Keuntungan bersih Aeon Credit Service (M) Bhd bagi suku ketiga (Q3) berakhir 30 Nov, 2019 susut kepada RM69.93 juta berbanding RM87.14 juta setahun lepas, dijejaskan terutamanya oleh peningkatan kerugian rosot nilai. Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan kewangan bukan bank itu berkata rosot nilai pembiayaan belum terima pada suku tahun di bawah kajian tersebut meningkat kepada RM114.47 juta daripada RM61.51 juta, sebelumnya.Ini menjadikan pembiayaan bersih belum terima selepas rosot nilai, kepada RM9.33 bilion pada 30 Nov, 2019 berbanding RM7.74 bilion pada 30 Nov tahun lepas. Bagaimanapun, hasilnya meningkat kepada RM402.46 juta daripada RM348.50 juta pada tahun sebelumnya, dipacu oleh jumlah transaksi urus niaga dan pembiayaan yang lebih tinggi iaitu menokok sebanyak 9.4 peratus tahun ke tahun kepada RM1.59 bilion."Nisbah pinjaman tidak berbayar adalah 1.93 peratus setakat 30 Nov 2019 berbanding 2.05 peratus pada 30 Nov, 2018."Pendapatan lain bagi suku semasa (Q3) mencatat RM31.16 juta, kebanyakannya merangkumi hutang lapuk yang diperoleh serta pendapatan komisen daripada jualan produk insurans," katanya.Bagi tempoh sembilan bulan yang berakhir pada 30 Nov, keuntungan bersih Aeon Credit merosot kepada RM203.66 juta daripada RM267.01 juta."Keuntungan bersih lebih rendah (sebanyak RM272 juta) bagi tempoh kewangan setakat ini (berbanding RM357.07 juta sebelum ini) adalah disebabkan terutamanya oleh peningkatan rosot nilai daripada pembiayaan belum terima sebanyak RM362.50 juta di bawah ketetapan MFRS 9 berbanding RM213.85 juta pada tahun sebelum ini yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh pertumbuhan (pembiayaan) belum terima di bawah tempoh kajian tersebut," katanya.Jumlah hasil bagi tempoh kewangan setakat ini adalah RM1.19 bilion berbanding RM1.01 bilion bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya, kata syarikat itu."Nisbah liputan kerugian pinjaman adalah 363 peratus setakat 30 Nov, 2019, berbanding 338 peratus bagi tempoh sama tahun lepas," katanya.Menyentuh prospek syarikat itu, Aeon Credit berkata permintaan domestik itu akan terus menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara ini dan perbelanjaan isi rumah berkemungkinan disokong oleh pertumbuhan pendapatan dan pekerjaan."Syarikat juga akan kekal berhemat dan berhati-hati dengan memberi keutamaan terhadap usaha meningkatkan kualiti aset selain memantapkan kos dan kecekapan operasi bagi kemajuan di masa depan," katanya.-Bernama
Prestasi sektor hartanah di Malaysia secara menyeluruh dilihat mencatat sedikit peningkatan dari segi transaksi, susulan inisiatif kerajaan bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah pertama mereka. Ketua Pegawai Eksekutif Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Soma Sundram Krishnasamy, berkata berdasarkan kajian teknikal, sektor itu yang menyaksikan penurunan sejak 2012, kembali melantun sejak akhir 2018."Kini petunjuk pasaran mendapati sektor itu semakin stabil dengan angka bagi separuh pertama 2019 meningkat berbanding separuh pertama 2018."Menerusi Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang dilaksanakan oleh kerajaan, kita berpendapat bahawa sektor ini berada dalam kedudukan pemulihan, namun pada kadar yang lebih perlahan," katanya kepada Bernama.Soma Sundram berkata prestasi hartanah kediaman dilihat baik setakat separuh pertama tahun ini, namun prestasi setahun penuh hanya akan diketahui pada April 2020 apabila laporan Pusat Maklumat Hartanah Negara (NAPIC) dikeluarkan. Mengulas mengenai HOC, beliau berkata diskaun dan insentif yang diberikan hanyalah untuk membantu mengurangkan kos pembeli, namun cabarannya terletak di lokasi rumah itu dibangunkan. Ini kerana sebahagian besar rumah tidak berada di lokasi yang strategik, dan ini akan mewujudkan masalah tambahan kepada kumpulan sasaran yang berpendapatan bawah 40 (B40),Oleh itu, katanya disebabkan lokasi yang tidak sesuai, kebanyakan pembeli mengelak daripada membeli, dan seterusnya menyebabkan unit rumah berkenaan tidak terjual di negara ini. Menurut statistik yang disediakan oleh Nawawi Tie Leung Property Consultants Sdn Bhd, unit tidak terjual di Malaysia sehingga suku kedua 2019 (Q2 2019) dianggarkan sebanyak 52,666, termasuk 32,810 unit kediaman; 18,186 unit pangsapuri perkhidmatan, dan 1,670 unit rumah pejabat kecil (SOHO)."Oleh itu, kami menasihatkan supaya produk (rumah) yang dimajukan oleh pemaju dan kerajaan untuk B40, mestilah melibatkan pasaran dan kajian kemungkinan termasuk saiz, kemudahan dan perkhidmatan awam, persekitaran dan sebagainya.“Rancang dengan betul dan seimbang. Jangan hanya mengikut trend semata-mata untuk memenuhi pelaksanaan kediaman untuk kumpulan ini," kata Soma Sundram.Beliau juga berkata memandangkan kerajaan merancang untuk menarik balik subsidi harga petrol, ini akan mencetuskan lebih banyak masalah kepada rakyat disebabkan perjalanan akan lebih jauh dan lebih mahal, dan pada masa yang sama taraf hidup terus meningkat sedangkan gaji kekal tidak berubah. Menurutnya segmen lain seperti perindustrian dan kilang masih berdaya tahan, namun unit pejabat tidak berubah."Bekalan (unit pejabat) kini tidak lagi banyak bergantung kepada kawasan. Kadar sewa di KLCC sangat mahal dan banyak syarikat mula memindahkan operasi ke kawasan yang menawarkan kadar sewa yang lebih rendah."Ada pergerakan keluar dari situ. Namun, beberapa syarikat besar, syarikat multinasional dan syarikat antarabangsa, mula memasuki ke KLCC, bangunan baharu ... mengambil ruang yang besar," katanya.Dalam tempoh separuh pertama 2019, NAPIC melaporkan bahawa sektor hartanah merekodkan peningkatan sebanyak 6.9 peratus dalam jumlah urus niaga kepada 160,172 unit daripada 149,862 unit pada separuh pertama 2018. Dari segi nilai transaksi, angkanya meningkat 0.8 peratus kepada RM68,301 daripada RM67,735 dalam tempoh yang sama sebelumnya. Soma Sundram juga berkata ruang kerja bersama juga semakin mendapat tarikan terutama di bandar-bandar utama dalam kalangan generasi muda yang bekerja dari rumah atau tidak menyewa ruang pejabat."Ruang kerja bersama mempunyai permintaan yang semakin meningkat kerana ia dilihat sebagai trend, tempat untuk mereka mengadakan perbincangan dan melaksanakan kerja dengan selesa," katanya.Mengulas mengenai pemacu yang akan meningkatkan sektor hartanah, beliau berkata keyakinan pengguna merupakan faktor utama."Ada dalam kalangan rakyat Malaysia mempunyai wang, namun kini mengambil sikap tunggu dan lihat - pilihan raya umum, dasar baharu kerajaan dan pelbagai faktor lain yang perlu diambil kira."Kini, tahap keyakinan mula meningkat secara perlahan. Orang ramai akan kembali dan melabur, kini adalah tempoh untuk menunggu masa yang tepat," kata Soma Sundram.Beliau berkata walaupun terdapat penurunan harga rumah antara 10 dan 20 peratus, terutama di pinggir bandar di seluruh negara, harga di kawasan perbandaran utama tidak berubah. Selain itu, kualiti dan peratusan transaksi B40 juga bertambah baik susulan insentif kerajaan."Ini berlaku ekoran kriteria Bank Negara Malaysia (BNM) yang menetapkan bahawa mereka yang mahu membeli rumah, perlu memenuhi 1/3 daripada pendapatan bersih dan bukan 1/3 daripada pendapatan kasar pemohon."Rakyat Malaysia kini mula menerima hakikat bahawa jika mereka mahu mendapatkan pinjaman perumahan, mereka mesti memenuhi kriteria itu, dan ini membantu dalam meningkatkan pemohonan berkualiti," katanya.Sementara itu, Pengurus Negara PropertyGuru International (M) Sdn Bhd (PropertyGuru Malaysia) Sheldon Fernandez kekal neutral ke atas sektor hartanah tahun ini, menjejaki indeks pasaran hartanahnya yang merujuk kepada harga yang diminta pemilik rumah yang dimuatkan dalam laman webnya selain sentimen pengguna menerusi tinjauan yang dilaksanakan.Beliau berkata penurunan tahun ke tahun sebanyak 0.9 peratus dicatatkan dari segi harga yang diminta tahun ini, yang dijangka dilaksanakan pada 2020. Bagaimanapun, beliau berkata sukar untuk menentukan secara spesifik prestasi sektor itu pada 2020 kerana ia bergantung kepada imapk beberapa inisiatif seperti skim pembiayaan Sewa-Milik (RTO) serta pelaksanaan had pemilikan hartanah bernilai RM600,000 dalam kalangan warga asing, seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2020 ditendang."Penggiat pasaran masih mengambil sikap tunggu dan lihat pada separuh pertama 2020 sebelum mereka mengambil langkah yang tepat bagi tempoh berbaki selepas itu."Bagaimanapun sentimen kekal positif kerana kami menyaksikan pembeli berpotensi masih berniat untuk membeli hartanah, walaupun tindakan untuk membeli masih perlahan disebabkan mereka masih mahu menunggu dan lihat prestasi pasaran dulu," kata Fernandez."Bagaimanapun, memandangkan pemulihan sektor ini kini perlahan, kami berpendapat keadaan akan lebih baik pada separuh kedua 2020, sekali gus, kami mengekalkan prospek neutral untuk tahun depan," katanya.
Sumber : Bernama