Sekali Air Bah, Sekali Tanah Berubah

Sekali Air Bah, Sekali Tanah Berubah

Air? Setiap hari kita pasti meneguknya. Cuma yang berbeza adalah perisa dan warnanya. Bila tekak sudah kembali sejuk, dan dahaga sudah hilang kita sering lupa asal usul air yang diminum itu. Air yang kita teguk itu sebenarnya diturunkan daripada langit sebagai hujan oleh Allah S.W.T kemudian ia melalui pelbagai proses kitaran alam semulajadi untuk kepentingan alam ciptaan-Nya.
Begitulah ciptaan Allah yang serba unik. Sama juga seperti api, air boleh menjadi kawan dan boleh juga membawa kemudaratan pada masa-masa tertentu. Air yang bersih dijadikan minuman oleh manusia. Air yang kelihatan ringkas tersebut sebenarnya merupakan satu ciptaan yang sangat istimewa buat seluruh alam termasuk manusia. Ia mampu membekalkan oksigen kepada tubuh badan manusia dan menghilangkan rasa haus tekak kita.
Selain itu air juga berfungsi menghidratkan semula tubuh anda setelah bergerak aktif. Air juga berfungsi sebagai laluan untuk pergerakan zat-zat makanan dan ia turut membantu untuk mengangkut sisa-sisa proses kehidupan sel di dalam badan. Air yang diturunkan oleh Allah S.W.T sebagai hujan pula berfungsi menyuburkan tanam-tanaman dan menjadi minuman untuk haiwan-haiwan. Air yang sedia ada di muka bumi melalui proses penyejatan, lalu ia diturunkan kembali sebagai hujan dan mengalir daripada tempat yang tinggi dan kemudian membentuk sungai yang panjang dan lebar.
Disebabkan air, hidupan laut mempunyai habitat yang sempurna dan boleh bergerak bebas. Di hujung sungai terdapat muara, terbentuk di sebelah pantai yang menjadi kawan kepada lautan. Dengan air juga, wujudnya pulau-pulau yang indah di kelilingi keindahan kebiruan. Kata orang, indah pantai kerana airnya. Tidak akan wujud istilah pantai sekiranya tidak dilengkapi air laut.
Lautan yang luas ini pula menghubungkan satu benua dengan benua yang lain dan menjadi laluan penting untuk manusia berhubung sesama manusia di kawasan lain. Begitulah hikmahnya Allah menjadikan lautan sebagai penghubung, manakala manusia itu berbeza sama sekali paras rupanya.
Air juga boleh berubah sifatnya menjadi ais yang pejal. Allah itu Maha Bijaksana. Dia menjadikan udara yang sejuk agar dapat membekukan air menjadi ais. Dengan adanya ais, air yang panas boleh bertukar menjadi sejuk dan menyegarkan. Ais juga turun dalam bentuk salji di sesetengah kawasan yang ditakdirkan Allah. Salji yang turun menjadikan pemandangan lebih indah dan menarik. Iklim yang sejuk ini juga menjadi habitat kepada penguin dan beruang kutub untuk hidup dan mencari makanan.
Namun, air yang banyak memberikan manfaat ini juga mampu berubah sifat menjadi ganas. Pepatah mengatakan, ”Sekali air bah, sekali tanah berubah”.
Contohnya, hujan yang terlalu lebat, akan mengakibatkan banjir kilat dan banjir yang berpanjangan. Air banjir inilah yang telah mampu menenggelamkan seluruh kaum Nabi Nuh A.S yang ingkar pada perintah Allah S.W.T termasuk anak dan isteri baginda pada ketika zaman kenabian baginda dahulu. Pada masa yang sama juga air itu telah menjadi penyelamat kepada orang-orang yang beriman dan Nabi Nuh A.S kerana ia telah melayarkan bahtera Nabi Nuh A.S.
Hari ini, kita telah menyaksikan pelbagai musibah yang Allah S.W.T turunkan melalui air. Musibah-musibah ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita agar usah lalai dan leka dengan dunia sehingga lupa pada Allah Yang Esa. Marilah kita sama-sama berusaha menjadi hamba Allah yang bertaqwa kerana kita telah menyaksikan bagaimana air yang begitu kuat berupa Tsunami mampu menghayutkan dan menenggelamkan Kota Acheh, Kota Muda, Sri Lanka, Fukushima, Miyagi dan lain-lain tempat didunia. Mahukah kita sekiranya Allah menurunkan bala yang sedemikian rupa ke atas negara kita?
Selain itu, salji yang turun dari langit juga mampu mengakibatkan kemudaratan. Salji yang turun tanpa henti dengan lebat boleh menyebabkan cuaca sejuk yang melampau dan ini boleh mengakibatkan kematian dan kemusnahan alam. Salji yang membeku dan terapung di atas permukaan lautan juga boleh menjadi penyebab kepada karamnya sesebuah kapal dan lain-lain lagi.
Lihat, betapa sesuatu yang dianggap kecil mampu memberi impak yang sangat besar kepada seluruh alam baik impak positif mahupun impak negatif. Sungguh, Allah menjadikan sesuatu itu dengan penuh hikmah agar kita berfikir tentang kekuasaan-Nya.
Lihatlah dengan mata hati. Fikirlah dengan Iman dan taqwa. Dengan itu, insya-Allah kita akan beroleh teladan.
“Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?”- (Surah al-Anbiya ayat 30)
“Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya dan sebahagian di antaranya berjalan dengan dua kaki dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja yang Dia kehendaki (selain dari yang tersebut), kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” – (Surah an-Nur ayat 45)
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kebesaran-Nya dan kekuasaan-Nya, Dia memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya hujan) dan Dia menurunkan hujan dari langit, lalu Dia hidupkan bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya.” - (Surah ar-Rum ayat 24)
Penulis : Fira Fahmi 
Kesan Tamadun Islam Terhadap Dunia Matematik

Kesan Tamadun Islam Terhadap Dunia Matematik

Pada awal kurun ke-7, satu tamadun baru muncul di tanah Arab. Dibawah pimpinan Muhammad s.a.w, dakwah yang bawa Rasulullah tersebar pesat dan luas menambat hati dan iman penduduk Semenanjung Arab. Kurang satu abad selepas kota Mekah dibuka semula pada tahun 630, kerajaan Islam telah berjaya menyebar luaskan agama Islam sehingga ke India dan hingga ke tengah benua Asia bagi bahagian timur.
Di bahagian barat, penyebaran agama Islam lebih cepat berlaku terutamanya dibahagian utara benua Afrika. Pada Tahun 711, Islam berjaya sampai ke Sepanyol. Hasil daripada penyebaran agama Islam hingga hampir dua per tiga dunia memberi perkembangan dan kemajuan kepada kerajaan Islam. Budaya Islam menjadi cara hidup manusia pada ketika itu.
Inilah titik permulaan kepada perkembangan ilmu pengetahuan. Agama Islam telah membawa satu budaya yakni budaya cintakan ilmu yang sangat besar peranannya kepada dunia ilmu pengetahuan. Itulah cantiknya Islam, tidak pernah menolak bulat-bulat ilmu pengetahuan di dalam kehidupan.
Sejarah Matematik Islam
Ahli sejarah dan Ahli Matematik barat lebih suka merujuk perkembangan sejarah Matematik ditanah Arab sebagai Matematik Islam kerana ia adalah kesinambungan daripada ajaran Islam yang bawa Rasulullah yang mementingkan soal ilmu pengetahuan. Perkembangan Ilmu pengetahuan banyak berlaku di zaman pemerintahan Abbasiyyah yang dalam masa yang sama Eropah masih di Zaman Gelap.
Oleh itu ilmu lebih banyak terbudaya dikalangan orang Islam manakala orang Eropah disekat hak untuk berfikir. Jadi, Matematik Islam lebih sesuai dengan daripada Matematik Arab.
Pada tahun 766, Khalifah Al-Mansur membuka kota Baghdad yang selepas itu menjadi tempat perkembangan Ilmu termasyhur didunia. Cendiakawan dan cerdik pandai dialu-alukan kedatangan mereka ke Kota Baghdad. Khalifah Harun al-Rashid yang memerintah dari tahun 786 hingga 809 telah menubuhkan perpustakaan di Baghdad.
Manuskrip-manuskrip dikumpulkan dari pelbagai bidang dan akademi-akademi di timur barat terutamanya dari tamadun Yunani termasuk manuskrip Matematik Yunani Klasik dan teks-teks saintifik. Kemudian ia diterjemahkan ke bahasa Arab. Penganti Harun al-Rashid, Khalifah Al-Ma’mun meneruskan usaha ini pada skala yang lebih besar dan sehingga tertubuhnya Baitul Hikmah yang bertahan selama 200 tahun.
Ilmuan-ilmuan dari seluruh bahagian dalam pemerintahan dijemput untuk menterjemahkan bahasa Greek dan India dan juga menjalankan penyelidikan. Pada akhir kurun ke-9, pelbagai kertas-kertas kerja cendiakawan seperti Euclid, Archimedes, Apollionius, Diophantus, Plotemy dan ramai lagi ahli matematik Yunani diterjemahkan kebahasa arab untuk kegunaan ilmuan-ilmuan disana.
Ilmuan-ilmuan islam bukan hanya mengumpul kajian-kajian lama, bahkan mereka telah mengembangkan ilmu-ilmu kepada satu perspektit baru yang lebih releven. Ini kerana ahli matematik sebelum mereka mengunakan matematik untuk perkara-perkara yang tidak penting kepada manusia seperti menghitung cinta dan sebagainya.
Di dalam Matematik Islam, ia lebih banyak digunakan untuk perkara-perkara yang praktikal dan berguna untuk manusia, dan juga disebut sebagai Sunnatullah. Para Ilmuan Islam mengkaji dan berakhir dengan bertemu dengan Kebesaran Allah. Inilah beza antara saintis Islam dan saintis. Tujuan mereka adalah Allah. Ilmuan Islam sentiasa memulakan kerja dengan lafaz “Basmalah”.
The mathematicians responded by always invoking the name of God at the beginning and end of their works and even occasionally referring to Divine assistance throughout the texts” -(Victor J. Katz)
Terpegun membaca ayat ini. Subhanallah, begitulah akhlak ilmuan Islam dahulu yang sentiasa mengingati Allah dalam setiap perkerjaan yang mereka lakukan. Sentiasa memulakan dan mengakhiri dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang, serta segala apa yang mereka berjaya hasilkan, mereka dikembalikan pujian hanya kepada Allah. Tidak seperti ahli matematik Yunani, Ilmuan Islam tidak hanya berdasarkan teori, bahkan juga secara praktikal untuk memudahkan kehidupan seharian manusia, atau hari ini dikenali sebagai Applied Math atau matematik gunaan.
Hari ini, satu sejarah lengkap tentang Matematik Islam masih belum ditulis, kerana masih banyak tinggalan manuskrip Ilmuan Islam yang masih belum dikaji di perpustakaan seluruh dunia. Oleh kerana kepentingan politik yang memeningkan, akses kepada hasil kajian mereka yang penting disekat dan dilarang. Namun, fakta asas tentang dunia Matematik Islam masih diketahui. Antara sebab penyekatan ini adalah untuk mengelak umat Islam sedar yang tamadun Islam sangat banyak menyumbang kepada percambahan ilmu pengetahuan pada masa ini.
Ia juga antara rancangan musuh Islam untuk melenyapkan kehebatan Islam dari pengetahuan umat Islam di Zaman ini. Ahli matematik Islam banyak menyumbang untuk secara khususnya dalam penggunaan titik perpuluhan, dan juga mengembangkan topik Algebra secara tersusun dan juga dalam topik Geometri. Beberapa penambahbaikan dalam topik Trigonometri. Apabila Eropah keluar dari Zaman Gelap, mereka tidak memerlukan masa yang banyak untuk mengejar apa yang mereka terkebelakang kerana semuanya hampir lengkap. Hanya perlukan penjenamaan semula dan kembangkan ilmu itu.
(Olahan semula dari buku A History Of Mathematics: An Introduction; Victor J. Katz: Chapter The Mathematics of Islam)
Sejarah ditulis oleh pemenang
Hari ini, banyak formula-formula dan tajuk-tajuk matematik terabadi nama ilmuan barat didalamnya. Walaupun hakikatnya mereka hanya menjenamakan semula apa yang telah ada dalam dunia matematik Islam. Nama-nama ilmuan Islam tidak terabadi dalam sebarang teori-teori dan formula-formula matematik. Hanya nama-nama seperti Euclid, Newton, Einstein, Diophantus, Sarrus, Fibonacci dan sebagainya lebih banyak diabadikan.
Mungkin nama-nama ilmuan Islam tidak diabadikan bertujuan untuk menjauhkan Islam daripada disebut dalam lecture dan supaya Islam dilihat tidak significant dengan Ilmu. Sekadar pandangan. Ayuh budayakan semula budaya cintakan Ilmu supaya kita turut maju kehadapan dan kita hapuskan salah tanggapan dunia kepada Islam. Kembalilah kepada Islam.
Hujung Akal, pangkal Agama. Ilmu ditimba diakhirnya bertemu dengan Kebesaran Allah, Tuhan Yang Mengetahui.
Penulis : UmmiHani 
Dunia Umpama Ladang Tanaman Untuk Dituai Di Hari Pembalasan

Dunia Umpama Ladang Tanaman Untuk Dituai Di Hari Pembalasan

Betapa enaknya menikmati sepinggan nasi yang berlaukkan pelbagai pilihan mengikut citarasa dan kesukaan masing-masing…
Sebutir nasi umpama setitik peluh petani? Pernah anda dengar iklan tv untuk produk “Beras Jadi Cap Kapal Layar” Beras pilihan anda? Ia diumpamakan betapa susah dan besarnya pengorbanan petani yang bertungkus lumus menanam, menjaga dan menuai beras sehingga menjadi nasi yang dimakan oleh seluruh lapisan masyarakat. Betapa berharganya nilaian usaha petani yang besar itu diertikan dengan perbandingan sebutir nasi itu cukup berharga dan tidak setanding pengorbanan petani… Hanya dengan sebutir nasi itu menggambarkan betapa besarnya usaha petani… Penat dan berpanas terik, berpeluh dan berselut. Bagaimana jika berbillion-billion nasi yang mereka hasilkan??? Mari kita sama-sama renungkan…
Syukur dipanjatkan atas nikmat rahmatNYA saya mendapat ilham untuk terus menulis tanpa penat!… Alhamdulillah…. Hari ini saya mendapat semangat baru untuk terus menulis tanpa jemu!.. Semoga kita semua dapat memperolehi sedikit inspirasi dan motivasi dalam perkongsian penulisan saya yang masih baru dan tidak seberapa ini jika dibandingkan dengan penulis lain yang hebat-hebat belaka…
Tujuan saya sememangnya inginkan kesedaran dan keinsafan semua dalam memahami erti kehidupan dan membuka minda kita untuk mensyukuri nikmatNYA… Sebenarnya, terlalu banyak nikmat yang ALLAH S.W.T telah berikan kepada kita… Semuanya merupakan hadiah Allah buat hambanya, termasuk nikmat kesihatan, kekayaan, kebahagiaan, pelajaran, kegembiraan dan segala-galanya. Namun, kita masih tamak dan tidak mensyukuri segala nikmat yang diberikan itu… Tidakkah kita terfikir? Baiklah…. Cuba kita pejamkan mata….. cuba kita renung-renungkan Firman ALLAH dalam surah-surah dibawah yang bermaksud:
Auzubillahiminassyaitonnirrajim…
“Ya ALLAH Ya TUHAN kami, turunkanlah kepada kami makanan dari langit untuk menjadi perayaan bagi kami, bagi orang-orang yang bersama kami dan yang datang sesudah kami dan menjadi kekuasaanMU dan berilah rezki kepada kami kerana ALLAH sebaik-baik yang memberi rezeki.” Al-Maidah, ayat 114.
“Bumi ditetapkanNYA untuk makluk sekalian. Di atasnya ada buah-buahan dan pohon kurma yang mempunyai kelopak (mayang). Dan biji-biji yang mempunyai daun tangkainya (seperti padi dan sebagainya) dan haruman-haruman. Maka nikmat TUHAN manakah yang kamu dustakan?” Ar-Rahman, ayat 10-13..
“Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku, sebab itu ampunilah aku… Lalu ALLAH mengampuninya. Sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Al-Qasas, ayat 16..
Lihatlah….. ALLAH Maha BAIK kepada sesiapa sahaja!.. Betapa manusia itu tidak pernah bersyukur dan cukup atas nikmat pemberianNYA… Baru sahaja diuji dengan dugaan yang sedikit, hati sudah mengeluh, perasaan sudah tidak keruan yang akhirnya menghasilkan pelbagai persepsi negatif terhadap Allah S.W.T seperti tidak sayangkannya lagi dan sebagainya. Berlainan bagi orang yang tahu bersyukur, walau apa dugaan yang datang, dia tabah melaluinya dengan redha atas dasar ujian tahap keimanannya…
Dunia adalah diumpamakan sebagai ladang tanaman yang mana di atas ladang dunia inilah kita mencari rezeki, menabur bakti dan menambahkan amal ibadah serta mengurangkan dosa. Perlu diingatkan di sini, mengurangkan dosa… kerana apa? kerana kita adalah manusia biasa yang tidak maksum, sememangnya tidak lepas dari melakukan kesilapan. Namun, kita boleh berusaha untuk memperbaiki diri dari tidak melakukan dosa yang dilarang serta tidak membuat kerosakan atau perkara yang ditentang oleh Pencipta kita…
Firman Allah dalam surah at-Taubah 105 bermaksud: “Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya beserta orang mukmin akan menyaksikan apa yang kamu kerjakan.”.
Hadis yang sering diperdengarkan, antaranya: “Bekerjalah kamu untuk kepentingan dunia kamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan bekerjalah kamu untuk akhirat kamu seolah-olah kamu akan mati esok.” Sesetengah ulama menganggap hadis itu sebagai athar Umar bin al-Khattab.
Di atas bumi ini jugalah kita dipertanggungjawabkan mematuhi beberapa syarat perundangan wajib Islam iaitu termasuklah rukun Islam, rukun Iman, dan melakukan amal makruf nahi mungkar… Saling tegur menegur dan menasihati ke arah kebaikan… Sememangnya fitrah manusia sukakan kebaikan, bersih dan bebas dari pertelingkahan. Mari kita semua kembali kepada fitrah… Mencintai majlis ilmu dan saling menasihati agar kita kembali ke jalan yang diredhaiNYA… Amin…
Renung-renungkanlah, kita hidup bukanlah lama. Andai esok menyambut kita di alam kekal sana, apakah bekalan yang kita sediakan dan bawa… Adakah mencukupi? dan di dunia inilah tempat kita menanam amal dan menyebarkan kebaikan… 
Wallahu alam…