekerja dengan sebaik-baiknya seperti mengelakkan diri kita keluar menikmati sarapan pagi dan makan tengahari yang terlalu lama. Bekerjalah dengan bersungguh-sungguh, jujur dan amanah agar kerja yang dilaksanakan selesai dan rezeki yang diterima diberkati.
• Bekerja dengan bersungguh-sungguh bermaksud melakukan kerja di tempat kerja sehabis baik. Orang yang gagal dalam melakukan kerja tidak akan berputus asa sekiranya ada kesungguhan semasa bekerja. Bekerjalah bersungguh-sungguh supaya kerja yang kita lakukan seharian akan memberi manfaat kepada orang lain. Orang yang baik adalah orang yang sentiasa memberi manfaat kepada orang lain.
3) Membasahkan lidah dengan zikir dan doa semasa bekerja
• Ketika kita sibuk bekerja, pastikan dalam masa yang sama hati dan lidah juga turut seiring berzikir kepada Allah SWT. Perkara tidaklah susah untuk dilakukan, cuma ia perlu sentiasa diamalkan dan dibiasakan agar ia menjadi sebati dalam tindakan kita. Di samping itu, kita juga dituntut mengamalkan Solat Sunat Dhuha untuk memohon keberkatan dari-Nya dan mohon dimurahkan rezeki yang halal lagi baik.
4) Tidak melengahkan solat fardhu
• Solat fardhu merupakan salah satu daripada Rukun Islam dan merupakan tiang agama. Jika kita amati, terdapat sebilangan manusia yang terlalu sibuk bekerja sehingga tidak sedar waktu solat berlalu begitu sahaja bahkan yang lebih teruk lagi langsung tidak menunaikan solat fardhu. Mudah-mudahan kita tidak termasuk dalam golongan ini. Sesungguhnya, kita tidak boleh menunggu waktu lapang tetapi kita yang perlu melapangkan waktu untuk menunaikan tuntutan solat fardhu. Ingatlah, dalam kesibukan kita menjalankan tanggungjawab terhadap kerja dan memenuhi kehendak majikan, jangan sesekali ingkar dan lalai akan perintah-Nya. Sesungguhnya, Allah SWT adalah majikan kepada seluruh manusia.
5) Menggunakan gaji atau upah ke jalan yang baik
• Kita hendaklah membelanjakan gaji atau upah yang diterima dengan sebaik mungkin. Manfaatkanlah gaji atau upah yang diterima dengan bijak untuk menyara diri dan keluarga, membantu ibu bapa, membayar zakat dan simpanan di masa memerlukan. Di samping pastikan diri kita tidak lupa peruntukkan sebahagiannya untuk bersedekah kepada orang yang memerlukan dan ke jalan-jalan kebaikan. Sesungguhnya rezeki yang kita terima itu adalah milik Allah SWT dan Allah pasti akan memberikan ganjaran kepada setiap kebaikan yang kita lakukan, Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’ ayat 132 yang bermaksud :
“Dan kepunyaan Allah-lah apa yang di langit dan apa yang di bumi. Cukuplah Allah sebagai pemelihara.”
Mudah-mudahan rezeki yang diterima akan menjadi halal lagi baik berkat usaha kita yang sentiasa bekerja tanpa meninggalkan tuntutan agama. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa yang melihat kemungkaran di depannya, maka ubahlah dengan tangannya, dan jika tiada kemampuan ubahlah dengan lidahnya, dan jika tiada kemampuan, ubahlah dengan hati, dan inilah selemah-lemah iman.”
Semoga artikel ini dapat mengingatkan diri penulis dan semua pembaca untuk memperbaiki diri kita semasa melakukan kerja tanpa meninggalkan tuntutan agama.
Penulis : Nur Azlina Binti Jalaluddin (Merupakan Pensyarah di salah sebuah Kolej Komuniti di Wilayah Selangor dan Lulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Malaya.)