Semaju Maju Peniaga Melayu

Semaju Maju Peniaga Melayu


Dari semasa ke semasa saya akan lakukan lawatan ke kedai-kedai buku di seluruh Malaysia. Ia adalah tugas untuk berjumpa tauke kedai, pekerja kedai, para pembaca, mencari idea pemasaran, menjejaki kemasyhuran pesaing merangkap berjalan-jalan. Orang tua kata, jauh perjalanan luas pemandangan. Memang betul pun. Pandangan saya terhadap sesuatu perkara semakin luas. Di antara apa yang saya nampak amat menyerlah ialah deretan kedai-kedai yang dipunyai oleh orang-orang Melayu pada hampir setiap bandar kecil yang saya kunjungi.

Saya ke Sungai Petani, Alor Star, Arau, Kangar, Gua Musang, Kertih, Jertih, Pasir Mas, Kemaman, Mentakab, Jerantut, Raub, Pekan, Rompin, Kota Tinggi, Rembau, Jasin, Kuala Pilah dan banyak lagi bandar-bandar lain. Yang saya nampak ialah kemunculan kedai-kedai Melayu. Kedai-kedainya bukan lagi jenis ‘kedai MARA’ yang sempit, kedai-kedai yang lompong rak-raknya, kedai-kedai yang sesak dan sarat dengan barang-barang jualan yang buruk dan berhabuk. Ia juga bukan sahaja kedai gunting rambut, kedai songkok dan kedai nasi lemak.

Malah, perniagaan mereka sudah meliputi kedai komputer, butik, foto, kaca mata, farmasi, kafe, aksesori kereta, mainan kanak-kanak, fonsel, hotel, barang kemas, elektrik, bengkel kereta, klinik, farmasi dan tentu sekali kedai dandan wanita!

Saya perasan ada di antara kedai-kedai ini sudah ada cawangan-cawangan mahupun francais seperti Ani Sup Utara, Syarikat Buku Muda Osman, Laksa Shack, Cosmopoint, Menara Optometry, Rozaimi Optometrist dan Kamal & Kamal Pest Control, Yan’s Collection dan kedai-kedai stokis jamu. Senarainya panjang. Hebat rupanya orang Melayu jika mereka sudah menjadikan perniagaan sebagai kerjaya. Bukan lagi semata-mata bekerja dengan gomen seperti generasi orang tua kita. Bangga saya dibuatnya.

NAMUN, bila saya renung-renung kembali. Saya teringat deretan kedai-kedai di bandar kelahiran saya, Mersing. Sewaktu saya di zaman persekolahan pada tahun-tahun 60-70an, saban hari saya akan mengayuh basikal melintasi Jalan Sultan Abu Bakar iaitu jalan yang paling sibuk kerana paling banyak kedai ketika itu.

Saya nampak kedai foto Kai Mee, kedai baju Tuck Fong, kedai borong Hoe Sen, kedai ubat Sam Yu, kedai runcit Hock Hoe, Tien Lock Restaurant, Merdeka Hotel dan kedai buku Union. Hampir kesemuanya dipunyai oleh kaum Cina dan India.
“Oh, mereka sudah mulakan lebih 30 dahulu. Kita baru nak bermula. Harap-harap kita terkejar untuk merapatkan jurang ekonomi!”
Penulis : Norden Mohamed
(Ketua Pengarang akhbar Sinar Harian)


Sweetnya Allah

Sweetnya Allah


Suatu hari di kantin, rakan-rakan sibuk gosipkan diriku dengan seorang guru lelaki satu ‘batch’ induksi. Masing-masing tidak membantah kerana daerah yang sama dengan tempat aku mengajar. Tapi takdir Allah, ada seorang guru yang aku panggil dengan panggilan ‘akak’ menyapa.

“Akak tak kisah dengan siapapun awak akan pilih, tapi satu pesan akak apa yang kita inginkan mintalah dengan Dia dalam solat dhuha. Buatlah solat dhuha dan khabarkan hajat itu padaNya.”
Aku terdiam. Setelah lama berfikir akhirnya tergerak hati ini untuk tunaikan solat dhuha. Selama ini aku sekadar membaca kelebihan orang yang tunaikan solat dhuha.

Sweetnya Allah dia sampaikan hidayah kepadaku melalui orang lain. Kini, impian untuk mendirikan rumahtangga telah tertunai meskipun bukan dengan lelaki tersebut.

Jam menunjukkan pukul 2 pagi, terdengar suara rengekan si kecil Zahra tanda lapar. Lantas aku bangkit untuk bancuh susu. Terdetik di hati kalaulah aku tunaikan solat tahajjud sementara menunggu Zahra habiskan susu lagi baik. Mungkin ini panggilan dari Allah untuk hamba yang dikasihiNya.

Sweetnya Allah dia kejutkan hamba-Nya untuk bangun malam dengan cara yang cukup lembut. Adakalanya kita bangun di tengah malam untuk buang air kecil dan lapar, itulah tandanya Allah bangunkan kita untuk merintih dan mengadu pada-Nya. Namun seringkali kita alpa dan lupa.

Seperti biasa aku menjalani rutin harianku setiap hujung minggu untuk memandu  balik ke Terengganu berjumpa suami dan anak.  Sesungguhnya hati manusia ini sering berbolak balik. Terdetik juga di hati kenapa aku tidak mendapat peluang seperti orang lain hidup bersama-sama suami dan anak-anak. Teringin sekali masak menu kegemaran mereka untuk makan tengahari dan malam. Menghabiskan waktu petang bersama-sama.

Tapi sweetnya Allah dia ingin tarbiyyah diriku dengan sifat sabar. Tanda kasih sayang-Nya kepada hamba. Barulah aku terfikir Allah rindu akan rintihanku. Mungkin apabila bersama dengan orang yang aku sayangi, masa untuk aku mengadu pada-Nya lebih singkat dari biasa.

Sweetnya Allah aku diajar  untuk menjadi seorang yang redha dengan ujian-Nya. Aku manfaatkan masa sepanjang perjalanan selama enam jam itu untuk berzikir dan berdoa kepada-Nya agar kami diberikan kesempatan untuk hidup bersama. Dengan imtihan ini aku kenal erti kasih sayang,lebih menghargai,bersyukur, perikemanusiaan dan sabar.

“… dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), ALLAH jualah yang Maha Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Al-Baqarah, ayat 216)
Adakalanya kita persoalkan mengapa harus kita yang diuji dengan kesusahan dan kesakitan. Tapi pernahkah kita persoalkan mengapa kita yang harus mendapat kejayaan dan kenaikan pangkat ini, bukan orang lain?

Sweetnya Allah dia uji hamba-Nya untuk meningkatkan keimanan dan menghapus dosa-dosa silam jika kita redha dengan ujiannya. Di setiap kepahitan pasti ada kemanisannya.

“… di setiap kesulitan pasti ada kesenangan… di setiap kesulitan pasti ada kesenangan.” (Surah Al-Insyirah)
Kehidupan manusia di bumi tidak ubah seperti seorang pengemis. Yang sentiasa meminta pada Ya Wahab agar menunaikan segala kehendak kita. Sikap manusia yang sentiasa merasa ingin lebih dan tidak cukup menyebabkan kita sering meminta-minta.

Bersyukurlah dengan apa yang kita miliki kerana nikmat yang ada pada kita adalah pinjaman Allah yang akan dipertanggungjawabkan di padang Masyar kelak.

Penulis : Nur Ruzaini Che Mansor

Laksana Amanah Jangan “U-TURN”

Laksana Amanah Jangan “U-TURN”

Amanah Menghambatku
Bingkisan kali ini lebih kepada peringatan kepada diri ini. Terimbau terngiang-ngiang saat itu. kata-kata ini bergema memenuhi runag dewan pada pagi itu,
“Untuk jawatan……… disandang oleh ………………………………”.
Tika itu semua mata memandang ke depan mencari-cari pemilik nama yang disebalik namanya bererti ‘kegembiraan’. Orang lain kelihatan gembira, tetapi tidak pada pemilik nama itu. Debar dihatinya hanya pemilik hati ini yang Maha Mengetahui. Melangkah kaki tanpa sikit pun menoleh kiri kanan hanya mata tertumpu melangkah ke depan.
Saat itu hanya Allah mengerti betapa hati ini berbaur rasa. Ini jalan yang dipilih. Tiada lagi istilah mengundur atau turning back mahupun U-Turn . Yang ada hanya satu iaitu mengalas tanggungjawab hingga ke akhir mercu. Pada awal,  berdiri di depan ramai umat manusia pertama-tamanya tentu berasa gemuruh, namun lama kelamaan jika perasaan itu dilontar jauh pasti kegusaran itu dapat diatasi dengan mudah. Semuanya bermula dengan ‘mind setting’ kita sendiri.
Ya, mind setting’. Boleh kita ambil umpama seorang yang demam, bila demamnya itu diberat-beratkannya, mukanya dipermuram-muramkan nescaya demam akan bertambah tetapi kalau dilawannya dengan berkata “Ah, aku tidak demam”, dengan sendirinya demam itu beransur hilang sebelum pun sempat menjadi berat.
Begitu juga seorang pengecut, cubalah lawan perangai itu walaupun hati berdebar-debar. Jalankan akal, apa sebabnya saya takut begini? Mula-mula pastinya jantung berdebar tika cuba memberani-beranikan diri tetapi nanti setelah menjadi kebiasaan debar jantung itu akan hilang sendiri.
Jika hendak melatih diri agar punya keberanian sengajakan diri menempuh bahaya yang ngeri seperti mengukur hebatnya seorang pelayar lihatlah lautan yang dilalui, ditempuhnya lautan ketika ombak dan gelombang besar maka tentu berani itu dalam kalbunya.
Jangan Bermegah, Laksana Amanah
Amboi dah jadi exco sekarang dah mula berlagak ye. Bangga, sombong, ujub ……” Antara lafaz kata seorang pensyarah kepada diriku dengan niat gurauan.
Namun di sebalik gurauan itu memberi makna tersirat yang menyentak pemikiran lalu menyentuh kalbuku. Itu bukan sekadar gurauan tetapi berupa peringatan. Sifat ujub bangga antara sifat yang merosakkan bukan sahaja hati tapi seluruh kehidupan pengamalnya.
Merasa puas diri sendiri.
Disangka diri sudah sangat cukup dan sempurna. Perangai begini membawa lupa akan kekurangan diri dan ingat akan kekurangan orang lain. Janganlah sifat ujub ini menjalar ke dalam diri, menyangka bahawa segala sesuatu tidak akan sempurna kalau kita tiada. Sebab kita itu pun tidak akan sempurna kalau tidak dengan orang lain. Keutamaan tidak cukup diberikan Allah kepada satu orang tetapi berbagi-bagi.
Laksana kita ingin memasak makanan yang lazat tidak akan berasa jika cili hanya membanggakan pedasnya, garam membanggakan masinnya, cuka yang membanggakan masamnya, ikan yang membanggakan enaknya sendiri. Jika segala kepedasan, kemasinan, kemasaman, dan keenakan itu dikumpulkan dalam satu belanga, dimasak dengan tangan yang ahli, barulah menjadi makanan yang menjilat jari.
Hamparan Harapan, Emasnya Ikhlas
Bila bercerita mengenai harapan, teringat pula bait-bait lagu yang menjadi halwa telinga sekitar 80-an “Harapan setinggi gunung”. Jika diselami maksud bait lirik itu tentunya tinggi harapan orang itu. Masakan tidak tinggi jika telah disamakan harapan dengan gunung. Hendak mendaki gunung perlu keringat yang memecah peluh hingga baju terpaksa kita perah.
Harapan orang tentunya menggunung pada pemegang tangungjawab tetapi lebih berat lagi bahu yang menggalasnya. Memberi harapan pastinya sedikit sebanyak akan terikat dengan janji. Resmi manusia, mengikat janji mudah sekali tetapi memantri kata untuk dikota payah sekali umpamanya bila sebelum kita mendapat duit, janji itu ini, pada kawan dijanji mahu belanja makan, pada emak berkira-kira mahu menghulur beberapa keping not, itu ini mahu dibeli tetapi bila mana duit digenggami disimpan kemas dalam peti. Melupakan semua janji yang kita taburi, sudahnya airmata yang menjadi galang ganti. Itu dikira masih baik lagi, jika dihambur caci maki tentulah lagi menyakitkan hati,  alamatnya hingga nafas terakhir perasaan bersalah membaluti diri.
Memikul jawatan ini diri tidak menabur janji apatah lagi menghamparkan harapan. Hanya satu menjadi pegangan, melakukan semua ini dengan ikhlas. Mahu mengikhlaskan hati ini ibarat emas murni, tidak bercampur perak berapa persen pun. Pekerjaan yang bersih terhadap sesuatu, bernama ikhlas. Misalannya seorang yang berkerja kerana mengharapkan puji majikan, maka ikhlas amalnya kepada majikannya atau dia bekerja pagi sampai ke petang kerana semata-mata memikirkan upah, maka keikhlasannya kepada perutnya. Pekerjaannya itu baik tetapi belum tentu baik jika dasarnya tidak subur.
Dasarnya itu akan baik dari zat sampai ke sifatnya jika didasarkan kepada lillah hi ta’ala iaitu ikhlas kerana Allah. Oleh sebab itu, perkataan ikhlas itu terpakai terhadap Allah semata-mata. Sesuai lidah dan hati, itulah ikhlas! lain di mulut lain di hati, bukanlah ikhlas tetapi culas.
“Jangan terpedaya oleh seorang ahli pidato, lantaran pidatonya
Sebelum kelihatan bukti pada perbuatannya
Kerana perkataan itu sumbernya ialah hati
Lidah hanya dijadikan sebagai tanda dari hati”.
Penulis : Muhammad Farhan B. Suria 
(Siswazah pendidikan di Institut Pendidikan Guru Malaysia dalam bidang Pendidikan Islam dan Al Quran)
Saya Ditarik Dan Dirogol Dalam Semak, Cuba Menjerit Tetapi Tiada Yang Dengar

Saya Ditarik Dan Dirogol Dalam Semak, Cuba Menjerit Tetapi Tiada Yang Dengar

Senak perut menahan rasa geram dan amarah. Yang jadi mangsa adalah perempuan perempuan yang akalnya tak panjang. Takde konar konar.
"Macamana kamu boleh mengandung?"
"Saya balik kerja, masa tunggu bas, ada orang datang tarik saya ke dalam semak."
"Awak tak menjerit ke? Takde orang ke dekat situ?"
"Takde sapa sapa masa tu. Berhampiran kawasan pembinaan LRT. Bising. Saya menjerit tapi takde yang dengar. Dia tutup mulut saya."
"Awak balik kerja pukul berapa?"
"Pukul 10.30 malam, malam tu kami kena OT, siapkan kerja, saya sorang sorang balik tunggu bas di hentian bas."
"Lepas dia tarik tangan awak ke dalam semak, apa dia buat pada awak?"
"Dia tutup mulut saya, kemudian dia tolak saya sampai terjatuh, buka seluar saya ."
"Awak tak melawan?"
"Saya tak kuat, dia besar."
Melihat susuk tubuh yang halus dan kecil, memanglah tenaga yang ada tak kuat mana. Tambahan tenaga saki baki seharian bekerja.
"Bila awak tahu awak mengandung?"
"Saya tak tahu saya mengandung. Bulan lepas, saya rasa ada benda bergerak gerak di dalam perut saya. Saya takut. Saya ajak kawan pergi klinik. Doktor terus scan. Nampak janin. Doktor bagitahu dah 25 minggu. Saya menangis, saya tak tahu macamana boleh jadi. Saya telefon ibu, bagitahu. "
"Terus ibu datang. Saya nak balik, duduk di kampung. Abang dan ayah tak bagi. Abang yang carikan rumah perlindungan ini. Emak kata sabarlah, kena kuat , tunggu sampai anak lahir dulu, baru balik kampung."
Sedih bila tak tahu dan tak bersedia untuk jadi ibu. Terpinga pinga. Bila tidak tahu permerkosaan itu salah besar, akibatnya juga sangat besar, beginilah jadinya. Langsung tidak tahu apa tindakan segera harus dilakukan.
Sepatutnya cerita kepada seseorang, pergi buat laporan polis. Bukannya balik rumah, mandi, tidur, buat tak kesah. Buat tak kesah tu sebab tidak tahu. Tidak ada ilmu, tidak ada pengetahuan, tidak ada rasa curiga terhadap keadaan sekitar. Sudahlah waktu malam, kawasan sepi, tunggu bas sorang sorang. Takde rasa cuak atau rasa risau bila sorang sorang, dan tiba tiba di datangi oleh lelaki.
Ambillah pelajaran, ambiklah iktibar. Kita perempuan, jangan jalan sorang sorang, jangan balik lewat malam. Tidak perlu buat kerja lebih masa walaupun dipaksa boss. Bagitahulah keadaan dan kesukaran. Walaupun rumah dekat dengan tempat kerja, jika laluan itu sepi, elakkan. Cari duit lebih hampir nyawa melayang, maruah tergadai. Tapi selalunya bukan cari duit lebih pun, majikan nak tutup akaun, atau ada perkara yang kena dateline segera.
Pada majikan, ambiklah perhatian pekerja anda, tanya dimana mereka tinggal, bagaimana nak pulang jika hari dah malam. Dia ini baru bekerja di syarikat itu. Baru berhijrah ke kota raya dari kampung, masih belum tahu dan faham keadaan. Senang cerita, di Baitus Solehah sini pun, jika yang datang dari kampung , masuk pagar, takde nak tutup pintu pagar, bila masuk rumah tak tutup grill sebab dia sudah terbiasa di kampung. Dia rasa macam rumah dia, takde rasa cuak atau bimbang apa apa. Takde rasa maruah diri tu sangat berharga, nyawa tu tidak ada galang gantinya.
Jangan kecam perempuan ini kata tak kan dia tak tahu. Saya melihat umurnya baru 18 tahun, bermakna baru benar lepas SPM. Sepatutnya kawan sebaya ada yang sudah sambung pelajaran.
"Keputusan SPM macamana, kamu tidak teruskan belajar?"
"Saya belum pergi sekolah tengok keputusan SPM."
"Zaman ini, jika tak pergi sekolah pun, kita boleh tahu keputusan kita melalui sms, internet bagai."
Lihatlah, keputusan SPM pun dia buat tak kesah untuk tahu apatah lagi lain lain perkara. Sebab tu saya kata dia tak rasa cuak, bimbang atau curiga apa apa. Dia cuma fikir semua orang baik baik belaka. Lurus bendul, takde konar konar fikirannya.
Cumanya mungkin terpengaruh dengan sesuatu, atau atas saranan keluarga supaya berdikari maka dia sanggup ke kotaraya untuk bekerja. Memang di kotaraya dia tinggal bersama kakak. Ada dua orang kakak. Tetapi masing masing bekerja, jadi tak juga berapa kesah hal si adik yang jenis lurus ini. Semua takde rasa cuak dan bimbang atau curiga akan keselamatan diri dan maruah diri. Keluarga percaya lepaskan ke kotaraya sebab ada dua orang kakak boleh tengok tengokkan adik. Tengok boleh tak kan kakak nak eskot pulak. Kakak pun ada kerja masing masing.
Ibu bapa budiman, ibu bapa lebih kenal anak masing masing, sikap, perlakuan, akalnya, maka nak lepaskan anak perempuan bekerja tu, timbang timbangkanlah.
Anak anak perempuan, jangan ambik kesempatan untuk menghancurkan kepercayaan ibu bapa apabila diberi peluang. Jaga diri elok elok, jaga iman, dan jaga maruah. Paling utama jaga solat, jaga hubungan dengan Allah, Allah akan jaga kita walau dimana jua. - Muna Liza binti Ismail, Baitus Solehah
Tentang Berbuat Baik

Tentang Berbuat Baik

Di kala bumi dibasahi air hujan di petang ini, aku tiba-tiba teringat sekitar pengkebumian arwah datukku dulu. Aku berusia belasan tahun ketika itu. Aku begitu ‘teruja’ melihat lautan manusia yang membanjiri rumah peninggalan arwah, yang dibina sendiri dengan tulang empat kerat datukku yang sememangnya tidak pernah duduk diam. Seingat aku, jarang sangat aku melihat arwah bersantai. Yang selalu aku lihat arwah ke hulu dan ke hilir dengan kerja-kerjanya yang seolah-olah tiada penghujung.
Satu-satunya masa yang aku lihat arwah dalam keadaan rehat adalah bilamana arwah mengumpulkan cucu-cucunya sambil kami duduk mengelilingi arwah di biliknya setiap pagi sebelum arwah memulakan tugasannya. Pada waktu itu akulah yang selalu menjadi ‘pembaca berita’ tidak bertauliah yang dididik secara tidak langsung oleh arwah datukku. Akhbar yang menjadi kegemarannya itu ku belek-belek dan mencari-cari ‘berita’ terkini untuk diperdengarkan bukan sahaja kepada sepupu-sepupuku tapi kepada ‘mentor’ku yang satu itu.
Ketika dalam usia di bangku sekolah dulu aku memang biasa mendengar nama-nama tokoh ternama seperti Nik Aziz dan juga Mahathir, tapi tidak ku pasti siapa mereka yang sebenarnya. Nama-nama itu ku temui dalam bahan bacaan yang terkandung dalam perpustakaan mini di rumah arwah datukku itu. Aku juga tidak tahu apa itu politik, fiqh mahupun sirah. Tapi aku memang gemar membaca buku-buku arwah yang banyak itu seawal usiaku 8-10 tahun. Sementelah aku memanglah seorang ulat buku.
Daripada ‘kegilaan’ku terhadap bahan-bahan bacaan milik arwahlah maka aku mengenal sirah nabawiyah. Aku kenal siapa Hassan Al-Banna, hatta siapa sebenarnya Mustafa Kamal Attarturk juga Ayatollah Khomeini. Mungkin bertitik tolak daripada itulah minatku pada bidang penulisan bercambah.
“Tok awak dulu baik orangnya. Semua orang ditegurnya. Siapa yang lalu di depan rumah pasti diajaknya makan bersama. Pendek kata, semua orang mengenali Cikgu Alias.” Baru ku tahu dari mana ibuku mendapat ‘bakat’ itu, berbuat baik. Berbuat baik itu memanglah dituntut, tapi dulu aku selalu saja tidak sepakat dalam ‘bakat’ yang satu ibuku itu sehinggakan pernah berkata: “Sudah-sudahlah berbuat baik. Sudahnya ditikamnya kita dari belakang nanti.” Allahurabbi. Naifnya aku. Teruknya aku sampai menghalang pada kebaikan. Apalah salahnya berbuat baik?
Kisahnya bukan hanya tentang berbuat baik, tapi bagaimana berbuat baik tanpa sempadan; tanpa menilai manusia-manusia lain bahkan terus berbuat baik walaupun pernah disakiti oleh mereka yang menerima ‘kebaikan’ kita.
Aku sebenarnya kagum dengan arwah datukku, Cikgu Alias. Meskipun kebanyakan orang menganggap arwah hanyalah seorang guru kampung yang biasa-biasa saja, arwah seorang yang baik. Bayangkan kalau ada sesiapa saja yang lalu di rumahnya pasti dia akan memanggil: “Eh, marilah singgah dulu makan nasi!” Tidak hairanlah kehilangannya amat dirasai bukan saja oleh keluarga, bahkan kucing kesayangan arwah yang sekan mogok lapar tidak mahu makan selepas pemergian arwah ke rahmatullah.
Benarlah kata orang, kalau kita baik apatah lagi berbuat baik pasti orang akan mengenang kita. Orang akan menyebut-nyebut nama kita dan mengingat kebaikan kita, bahkan sudi mendoakan kita.
Tidak hairanlah ramai yang menangisi pemergian arwah. Solat jenazah seakan-akan solat jemaah di masjid dengan saf-saf panjang memenuhi segenap ruang bahagian atas kediaman arwah datukku. Yang menghantar arwah ke ‘rumah’ barunya juga seakan-akan sebuah perarakan besar dengan diiringi ramai keluarga, sahabat dan juga taulan. Allahurabbi, begitu rupanya ‘kesudahan’ orang yang dilihat baik di mata manusia. Aku tahu, bukan sebuah penghargaan yang arwah pinta, tapi arwah di mata mereka sangat dipandang tinggi.
Moralnya, teruslah berbuat baik. Ini monologku dalam sendiri. Bukan hanya sebab mengejar pahalanya, tapi untuk memperolehi kegembiraan dan juga kebahagiaan dalam diri seperti kata Rasulullah SAW: “Buatlah kebaikan, kerana ia merupakan kunci kebahagiaan”. Imam Ibnul Jauzi bahkan pernah berkata: “Orang yang suka berbuat baik kepada manusia, dialah orang yang paling bahagia”.
Semoga arwah Tok, Opah, Datuk dan Nenek bahagia di ‘sana’ dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Ameen allahumma ameen.
Penulis : Nur Hana Husin
Sekejap Sangat Saya Jadi Isteri Awak, Saya Janji Nak Jaga Awak Tapi

Sekejap Sangat Saya Jadi Isteri Awak, Saya Janji Nak Jaga Awak Tapi

Sayu membaca luahan hati isteri kepada arwah Muhammad Shaidi Othman yang terlibat dalam kemalangan maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang lori, semalam. Lelaki Maut Dalam Kemalangan Selepas 11 Hari Berkahwin.
Hey awak, selamat pagi sayang. Minggu lepas waktu ini saya hantar depan rumah, awak nak pergi kerja. Suruh tunggu nak rasa macam mana rasa balik kerja ada isteri di rumah. Syoklah tu balik-balik saja saya ada. Hek! Tapi hari ini saya hantar yassin pada awak. Hee!
Ingat tak kita selalu melawak kalau saya pergi dulu macam mana? Kemudian awak pun sibuk tanya soalan yang sama juga. Tiru! Begini rasanya bila awak tak ada. Kosong, kering.
Awak-awak. Kelmarin, cukup enam tahu awak add saya di Facebook. Saya hampir-hampir remove awak sebab ingat awak mat rempit mana yang add saya. Tetapi saya tak delete.
17 Oktober 2010, awak komen di status saya. Kemudian bersambung di chat box. Dua tiga bulan kita berkawan, barulah awak minta nombor telefon saya. Itu pun payah sangat nak minta.
Kemudian mulalah berkawan sehingga 19 Julai 2011, awak macam bagi hint-hint yang awak nak saya jadi insan yang istimewa dalam hidup awak. Itu pun payah nak beritahu. Main tarik tali sungguh!
Kita pun berjanji untuk setia sampai bila-bila sebab kita sama-sama pernah kecewa dulu. Saya sentiasa ingat ayat awak itu. Saya pun berjanji akan menunggu awak. Memang saya benar-benar menunggu! Tiap kali nak keluar, mesti kena tunggu. Selepas itu, mulalah saya nak merajuk. Tetapi bila tengok muka awak, tak jadi nak marah. Itu yang saya geram sangat. Haish!
Kemudian, saya habis belajar tapi awak belum lagi. Tak apa, saya kata. Saya boleh tunggu sebab saya nak awak tahu yang saya sentiasa beri sokongan pada awak.
Alhamdulillah selepas berkawan selama enam tahun, awak pun dah kerja. Impian kita nak berkahwin pun dah mula nampak. Kita bertunang pada 24 Disember 2015. Kemudian kita pilih tarikh 16 September 2016 sebagai tarikh perkahwinan sebab kononnya nanti nak cutilah sambut anniversary.
12 hari awak jadi suami saya, cukup-cukup enam tahun kita berkawan di Facebook. Alahai sayang, sekejap sangat saya jadi isteri awak. Saya janji nak jaga awak kan, tetapi sekarang Allah yang jaga awak.
Terima kasih untuk segala-galanya, awak. Saya sayang sangat pada awak. Dari awal kita berkawan, saya ikhlas sayang awak, sabar dengan segala ujian yang datang, semuanya untuk awak.
Impian saya nak tengok awak berjaya pun, semua awak dah bawa pergi bersama. Semua sayang awak, semua kata awak baik. Betul, awak baik. Kalau saya serabut, awaklah yang tolong saya sebab nanti awak juga yang serabut kepala.
Okay awak. Nanti saya hantar surat lagi okay. Duduk baik-baik di sana. Allah ada jaga awak. InshaAllah. Dari saya untuk awak wahai suami, isteri awak yang nak sangat panggil awak abang walaupun awak kata awak tak kisah saya nak panggil awak apa pun. -Nurnaqiah Mahadzir
Aku Budak Flat

Aku Budak Flat

Entah kenapa pagi-pagi ini aku tiba-tiba teringat pada memori rumah flat. Keluarga aku bukanlah kaya, susah pun tidak, sederhana sahaja. Tetapi nak beli rumah dua tingkat di tengah Kuala Lumpur memang tak mampulah. Jadi, sebahagian besar hidup aku membesar di flat sajalah. Lebih tepat, Flat Pandan Jaya.
Duduk di flat ini memanglah tidak selesa. Rumah kecil, dua bilik sahaja. Lebih kurang 650 square feet saja. Satu bilik dah tentu untuk mak dan abah. Satu bilik lagi bagi pada kakak, perempuan. Jadi bertahun lamanya ruang tamu itu adalah 'istana' aku. Bila menjelang larut malam, aku akan bentang toto dan serius rasa macam tidur di hotel 5 star!
Nak tahu alarm clock aku apa? Budak jual karipap. Pagi-pagi budak itu akan jerit, 

"Kuihhh! Nasi lemakkk! Karipapppp!" 

Itulah alarm clock yang paling efektif bagi aku selain daripada azan di surau seberang jalan sana.
Paling gelabah bila ada saudara mara datang dari kampung nak berjalan-jalan di Kuala Lumpur. Bila mereka kata nak tumpang tidur di rumah, huru haralah kami sekejap. Habis sofa, meja makan dengan segala meja di ruang tamu itu terpaksa bawa keluar 'parking' di koridor. Hahaha!
Kes curi ini sudah biasa. Kalau anak dara, selalu kena curi adalah bra dengan seluar dalam. Kalau budak, basikal selalu hilang. Kalau yang bujang, selalu hilang motosikal. Aku sampai dua kali motosikal kena rembat. Selipar dengan kasut, jangan ceritalah.
Asap colok orang Hindu dan Cina sembahyang ini sudah jadi biasa sangat. Macam-macam bau dan aroma masuk dalam rumah. Yang best, kami semua boleh terima dan tolerate. Mereka pun okay saja walaupun bunyi azan punyalah kuat di tingkap mereka.
Paling thrill duduk rumah flat ini, bila suami isteri bergaduh. Kadang-kadang orang tingkat satu bergaduh sampai tingkat lima bunyi decibel dia. Paling best bila periuk belanga melayang. Bunyi macam okestra beb!
Yang paling mencabar akal dan fikiran adalah parking. Kereta banyak, parking sikit. Ada yang tak reti bahasa, parking belakang kereta orang tapi tarik hand brake. Yang ada motosikal pula hidupkan enjin dalam flat. Pendek kata pagi-pagi ini dah macam duduk di zon perang.
Lawaknya bila tengok akak-akak yang bukan main make up dan berkebaya bagai nak pergi office tetapi terpaksa tolak kereta keluar dari parking. Tertonggek-tonggek. Hehehe!
Ish, kalau nak cerita, satu novel pun tak cukup tetapi hidup kami cukup harmoni. Jarang gaduh besar-besar. Paling kuat pun rasa jealous bila jiran sebelah beli perabot baru walaupun kita tahu mereka beli di Courts Mammoth saja pun.
Itulah kisah, Aku Budak Flat. Memori sungguh.
Oleh : Syahril A. Kadir
Tak Perlu Pulangkan RM1,000 Itu, Gunakanlah Untuk Bantu Keluarga Yang Lain

Tak Perlu Pulangkan RM1,000 Itu, Gunakanlah Untuk Bantu Keluarga Yang Lain

Alangkah baiknya kalau ramai yang mencontohi sikap lelaki ini yang sangat ringan tulang menghulurkan bantuan, tanpa mengira bangsa dan agama. Terbaru, Kuan Chee Heng, memuat naik beberapa gambar mereka menziarahi sebuah keluarga yang serba kekurangan, menarik perhatian netizen.
"Si ibu berusia 74 tahun, anak perempuannya pula mentally challenged. Bila saya datang ke rumah, rupanya mereka belum makan. Peti sejuk pun tiada. Saya menawarkan diri untuk masak mee goreng untuk mereka. Mereka menikmatinya dengan berselera sekali. Boleh tahan juga rasa mee goreng yang saya masak," katanya.
Susulan perkongsian itu, ramai yang menghubunginya untuk menghulurkan bantuan kepada keluarga berkenaan. Ada yang mahu menghulurkan wang untuk membeli tikar getah untuk keluarga berkenaan.
"Ada seorang lelaki, mahu kumpul duit bagi tikar getah untuk rumah keluarga ini. Katanya, lantai rumah wajib mempunyai tikar getah dia sanggup menghulurkan duit untuk membeli tikar getah itu. Sungguh saya bangga dengan rakyat Malaysia seperti ini." kata Kuan.
Dalam masa yang sama, Kuan juga mengalu-alukan orang ramai menghulurkan sumbangan bagi mengumpul dana RM900 untuk membeli peti ais bagi keluarga berkenaan. Dalam tempoh yang singkat, dana yang diperlukan sudah pun diperolehi dan serta merta ditutup. Namun begitu, ada seorang lelaki telah menghulurkan sumbangan sebanyak RM1,000 melebihi dana yang diperlukan oleh Kuan. Oleh kerana, dana RM900 telah pun diperolehi, Kuan mahu mengembalikan wang RM1,000 itu kepada pemiliknya, tetapi lelaki itu enggan menerimanya.
Alangkah baiknya jika ramai yang bersikap murah hati seperti ini, yang sama-sama sudi menghulurkan bantuan kepada golongan susah. Sikap insan-insan seperti ini wajib kita jadikan sebagai contoh dan tauladan, agar kehidupan menjadi lebih baik dan bermakna.